Apa nak bangga dengan nahas! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Apa nak bangga dengan nahas!

ADA suatu cerita. Sebuah motosikal ditahan pihak berkuasa di pekan kerana dinaiki empat orang.

Sebaik sahaja berhenti, penunggang motosikal yang betul bendul itu dengan selamba memberitahu: “Maaf encik, encik tak boleh tumpang. Tak ada tempat kosong lagi!”.

Itu mungkin cerita lucu yang direka, tapi hakikatnya sebuah motosikal yang dinaiki tiga atau empat orang bukan perkara luar biasa dan bukan perkara untuk ditertawakan.

Pembaca budiman perlu tunggu di depan pintu sekolah sahaja untuk dapat saksikan kebenaran apa yang saya katakan ini.

Bukan setakat dinaiki tiga atau empat orang, bahkan ramai yang menyelit masuk lorong ikut suka, sama ada jalan sehala atau redah sebelah kanan jalan. Kalau itu tidak memadai, sebahagian daripada penunggang dan pembonceng tidak pakai topi keledar.

Bayangkanlah risiko yang ditanggung oleh beribu-ribu orang di banyak sekolah di bandar atau kampung, setiap hari sekolah. Itu belum orang awam yang menunggang dan membonceng motosikal tanpa mengikut peraturan jalan raya setiap hari.

Pasti ada yang ditahan pihak berkuasa dan didenda atas kesalahan mereka itu, tetapi saya percaya, pada masa sama,  ramai juga terlepas.

Saya musykil apakah barangkali ada yang tidak kena denda kerana berjaya mempamerkan muka sedih bahawa mereka megambil murid-murid di sekolah dengan motosikal kerana mereka orang susah.

Kalau ada seorang anak, bayar sewa van sudah berapa. Jika tiga orang anak naik van sudah berapa pula bayarannya setiap bulan. Lagi pun, naik motosikal cepat dan jimat. Tidak terlibat dengan kesesakan pula.

Masalahnya, penggunaan motosikal ini kadang-kala melibatkan pelbagai kesalahan.Kalau tiada lesen, cukai jalan dan liputan insurans boleh tahan lagi.

Tetapi ada yang berumur 10 ke 15 tahun dibenarkan ibu bapa menunggang motosikal menghantar dua tiga adik-adik ke sekolah dan mengambil mereka balik, sekali harung. Helmet tiada, brek belum tentu makan!

Apakah patut kita lihat sahaja kesalahan membahayakan diri dan orang lain yang berlaku di depan mata? Atau kita rasa tindakan perlu diambil untuk menyekat perbuatan salah begini sebelum lebih ramai tertiarap di jalan?

Risiko daripada menaiki kenderaan, lebih-lebih lagi motosikal, dengan tidak mematuhi peraturan jalan raya sangat tinggi.

Malaysia terkenal dengan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi. Ia mencatat 489,606 kes kemalangan jalan raya pada 2015 berbanding 476,196 pada 2014.

Kadar kematian akibat kemalangan jalan raya juga meningkat kepada 6,706 tahun lalu atau purata 18 kematian setiap hari.

Sejak 10 tahun lalu, pengguna motosikal adalah mangsa paling ramai, iaitu 39,744 kematian.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) memakai tali pinggang keledar dan tepi keledar terbukti mengurangkan kematian jalan raya dam kecederaan hingga 50 peratus dan penggunaan helmet oleh penunggang dan membonceng motosikal boleh kurangkan kadar kematian kepada 39 peratus.

Didapati 73 peratus daripada mereka yang naik motosikal pakai helmet. Sebanyak 60 peratus daripada kematian di jalan raya didapati penunggang dan pembonceng motosikal dan separuh daripada itu disebabkan kecederaan di kepala.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak berkaitan, sama ada pihak berkuasa, ibu bapa atau guru, untuk menolong menentukan undang-undang di jalan raya dipatuhi setiap masa.

Ini mampu dilakukan jika ramai daripada kita bukan daripada jenis yang tidak hiraukan kepentingan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.

Saya percaya masih ramai dalam kalangan kita yang mahu beri perhatian berat dan kasihan dengan anak-anak kita yang melanggar undang-undang kerana tidak sedar dengan risiko yang bakal mereka tanggung akibat kecuaian mereka dan kealpaan ibu bapa sendiri.

Apa pun, kita perlu terima hakikat bahawa yang mampu mengurangkan kadar kecederaan dan kematian disebabkan kemalangan secara berkesan, sebenarnya, adalah penguatkuasaan yang tegas, bukan sekadar hukuman berat.

Hari ini kita sibuk isytihar perang dengan denggi, penyalahgunaan dadah, rasuah dan dengan macam-macam lagi anasir buruk.

Sudah lama patutnya pihak berkuasa kita pertingkatkan penguatkuasaan undang-undang supaya kita dapat mengelak dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dalam kalangan rakyat kita yang sudah mengakibatkan beribu-ribu kecederaan dan kematian setiap tahun.

Kita tidak mahu berbangga menjadi antara negara yang mempunyai kadar kemalangan tertinggi di dunia!

0 Komentar untuk " Apa nak bangga dengan nahas! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ