'Tidur sebantal, mimpi berbeza' - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

'Tidur sebantal, mimpi berbeza'

TUN Dr Mahathir Mohamad meneruskan kempen menentang Datuk Seri Najib Razak menerusi deklarasi dan himpunan seteru yang bertukar menjadi sekutu. Pada penghujung majlis 'perpaduan' Jumaat lalu, beberapa orang penyokong Anwar melaungkan 'Reformasi' - ungkapan parti pembangkang yang kini menjadi sahabat Dr Mahathir. Dr Mahathir yang kini berpaling kepada DAP dan beberapa musuh ketatnya untuk menyokong perjuangan menentang Najib, hanya melemparkan senyuman. Ketika menandatangani deklarasi yang antara lain mendesak perdana menteri ditukar, beliau terpaksa membuka dompet bagi mencari lesen memandu kerana tidak mengingati nombor kad pengenalannya. Mereka sendiri mengakui, ia adalah himpunan kumpulan yang tidur sebantal dengan mimpi berasingan. Benar seperti ungkapan klise politik, segala-galanya mungkin dalam politik dan tiada musuh atau rakan yang kekal dalam politik. Beberapa hari sebelumnya, Dr Mahathir dan Lim Kit Siang mengadakan pertemuan untuk `mencari penyelesaian terhadap kebuntuan.' Kedua-duanya adalah musuh ketat selama ini. Namun dalam keadaan terdesak pada Jumaat lalu, Dr Mahathir berkongsi pentas bersama orang kuat DAP dan pemimpin pembangkang lain yang pernah menanggung akibat susulan ketegasan dasarnya sepanjang 22 tahun memegang tampuk kuasa.

Pertamanya, kehangatan suasana ketika itu dapat dirasa secara harafiah. Majlis diadakan di bilik sempit bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) dekat Bangsar dan alat penyaman udara tidak berfungsi. Ramai yang teruja dengan apa yang berlaku dan puluhan wartawan memenuhi ruang dan mencari tempat terbaik untuk mengikuti apa yang bakal berlaku di hadapan mereka. Ia bermula dengan kehadiran pemimpin pembangkang golongan pertengahan. Keadaan menjadi agak canggung apabila pemimpin PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) yang juga bekas ahli PAS, bertemu lalu bersalaman dengan setiap gerak-geri diperhati wakil media. Keadaan bertambah hangat apabila bekas tahanan ISA, Hishamuddin Rais; Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Presiden PAN, Mohamad Sabu, memasuki dewan. "Betul ke mereka nak bersama Dr M?" ada yang bertanya kepada wartawan kami.

Pemerhati bersorak sebaik Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba, diikuti oleh ibu dan bapanya yang kini mencecah usia 90 tahun. Ia benar-benar berlaku. Tidak lama kemudian, Dr Mahathir membacakan deklarasi berkenaan dengan sebahagian besarnya adalah ulangan segala tuduhan lampau terhadap Najib, dan mendesak pengundurannya. Sidang media selepas itu memang memalukan. Dr Mahathir dan kumpulannya mengelak daripada menjawab soalan yang sukar. Bolehkah mereka saling mempercayai? Bolehkah mereka memaafkan Dr Mahathir atas tindakannya pada masa lalu? Kit Siang dan Timbalan Presiden UMNO yang digantung jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, saling duduk bersebelahan. Dr Mahathir kelihatan tersenyum sepanjang masa manakala wajah Kit Siang kekal serius. Sepanjang sesi selama sejam setengah itu, tidak banyak yang diperkatakan Muhyiddin dan hanya menjawab soalan berhubung kemungkinan beliau dipecat daripada parti kerana menghadiri sidang media itu. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak hadir tetapi pengacara majlis, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga pendebat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mendakwa Shafie turut menurunkan tanda tangannya.

Syed Saddiq adalah Pembahas Terbaik Asia pada Kejohanan Debat Parlimen British Asia 2015 tetapi kenyataan umumnya banyak membidas Najib. Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah dan bekas Presiden Majlis Peguam Negara, Datuk Ambiga Sreenevasan, berucap untuk beberapa minit. Maria berkata, kesilapan lalu boleh diperbaiki berikutan penubuhan gerakan itu. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada boleh melupakan kesilapan Dr Mahathir sebelum ini. Bekas Perdana Menteri itu hanya tersenyum. Dalam kelompok politik yang berbeza, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, secara sinis `berterima kasih' kepada Dr Mahathir menerusi Twitter kerana bersekongkol dengan pembangkang yang amat tidak dipercayainya. "By collaborating with the opposition whose agenda is to destroy Umno, this fight is no longer between Tun & PM. Now it's between Tun & Umno." "(Kerjasama dengan pembangkang yang mempunyai agenda untuk menghancurkan UMNO bermakna pertarungan ini bukan lagi antara Tun dan PM (Perdana Menteri).

Kini, ia adalah antara Tun dan UMNO)," kata Ahli Parlimen dari Sabah itu menerusi akaun Twitter rasminya, @mpkotabelud. Beberapa jam selepas majlis itu, Rahman secara peribadi mengakui tidak mahu lagi berselindung dengan Dr Mahathir. "Tiada maaf lagi. Saya memilih untuk mengecam mereka di Twitter. Ia memang kejam tapi peduli apa. Saya sudah biasa dengan keadaan ini," katanya. Sehari sebelumnya, Rahman turut memuat naik tweet mencadangkan Dr Mahathir `memeluk dan mencium pipi Lim Kit Siang' pada majlis Jumaat lalu. Seperti diduga, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap perhimpunan diketuai Dr Mahathir dan `Deklarasi Rakyat' atau lebih sesuai dipanggil `Deklarasi Mahathir' memberi reaksi ringkas dan tegas. Bagi mereka, pakatan itu bukan sekadar mahu menjatuhkan Najib tetapi menggulingkan Kerajaan BN. MCA menyifatkan majlis itu sebagai `bermotif politik'. MIC menganggap tindakan Dr Mahathir tidak mencerminkan kedudukannya sebagai negarawan. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mengingatkan Dr Mahathir dan sekutu baharunya yang matlamat tidak wajar menghalalkan cara. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berada di Melaka ketika majlis itu berlangsung di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau tegas meminta Dr Mahathir dan kumpulannya supaya menghormati proses demokrasi. Najib menemui Ahli Parlimen BN malam tadi bagi mesyuarat pramajlis menjelang sesi Sidang Dewan Rakyat yang bermula esok. Mesyuarat sedemikian adalah kelaziman sebelum Dewan Rakyat bersidang. Bolehkah gerakan Dr Mahathir meraih momentum yang dimahukan? Ketika ini, kumpulan itu tidak mempunyai strategi jelas atau pelan tindakan. Bagaimanapun, mereka mungkin meningkatkan perang saraf dengan menggunakan media asing untuk menyerang kerajaan. Penganalisis berpandangan UMNO dan BN akan bersikap ofensif, terutama dalam keadaan Dr Mahathir tidak lagi bersama UMNO dan ditambah dengan kesabaran yang semakin menipis daripada Najib serta pemimpin BN.

Kumpulan yang dibarisi individu pelbagai acuan politik dan latar belakang ini terbentuk kerana mereka tidak berpengaruh jika bersendiri. Pemenjaraan Anwar membuatkan pakatan pembangkang terumbang-ambing tanpa kepemimpinan yang diperlukan. "Dr Mahathir menarik mereka atas satu persamaan paling longgar - membenci Najib - selepas beliau gagal dalam percubaan terdahulunya untuk menyingkirkan Perdana Menteri," kata felo kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam Singapura, Ooi Ei Sun. Seramai 58 individu daripada 58 latar belakang menurunkan tanda tangan mereka di atas sekeping kertas, dengan ikrar untuk `menyelamatkan' Malaysia. Mereka termasuk Muhyiddin yang pernah mengisytiharkan dirinya `Melayu terlebih dahulu' dan Kit Siang yang mempertahankan pegangan `rakyat Malaysia terlebih dahulu'. Menariknya, Kit Siang menghabiskan masa berdekad lamanya dalam politik untuk menyelamatkan Malaysia daripada Dr Mahathir manakala Dr Mahathir ketika berkuasa sentiasa memastikan cengkamannya kukuh bagi menyelamatkan Malaysia daripada Kit Siang dan DAP yang melaungkan slogan `Malaysian Malaysia'. Ahli politik juga mudah lupa.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/131381

Related Post

0 Komentar untuk " 'Tidur sebantal, mimpi berbeza' "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ