Nyanyi Si Cincin Emas atas mimbar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Nyanyi Si Cincin Emas atas mimbar

SEJAK histeria menyerang kira-kira 80 pelajar dan beberapa orang guru di empat sekolah di Kelantan baru-baru ini, banyak pula cerita berkaitan kejadian seram, misteri dan rasukan makhluk halus yang saya dengar.

Seorang YB menceritakan bagaimana beliau berusaha menolong tiga perempuan  yang kena rasuk mendapatkan rawatan. Dua pulih, tetapi seorang mati, katanya.

Ada hamba ALLAH pula ceritakan bagaimana seorang penghantar makanan segera pengsan, disyaki kerana terkejut melihat sesuatu yang menakutkan ketika masuk ke sebuah blok bangunan yang belum siap untuk hantar pesanan.

Percaya atau tidak, setelah disiasat, pesanan itu didapati dibuat melalui nombor telefon seorang perempuan yang sudah mati dan 20 paket makanan segera yang dibawa ke kawasan yang pernah didiami 20 orang, lesap entah ke mana!

Saya sendiri pernah menyaksikan beberapa kes histeria dan rasukan makhluk halus, termasuk di sekolah dan kilang. Antaranya adalah yang berlaku ke atas Mat, kawan sekampung, lebih 40 tahun lalu. Mat baik dan pendiam orangnya. Jadi, apabila pada suatu pagi, dia tiba-tiba bergegas tanpa kasut ke masjid, meluru naik mimbar dan ‘berkhutbah’ dengan lantang, orang kampung terkejut dan riuh-rendah.

Dalam ‘khutbah’ itu, Mat menyanyi lagu zaman 60-an, Si Cincin Emas, dendangan A Rahman Onn, dan ‘mentafsirkan’ liriknya. Peliknya, Mat kaitkan lirik lagu itu dengan Tuhan. “Tuhanlah yang bagi cincin mas ini kepada kita,” dia merapu.

Kami terkelip-kelip dan terpinga-pinga dengan gelagatnya. Nak rapat takut dibelasahnya dengan tongkat. Entah siapa telefon pihak berkuasa. Akhirnya dia dipujuk dan dibawa ke pusat pemulihan.

Hingga hari ini saya tidak tahu di mana Mat berada. Saya kira dia isim (akibat salah menuntut ilmu batin), dan doakan dia kembali seperti sediakala.

Banyak kali juga saya saksikan pekerja kilang dan pelajar perempuan berlari, berguling dan meracau akibat histeria. Ada yang anggap histeria disebabkan masalah tidak menjaga kebersihan diri. Ada yang dakwa disebabkan cuaca. Ada yang kata kurang mendekatkan diri kepada ALLAH. Tetapi ada juga antara yang kena rasuk bukan beragama Islam. Wallahualam!

Saya difahamkan histeria juga berlaku di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Korea. Semua bangsa di dunia ini rasanya percaya atau berminat dengan cerita seram dan makhluk halus.

Ingat filem seram Exorcist (1973)? Walaupun karut, ia meraih keuntungan USD402.5 juta dan mendapat 10 pencalonan Academy Award, Ia juga disifatkan sebagai filem seram terhebat sepanjang zaman. Orang kita lagilah minat filem berunsur seram; Pontianak (1957), Dendam Pontianak (1957), Sumpah Pontianak (1958), Anak Pontianak (1958), Pontianak Kembali (1963), Pontianak Gua Musang (1964), Pusaka Pontianak (1965), Pontianak (1975), Pontianak Harum Sundal Malam (2004) dan Pontianak Harum Sundal Malam 11 (2005).

Itu baru filem yang guna judul ‘pontianak’; yang dikaitkan dengan hantu, toyol dan berbagai jenis jembalang entah banyak mana lagi. Wallahualam.

Tidak lama dahulu, ada cerita penggunaan kit anti histeria untuk mengubati masalah itu di sekolah dan universiti. Menurut laporan, kit itu dihasilkan selepas lima tahun kajian dan penggunaan perkhidmatan cara itu didakwa berjaya selesaikan hampir 100 peratus kes histeria.

Ketika diperkenalkan tahun lalu, kit itu dijual dengan harga lebih RM8,000 termasuk kursus, tetapi kini tidak lagi dijual, sebaliknya ditawarkan perkhidmatan sahaja. Kit itu mengandungi bahan-bahan seperti kayu penyepit, cecair lada hitam, cecair asid formik dan air yang sudah dibacakan ayat al-Quran.

Perkhidmatan menggunakan kit itu disediakan di 11 sekolah di seluruh negara dan semua pesakit histeria didakwa berjaya disembuhkan.

Pada masa sama, ada pula pihak menganggap rawatan menggunakan kit itu mengelirukan masyarakat.

Menurut pihak berkenaan, menguruskan serangan histeria tanpa memberikan pendekatan rawatan perubatan psikiatri dan perubatan am boleh membahayakan pesakit dan komuniti.

  Katanya, doktor dan penyelidik sudah berpuluh-puluh tahun berusaha memahami fenomena histeria dan telah memperkenalkan rawatan moden serta saintifik yang terbukti boleh merawat serangan itu. Wallahualam.

Apa pun, yang penting kita perlu sama-sama berusaha supaya pelajar, terutamanya, tidak menjadi mangsa histeria. Apabila ini berlaku, bukan sahaja ia mengganggu emosi, bahkan menjejas pelajaran mereka, apatah lagi jika sekolah terpaksa ditutup.

0 Komentar untuk " Nyanyi Si Cincin Emas atas mimbar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ