Penyelidikan translasi pacu inovasi ilmu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Penyelidikan translasi pacu inovasi ilmu



Tahun 2017 ialah tahun mereka bentuk semula pengajian tinggi supaya lebih berkesan dalam penyampaiannya. Saya yakin ini bukan fenomena mengganti yang lama dengan yang baru. Mereka bentuk semula bermaksud memperbaiki kelemahan sedia ada sambil menegaskan fokus kepada keutamaan memasyarakatkan pengajian tinggi. Penyelidikan, pengajaran dan perkhidmatan masih tetap menjadi fungsi asas universiti untuk bersama dalam pembangunan negara. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan konsep Penyelidikan Translasi iaitu hasil penyelidikan yang boleh dimanfaatkan oleh atau memberi impak kepada masyarakat.

Dalam konteks ini, masyarakat membawa maksud agensi kerajaan, usahawan dan peniaga, serta komuniti tempatan. Usaha penyelidikan membangun teknologi untuk industri telah bermula sejak 1996, ketika kerajaan memperkenalkan program Intensification of Research in Priority Areas (IRPA) dan ia masih diteruskan dalam pelbagai nama lain hingga ke saat ini. Pada prinsipnya, maksud penyelidikan yang lazim diamalkan di universiti ialah penyelidikan fundamental iaitu penyelidikan mencari kebenaran, memperluas sampul ilmu, dan meneroka bidang ilmu baharu. Inilah sumber inovasi ilmu (penerbitan ilmiah) yang bakal diterjemahkan kepada produk berteknologi tinggi (inovasi teknologi) dan pengaruh dasar serta pelaksanaannya untuk kesejahteraan masyarakat (inovasi sosial). Ilmu baharu memperkukuhkan kesarjanaan dan menjadikan ahli akademik sebagai pakar rujuk.

Kitaran penerokaan 

Penyelidikan juga ialah satu kitaran penerokaan yang mempunyai pelbagai objektif dan ramai pemain. Suatu ketika dahulu ia lebih dikenali sebagai R&D (penyelidikan dan pembangunan) dan berkembang menjadi R&D&C (di tambah dengan pengkomersialan). Apapun, ilmu baharu lazimnya dijana oleh bijak pandai di menara gading, sementara penyelidikan gunaan dan pembangunan produk banyak berlaku di sekitaran institusi penyelidikan kerajaan dan industri. Saya tertarik dengan konsep penyelidikan translasi yang diperkenalkan oleh KPT untuk mengubah set minda akademik supaya berfikiran, penyelidikan bukan sekadar untuk mencapai objektif, tetapi lebih penting lagi, hasilnya sampai ke sasaran. Suatu ketika dahulu, kita menggunakan istilah perkhidmatan akademik, peranan ketiga universiti dan pemindahan ilmu yang membawa maksud hampir sama dengan penyelidikan translasi.

Kenyataannya, proses ini sukar mencapai kejayaan kerana tradisi dan persekitaran universiti memberikan perhatian tinggi terhadap inovasi ilmu. Sampai sekarang pun, pendekatan penilaian kewibawaan akademik masih tertumpu kepada komponen penerbitan ilmiah berimpak. Universiti di Malaysia telah diberikan pendedahan yang meluas kepada inovasi teknologi. Dasar kerajaan menekankan 'pembangunan teknologi untuk menjana kekayaan negara' telah memberikan ruang dan peluang besar kepada universiti menjadi sebahagian daripada institusi penyelidikan industri. Dana penyelidikan terbesar disalurkan kepada penyelidikan untuk membangunkan produk berasas teknologi dan ahli akademik serta pelajar digalak untuk terus berjaring dengan industri. Kita telah dapat merasai impak usaha gigih ini.

Saya mentafsirkan tujuan memperkasa penyelidikan translasi sebagai proses menggalakkan ahli akademik berdamping dengan masyarakat awam dan komuniti setempat, iaitu inisiatif murni bertujuan untuk meningkatkan sosioekonomi komuniti tempatan dan kesejahteraan masyarakat. Penyelidikan Translasi ialah proses menterjemah sains (ilmu) kepada tindakan (faedah yang boleh dikecapi oleh masyarakat, kerajaan dan usahawan dalam satu rantaian nilai). Inilah proses yang dikenali sebagai inovasi sosial - ilmu yang dapat mengubah pemikiran, kelakuan dan tindakan awam sehingga membolehkan masyarakat lebih berupaya dan bahagia.

Satu contoh klasik inovasi sosial ialah bagaimana Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, bekas Naib Canselor Universiti Malaya menggunakan ilmu ekonomi dan pengurusan untuk memperkenalkan idea 'koperasi dalam konsep Tabung Haji'. Pendekatan menabung secara berkumpulan untuk satu tujuan murni mempunyai banyak kelebihan berbanding usaha menabung secara persendirian. Kini jutaan umat Islam di negara kita dapat menunaikan ibadah haji sambil menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh institusi inovasi sosial ini.

Cetus inovasi sosial 

Ketika menjalankan penyelidikan mengenai geowarisan, geopemuliharaan dan geopelancongan pada 1996, kami tidak menduga ia dapat mencetus inovasi sosial. Hanya pada 2000, apabila konsep Geopark sebagai alat pembangunan lestari wilayah diperkenalkan, kami berpeluang dan berupaya menjalankan penyelidikan translasi menjadikan Langkawi perintis UNESCO Global Geopark pertama di Asia Tenggara. Hari ini, wawasan geopark sebagai inovasi sosial telah diiktiraf dunia apabila 120 geopark global diperkenalkan di 33 negara sebagai alat pembangunan sosio-ekonomi komuniti di wilayah terpinggir.

Syabas kepada kepemimpinan KPT mengarusperdanakan penyelidikan translasi bagi memacu inovasi sosial. Penyelidikan translasi mendorong anjakan paradigma daripada penyelidikan fundamental dan gunaan, kepada pemindahan ilmu bagi faedah masyarakat awam. Ia melengkapkan satu kitaran penyelidikan yang seharusnya menghasilkan inovasi ilmu, inovasi teknologi dan inovasi sosial untuk memacu pembangunan negara.

Oleh Prof Emeritus Ibrahim Komoo
Penulis adalah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia; dan Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara (MPN)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/275930
0 Komentar untuk " Penyelidikan translasi pacu inovasi ilmu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ