Infak harta atasi kemunduran - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Infak harta atasi kemunduran

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahui-Nya dan (ingatlah), orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya." (Surah al-Baqarah, ayat 270) Allah SWT mengingatkan setiap mukmin bahawa Dia sentiasa melihat niat dan hati nurani, apa sahaja yang ada di dalam hati mukmin itu sama ada perasaan takwa, riak, bakhil dan fikiran takut kepada kemiskinan. Adalah satu hakikat yang tidak dapat ditolak lagi bahawa menginfakkan harta di jalan Allah SWT adalah pelaburan akhirat yang sangat menguntungkan, namun pelaburan itu ada syarat dan caranya. Ramai juga yang menginfakkan hartanya tetapi gagal memenuhi syarat dikehendaki.

Justeru tanpa ilmu dan kefahaman yang jelas, seseorang berasakan dirinya pemurah tetapi sebenarnya dia tidak memperoleh apa-apa di sisi Allah SWT. Menunaikan kewajipan nikmat harta itu adalah perbuatan yang adil dan menahan nikmat harta adalah perbuatan zalim. Manusia dalam persoalan ini terbahagi kepada dua, yang adil menunaikan janjinya dengan Allah SWT iaitu jika dikurniakan nikmat dia menyempurnakan kewajipannya dan bersyukur. Manusia yang zalim memungkiri janjinya dengan Allah SWT dan tidak menunaikan kewajipan serta tidak bersyukur.

Bersedekah secara tersembunyi 

Mengeluarkan sedekah dengan ikhlas secara bersembunyi adalah lebih afdal dan disukai oleh Allah SWT. Ia wajar bagi memastikan sedekah itu bersih daripada kekotoran, keinginan menunjuk-nunjuk dan riak. Apabila sedekah itu adalah sedekah yang wajib, maka mengeluarkannya secara terang-terangan dan terbuka mengandungi tujuan melahirkan kepatuhan, ini lebih baik tersebar serta terbuka. Infak yang dimaksudkan itu ialah sedekah dan amal kebajikan seperti zakat wajib, zakat sunat, derma sukarela, bantuan segera kepada mangsa bencana alam seperti gempa bumi, kebakaran atau banjir. Nazar ialah pemberian serta amal kebajikan yang dikeluarkan atau ditunaikan berdasar kepada iltizamnya dengan Allah SWT kerana sebab tertentu. Jika seseorang itu sudah bernazar, maka wajib untuknya melaksanakannya selama mana yang terkandung di dalam nazarnya itu adalah suatu yang baik atau harus. Baginda SAW bersabda: "Sesiapa bernazar untuk taat kepada Allah maka hendaklah dia taat; dan sesiapa bernazar untuk kemaksiatan maka janganlah dia melakukannya." (Riwayat Bukhari)

Adapun nazar untuk perkara maksiat, cukup dengan dia tidak menunaikan nazar itu kerana ia maksiat. Tidak ada kafarah yang wajib ke atasnya. Mereka yang ingin menginfakkan harta perlu berlaku adil terhadap diri dan hartanya dengan mematuhi aturan ditetapkan kerana infak yang tidak memenuhi syarat atau aturannya tidak berfungsi untuk membersihkan harta serta pemiliknya daripada dosa.

Belanja harta untuk maksiat perbuatan zalim 

Allah SWT mengingatkan orang zalim ialah yang suka membelanjakan hartanya dengan membuat maksiat, sama ada dalam bentuk membantu perbuatan maksiat atau dia sendiri melakukannya. Orang seperti itu tidak dapat ditolong oleh sesiapa pun jika dia ingin melepaskan dirinya daripada azab Allah SWT. Orang yang zalim kepada dirinya ialah mereka yang bersifat atau mengungkit-ungkit dan menyakitkan perasaan serta berbuat zalim kepada fakir miskin. Mereka tidak mengeluarkan infak yang Allah SWT wajibkan bahkan melakukan kezaliman kepada masyarakat. Oleh itu, mereka tidak akan mendapat penolong pada hari kiamat, baik dengan harta atau pangkat. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pada saat itu, orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabat pun yang boleh membelanya dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya." (Surah al-Ghafir, ayat 18)

Umpama pinang dibelah dua 

Ini sebagai pengajaran bagi orang yang bakhil untuk mendermakan hartanya demi kepentingan umat Islam serta kemaslahatan kebaikan dan kejayaan bagi masyarakat. Harta dan jiwa itu ibarat pinang dibelah dua. Harta adalah sumber kemaslahatan masyarakat pada zaman kebendaan sekarang. Oleh sebab, masyarakat Islam menjadi mundur serta ketinggalan daripada masyarakat lain baik dalam bidang kebudayaan mahupun ilmu pengetahuan dan teknologi.

Rahsia untuk menyelamatkan umat Islam daripada kemunduran ialah dengan mengorbankan sebahagian daripada kekayaan mereka dan faedahnya kembali kepada seluruh masyarakat. Pada kekuasaan Allah SWT kembali segala perkara yang dahulu mahupun akan datang. Sesungguhnya orang yang tidak menunaikan kewajipan nikmat harta kepada Allah SWT dan hamba-Nya, maka ia adalah seorang yang zalim terhadap janjinya dengan Allah, zalim terhadap manusia serta dirinya sendiri.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/131228

Related Post

0 Komentar untuk " Infak harta atasi kemunduran "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ