PADA 15 April lepas, Kongres Kebudayaan telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan jayanya. Agak banyak perkara yang dibincangkan, dan kesemuanya adalah untuk menuju ke arah kegemilangan Malaysia dari sudut kebudayaan.
Malaysia sebenarnya tidak terkecuali daripada negara-negara lain dalam hal menerima pengaruh dari sini dan sana. Kita tidak akan dapat mengelak daripada itu semua.
Kita bimbang kesan negatif berlaku dalam perkara-perkara asas yang menjadi tunjang kehidupan kita. Perkara utama yang disebutkan oleh Tan Sri Dr Rais Yatim ialah rasa hormat kepada yang tua. Ini diulang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Rasa hormat sedemikian ialah keperibadian kita yang perlu diperta-hankan. Rasa hormat kepada orang tua bukannya hilang langsung daripada jiwa orang muda. Mereka sebenarnya asyik dengan perkem-bangan di sekeliling hingga terlupa bahawa mereka berada dalam masyarakat yang berbudi tinggi.
Jika mereka berada di dalam kereta api misalnya, mereka akan menatap telefon bimbit hingga terlalai bahawa mereka perlu memberikan tempat duduk kepada orang tua. Atau mereka terlupa untuk menegur orang tua yang berada di samping mereka ketika berada di dalam kenderaan awam. Di pusat-pusat pengajian tinggi, ada remaja yang buat tidak kenal pensyarah, atau hanya menegur pensyarah yang mengajar mereka sahaja, mengetepikan pensyarah lain.
Perkara yang tidak kurang pentingnya ialah kebersihan. Di mana-mana saja, kita dituntut untuk menjaga kebersihan. Tidaklah sukar untuk jadi bersih. Caranya ialah berbudaya bersih. Apabila perkara seperti ini dibangkitkan dalam kongres, ertinya kita berada dalam krisis dalam hal-hal dasar. Jika kita membuang sampah, misalnya kertas bungkusan, melalui tingkap kereta, itu sudah menjadi tanda bahawa kita tidak menjaga dan tidak memikirkan kebersihan. Sebalik-nya, jika kita berasa rimas melihat perse-kitaran yang kotor, lalu kita berusaha membersihkannya, maka jelaslah sikap kita menyokong amalan kebersihan. Kita hendaklah memastikan tandas bersih, begitu juga bilik-bilik, halaman dan kaki lima.
Penjagaan kebudayaan kita tentulah tugas kita. Dari yang sebesar-besar, misalnya tentang sistem pemerintahan kita, hinggalah ke perkara-perkara seni misalnya filem, teater, tarian dan lain-lain, kita perlu memberikan perhatian terus menerus. Kongres ini penting kerana ada tanda-tanda kita akan melupakan banyak perkara yang menjadi teras dalam kehidupan berbudaya kita. Kehidupan berlang-sung tanpa diiringi nilai yang kita pegang kukuh sebelum ini. Kita tidak lagi gemar berbahasa indah dengan diselitkan perumpamaan dan bidalan, kita tidak menitik beratkan seni bina Melayu, kita melupakan tulisan Jawi, dan banyak lagi.
Penjagaan budaya ialah pen-jagaan gaya hidup yang bernilai murni dan yang diamalkan oleh masyarakat sejak dahulu. Jika ia dibiarkan terabai, maka tidak menghairankan jika sepuluh tahun lagi orang Melayu kehilangan identiti bangsanya.
* Datuk Mas Ermieyati Samsudin Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan
0 Komentar untuk " Jangan dibiarkan budaya terabai "