Seni kreatif boleh semai perpaduan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Seni kreatif boleh semai perpaduan



Produksi teater paling lama di Malaysia, Mud: The Story of Kuala Lumpur akan berakhir esok (30 April). Teater muzikal ini ditayangkan di Panggung Bandaraya di Kuala Lumpur selama tiga tahun yang memaparkan nilai persefahaman tiga watak daripada tiga komuniti berlainan dalam menjalani kehidupan dengan cabaran perubahan kemunculan masyarakat majmuk, ketika zaman kolonial Malaya kurun ke-19. Dilakonkan sekumpulan pelakon muda daripada pelbagai etnik, Mud yang dihasilkan Puan Sri Tiara Jacquelina menerima sambutan baik daripada rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia turut menyatakan penghargaan kepada satu lagi filem yang mengutarakan mesej persefahaman antara kaum, baru-baru ini iaitu, Adiwiraku.

Ia adalah kisah benar mengenai sebuah sekolah kampung di Kedah yang kebanyakannya mempunyai pelajar Melayu miskin, dan dididik seorang guru bahasa Inggeris keturunan India secara penuh dedikasi untuk menyertai sebuah pertandingan percakapan berirama pada peringkat daerah. Jerih perih dan penderitaan pelajar serta peranan penting watak cikgu yang dilakonkan Sangeeta Krishnasamy dalam mendorong mereka menunjukkan bagaimana keikhlasan dan saling memahami mampu menyatukan tanpa mengira agama dan budaya masingmasing. Ada beberapa filem yang menampilkan tema sama, sebelum ini lagi. Allahyarham Yasmin Ahmad yang mengetengahkan pelbagai kisah hubungan antara kaum yang berbeza, meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan sebahagian besar masyarakat Malaysia.

Isu semangat kemanusiaan 

Ketika era terdahulu, seniman Tan Sri P Ramlee yang serba boleh, berjaya meninggalkan kesan di hati rakyat Malaysia daripada semua latar belakang menerusi beberapa filem arahan dan lakonan beliau membabitkan isu semangat kemanusiaan yang dapat dikaitkan dengan kehidupan masyarakat berbilang bangsa. Lagu dan muzik adalah satu lagi saluran artistik yang membantu proses membentuk hubungan antara kaum. Allahyarham Sudirman Haji Arshad juga adalah seorang yang cuba menggalakkan keharmonian antara etnik menerusi muziknya. Hari ini, ada ramai penyanyi dalam kategori itu seperti Yuna, Elizabeth Tan dan Jaclyn Victor, yang berjaya melangkaui sempadan perkauman. Ada juga artis visual dan grafik yang turut berusaha untuk membina perhubungan antara komuniti. Lat, kartunis paling terkemuka negara adalah yang terulung antara mereka. Allahyarham Ismail Hashim pula adalah seorang jurugambar yang kerap menghasilkan karya menggambarkan usaha mewujudkan perpaduan dan persefahaman.

Antara penulis yang komited kepada perpaduan negara, termasuk penyajak dan penyair, Usman Awang. Dalam perkara itu, beliau adalah di antara yang paling menonjol. Lim Swee Tin pula adalah penyajak kontemporari yang berjaya menggunakan bakat beliau membangunkan sikap positif terhadap bahasa Melayu sebagai medium kesusasteraan untuk menggalakkan pemahaman antara etnik. Antara novelis terkemuka pada masa lalu, Allahyarham Tan Sri Samad Ismail menjadi juara dalam integrasi antara etnik. Selama beberapa dekad, bermula daripada era 1960-an hingga 1990-an, Adibah Amin menerusi penulisan dwibahasa, bahasa Melayu dan Inggeris berusaha untuk menembusi halangan disebabkan faktor etnik. Sudah pasti ada penulis yang memilih untuk menjadi eksklusif daripada inklusif dalam pendekatan mereka terhadap persoalan etnik. Perkara ini seharusnya dijangka dalam mana-mana masyarakat pelbagai etnik.

Apa yang penting adalah bagaimana seluruh masyarakat memberi tindak balas kepada dua kumpulan, eksklusif dan inklusif. Golongan inklusif, walaupun menaruh perasaan khuatir terhadap masa depan negara seperti disuarakan pihak tertentu, perasaan itu dikongsi ramai, termasuk dalam kalangan generasi muda. Mereka adalah golongan yang bersikap sambil lewa dengan apa yang berlaku, terutama kalangan terpelajar yang sepatutnya dipujuk dan didesak menyokong filem dan muzik, penulisan dan lukisan golongan inklusif.

Mereka perlu memahami dengan trend global dalam teknologi dan komunikasi yang mana golongan inklusif mewakili masa depan.

Fahaman luas 

Artis inklusif perlu berusaha untuk menunjukkan pemahaman lebih luas hingga meliputi keseluruhan suara dalam negara. Secara khusus, ini merujuk kepada mereka yang berada di Semenanjung perlu membabitkan diri lebih banyak dalam tema berkaitan dengan Sabah dan Sarawak dalam kerja mereka dan sebaliknya. Pada masa sama, mereka perlu menggunakan elemen dalam budaya atau agama masing-masing yang dapat meningkatkan persefahaman antara etnik dan empati mereka. Sebagai contoh, budaya masyarakat rumah panjang di Sarawak banyak memberi penekanan kepada amalan memberi dan berkongsi.

Amalan itu kelihatannya memberi kesan yang besar kepada norma adat istiadat seluruh masyarakat dan mungkin penjelasan yang terpenting yang menyaksikan wujudnya empati tinggi antara etnik di negeri itu. Dengan cara yang sama, pembuat filem atau penyair perlu lebih kritikal terhadap kelemahan dan kekurangan dalam masyarakat mereka sendiri yang memberi kesan buruk kepada hubungan etnik. Kritikan artis dan kelemahan dalam perkara itu akan memberi bantuan besar dalam usaha untuk mengubah perspektif masyarakat pada pihak yang lain supaya menjadi lebih baik. Penulis adalah Pengerusi Lembaga Majlis Amanah Yayasan 1Malaysia

Oleh Dr Chandra Muzaffar

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/277433
0 Komentar untuk " Seni kreatif boleh semai perpaduan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ