Kenapa makan apa yang orang makan? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kenapa makan apa yang orang makan?

DI antara perkembangan yang dinamik dalam dunia perniagaan di Malaysia pada hari ini ialah perniagaan makanan. Di zaman ekonomi meleset dan harga barangan naik, kita masih lagi menjamu selera seperti biasa, meskipun harga sesetengah makanan sudah naik melebihi kadar biasa.

Jika sebelum ini, sepuluh sen kenaikan harga teh tarik akan membuat ramai orang bising, kini kenaikan segelas teh yang melebihi dua puluh sen tidak lagi menjadi topik bualan. Kita bayar sahaja tanpa soal. Untuk tawar menawar, jauh sekali kerana akan dianggap gila. Walhal, bukankah tawar menawar itu sendiri adalah adat jual beli?

Tekak antarabangsa masyarakat Malaysia yang boleh makan apa sahaja yang dihidang menjadikan tempat-tempat makan menjadi tempat tumpuan popular. Malah, makan sudah menjadi suatu rekreasi keluarga. Satu keluarga boleh keluar untuk makan malam di gerai mahupun restoran dan kemudian terus pulang ke rumah. Dan, satu keluarga akan puas dengan rekreasi sebegitu.

Kita juga mempunyai trending  atau arah aliran hidangan masakan. Pada sesuatu ketika, kita akan menggilai sesuatu hidangan. Tidak lama kemudian, selera kita berubah kepada hidangan yang lain pula secara beramai-ramai dan meninggalkan hidangan yang sebelum ini amat diminati. Kegemaran pada sesuatu hidangan itu seolah-olah seperti fesyen pakaian yang datang dan pergi. Cuma daripada segi hidangan masakan, apa yang telah ditinggalkan, belum ada lagi diminati kembali, seperti fesyen pakaian yang ada kitaran zamannya.

Beberapa tahun yang lalu, jambu batu potong yang ditabur dengan asam boi menjadi makanan ringan yang popular.Banyak gerai jambu batu potong dan jus jambu batu menjadi kegilaan, bukan sahaja kepada mereka yang berminat untuk berniaga, malah para pelanggan. Jualan serbuk asam boi turut meningkat. Banyak pasaraya membekalkan serbuk asam boi dalam bentuk paket.

Tidak lama selepas itu, timbul pula hidangan durian crepe. Selain terdapat jualan di kios-kios di pasaraya, resipinya juga turut dicari oleh golongan wanita. Ramai yang mencuba melalui resipi di internet dan ia berjaya. Ramai juga yang menjadikan ia sebagai pendapatan sampingan. Malah, durian crepe juga boleh dibeli secara talian.

Kesukaan kita kepada minuman teh bubble yang kemudiannya melahirkan trend minuman ice-blended. Banyak kios muncul di pasaraya. Malah, terdapat pula kedai minuman beryogut yang menjadi kegilaan dan stail. Kemudian, datang trend makan nasi Arab seperti nasi mandy, nasi haneeth dan nasi kabsa daging kambing mahupun ayam.

Setahun dua yang lalu, timbul pula kegilaan pisang goreng keju. Banyak gerai pisang goreng keju dibuka. Harga pisang goreng yang boleh dibeli dengan harga lima biji seringgit, ada yang meningkat ke harga RM5-RM7. Kuahnya bukan sahaja keju cair, tetapi terdapat pelbagai jenis perisa seperti coklat, coklat putih, karamel, kayu manis dan kopi.

Yang mutakhir setelah redanya kegilaan terhadap pisang goreng keju ialah kegilaan kepada kopi tepi jalan. Apa sahaja yang terjual di bistro terkenal seperti Coffee Bean dan Starbucks kini boleh didapati di simpang-simpang jalan dengan harga yang relatifnya lebih murah, meskipun harganya dua kali ganda daripada harga air sirap di tepi jalan. Oh, ya. Ada minuman yang mula menjadi trendy ~ aiskrim sumi jelly!

Apa ertinya semua ini? Pertama, ia menggambarkan budaya makan sudah bertukar menjadi sesuatu yang bermusim.  Yang penting ialah herd mentality untuk kita sama-sama mencuba apa yang kini menjadi habuan halwa tekak. Jika tidak merasa seperti ramai orang lain, kita rasa ketinggalan.

Kedua, keselesaan sudah mengatasi perkiraan harga. Ertinya, tabiat kepenggunaan kita mengutamakan kehendak, tidak kira berapa harga ataupun sesukar mana sesuatu makanan itu diperolehi. Jika kita terpaksa bergerak berpuluh kilometer hanya untuk menjamah sepinggan hidangan atau terpaksa menunggu lama kiriman makanan secara talian untuk tiba ke rumah, kita sanggup menunggu walau berapa kosnya.

Ketiga, apabila selera kita berubah mengikut trend, makanan kini adalah bayangan kepada keadaan psikologi kita. Makanan sudah menjadi bahan untuk memujuk diri daripada segala kekusutan fikiran. Kita tidak berasa selamat jika tidak makan apa yang orang lain sedang sukakan. Sebab itulah, kita tidak peduli walaupun kebanyakan makanan yang trendy ini tinggi kalori, tinggi gula dan garamnya. Gara-gara food anxiety, kita makan sahaja tanpa memikirkan apakah ia selamat untuk kesihatan tubuh dan poket sendiri!

0 Komentar untuk " Kenapa makan apa yang orang makan? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ