BUKAN senang untuk menguruskan emosi kita. Sementelahan untuk menguruskan emosi orang lain. Perkataan bersabar dan terus bersabar sentiasa meniti bibir orang lain dalam menasihati kita dan begitu juga sebaliknya apabila kita menasihati orang lain. Soalnya adakah cara tersebut membantu kita dan orang lain dalam mengurangkan sesuatu kesedihan?
Menurut pakar psikologi, kita telah dianugerahkan enam emosi semenjak dari kecil iaitu; marah, takut, jijik, sedih, terkejut dan gembira. Emosi ini datang silih berganti, ada ketikanya reda dan ada kalanya seperti badai yang melanda kapal seakan hendak karam.
Sebetulnya individu yang menanggung beban emosi tersebut lebih terseksa daripada orang yang melihat dan cuba merasainya. Sesiapa yang pernah mengalami sahaja tahu betapa beratnya hati yang menanggung.
Pada 8 April lepas, jam 1.55 pagi, ayahanda saya telah pergi menghadap Ilahi tanpa adanya saya di sisi buat kali terakhir. Maklumlah saya adalah insan berkelana mencari sesuap rezeki di negeri orang. Memandangkan inilah kali pertama saya kehilangan ahli keluarga yang amat disayangi, maka emosi sedih dan terkejut mula membaluti hati saya.
Memandu secara bersendirian bersama ahli keluarga jam 3 pagi di jalan raya timur-barat menyebabkan hati semakin sayu kerana ‘ditayangkan’ peristiwa silam yang menggamit rindu bersama ayahanda semenjak dari kecil. Alhamdulillah jenazah ayahanda selamat disemadikan selepas solat Zuhur. Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atasnya dan ditempatkan di syurga bersama orang-orang soleh.
Sebetulnya, pepatah Melayu yang menyebut Berat mata me-mandang, berat lagi bahu yang memikul adalah amat bertepatan sekali dalam konteks orang sedang bersedih. Sebelum ini saya sering kali menasihati orang lain agar bersabar dengan kesedihan. Namun apabila diri sendiri yang menanggung, baru saya tahu betapa sedih itu berat.
Apabila kita bersedih, kita dituntut untuk melakukan pelbagai perkara agar emosi kita boleh menjadi tenang. Kalau boleh secara metaforanya, kita mahu burung-burung yang berterbangan berhenti sejenak untuk meraikan kesedihan kita; ombak yang bergelombang berhenti membadai pantai bagi menangisi kepedihan hati kita dan memohon agar awan sentiasa mengiringi kita sepanjang perjalanan bagi meredakan emosi yang tidak tertanggung ini.
Soalnya, jika metafora burung, ombak dan awan itu umpama orang lain yang tidak menuruti kehendak hati kita, maka sudah tentu kita akan mula hilang pertimbangan dan menyalahkan orang lain kerana sudah tidak mempedulikan kesedihan kita.
Secara realitinya, permintaan tersebut sukar dilakukan kerana kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk meredakan kesedihan, sebaliknya kita sendiri harus belajar merawat diri agar cepat pulih dari kesedihan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Kita tidak boleh bergantung emosi kepada orang lain untuk menjadi tenang dan kuat kerana boleh memakan diri sendiri dalam jangka masa panjang, walaupun individu tersebut sudi untuk membantu.
Kita harus membina kekuatan dari dalam dan bukan mengharapkan kekuatan dari luar. Sampai bila kita harus bersedih, merintih, merayu dan berdukacita. Tambahan pula dengan adanya manusia yang suka melihat kita bersedih menyebabkan kita semakin jijik dengan kehidupan.
Sebetulnya, untuk menjadi tenang dan kuat kita harus terima bahawa ujian tersebut adalah hadiah daripada ALLAH agar kita lebih mengetahui erti kesedihan dan berdukacita. Malah ALLAH berfirman; “Tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” (Surah Al-Baqarah, 1:286). Apabila kita meyakini bahawa ujian itu adalah hadiah maka secara langsung telah membantu minda kita untuk mentafsir kehidupan dengan lebih luas dan menghantar mesej jelas kepada hati supaya lebih tenang. Adalah jelas, apa yang kita fikir menentukan apa yang kita rasa dan apa yang kita rasa menentukan apa yang kita fikir. Oleh itu, kita seharusnya berhati-hati mentafsir sesuatu peristiwa yang terjadi kerana boleh memberikan kesan besar pada hati.
Walaupun begitu, melatih akal supaya berfikir degan betul masih belum cukup tanpa terapi nurani. Hati perlu diterapkan dengan al-Quran. ALLAH telah berfirman; “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah dan petunjuk untuk keselamatan, serta pembawa rahmat bagi orang-orang beriman.” (Surah Yunus, 10:57). Mujurlah saya cepat pulih. Namun, rindu pada ayahanda tetap bersemadi dalam lubuk hati.
*Prof Madya Dr Huzili Hussin , Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
0 Komentar untuk " Belajar merawat diri dari kesedihan "