SAYA ucapkan syabas kepada Rakan Langkawi Geopark (FLAG), Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-UKM) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang berjaya menganjurkan Seminar Program Geopark Pulau Tuba awal tahun ini. Jemputan termasuk pelbagai agensi berkepentingan seperti pejabat Daerah, Jabatan Perhutanan, Jabatan Polis, Jabatan Haiwan, Jawatankuasa Kemajuan Kampung dan SWCorp.
Sekitar 150 penduduk mewakili pelbagai kelompok masyarakat hadir dan terbabit dengan aktif. Ini adalah usaha awal membawa seluruh penduduk Pulau Tuba dan Selat Bagan Nyior duduk semeja dan berbincang mengenai kepentingan mereka. Usaha membangun Pulau Tuba bersama geopark bermula sejak tahun 2007 ketika Langkawi diisytihar sebagai Geopark Global. Banyak prasarana pelancongan sudah dibangunkan ketika itu. Antaranya, trail (lanai) ke Gua Wang Buluh, jambatan menghubungi Pulau Tuba dan Bagan Nyior, jeti dan jalan tambahan untuk pelancongan.
Tidak ramai pelancong
Sebahagian prasarana ini sudah uzur, dan setengahnya pula sudah tidak boleh digunakan lagi. Ada yang menyatakan penyelenggaraan tidak dilaksanakan dengan sempurna, tetapi pada hakikatnya, tidak ramai pelancong datang berkunjung ke pulau ini. Pulau Tuba adalah pulau ketiga terbesar di Langkawi dan dihuni lebih 2,000 penduduk tempatan. Kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai nelayan dan petani, selain sebahagian kecil yang bekerja dalam industri pelancongan. Kenyataannya, ramai anak muda telah keluar ke pulau besar Langkawi untuk bekerja bagi memperoleh pendapatan yang baik.
Pulau ini unik dalam pelbagai hal, khususnya mempamerkan landskap berpandangan indah. Di beberapa lokasi, kita dapat melihat warisan geologi bernilai kebangsaan iaitu rekod saintifik penting mengenai sejarah pembentukan Bumi Malaysia. Formasi Batu Kapur Kars Tropika dan rajahan batuan Granit yang membentuk Pulau Tuba ini mencorakkan keindahan landskap tabii dan berpotensi menarik pelancong untuk menikmatinya. Dalam perbincangan yang dilakukan dengan penduduk kampung, jelas mereka dahagakan pembangunan dan bersedia untuk bersama dalam arus pembangunan Geopark Langkawi. Mereka melakukan pelbagai usaha mengikut kemampuan yang ada. Begitupun, masih banyak cabaran dan ranjau yang perlu diharungi. Kami mendengar keluhan mereka dengan penuh keinsafan dan hati yang terbuka.
BATU kapur terlipat-geotapak berpotensi menarik perhatian pelancong.
Beri komitmen tinggi
Berdasarkan pembentangan oleh pelbagai agensi berkepentingan dan pandangan penduduk kampung, saya yakin pelancongan Pulau Tuba boleh diarusperdanakan sekiranya semua pihak bersedia bekerjasama dan sanggup memberi komitmen tinggi. Tiga perkara asas yang perlu diberi perhatian untuk mencapai kejayaan ialah membangun produk pelancongan berinovasi, strategi mempromosi pelancongan Tuba secara berterusan, dan memperkukuh keupayaan komuniti setempat sebagai peneraju pelancongan.
Produk pelancongan di Pulau Tuba perlu dibangunkan berasaskan warisan alam, khususnya landskap berpandangan indah. Landskap Kars Tropika, Tor Granit, pantai berpasir dan berbatu, tapak geowarisan dan kepelbagaian biologi Batu Kapur perlu dijadikan asas pembangunan pelancongan. Pendekatan pelancongan-ilmu dan rekreasi berasaskan konsep geopelancongan boleh dijadikan panduan untuk membangun produk. Ia boleh bersifat produk tersendiri atau rangkaian berasaskan sebuah geotrail. Produk sampingan seperti homestay, restoran dan kraftangan bolehlah dibangunkan bersama mengikut unjuran pelancong.
Promosi tak cukup
Ramai penduduk kampung berpendapat usaha promosi tidak mencukupi untuk membawa pelancong berkunjung ke Pulau Tuba. Bagaimanapun, saya berpendapat Tuba tidak memiliki satu produk pelancongan lestari. Sekiranya sebuah geotrail yang baik dapat disediakan, sebahagian daripada pelancong yang mengunjungi Tasik Dayang Bunting boleh dipandu untuk melawat Tuba. Dengan cara ini, Tuba bakal mendapat pelancong harian secara berterusan dan susulannya perusahaan homestay, restoran dan kraftangan mampu berkembang secara lestari.
Faktor kejayaan utama membangun pelancongan di Pulau Tuba terletak di bahu komuniti setempat. Mereka perlu bersatu hati, berusaha dalam satu komuniti bersepadu dan bersedia membangun keupayaan serta kemahiran berkaitan industri pelancongan, alam sekitar dan pemuliharaan warisan. Oleh itu, pihak berkepentingan seperti LADA, PPL-UKM dan FLAG boleh memainkan peranan sebagai penggerak dan pemudahcara program seminar, bengkel dan kursus pembangun keupayaan pelbagai kelompok penduduk Pulau Tuba.
Apabila penduduk tempatan telah diperkasa, aktiviti pelancongan lebih mudah dilestarikan. Pembangunan Langkawi UNESCO Global Geopark berpegang kepada prinsip memperkasa komuniti, pemuliharaan warisan alam dan pendidikan awam untuk kelestarian. Pulau Tuba dan komuniti tempatan perlu dibawa bersama dalam arus perdana pembangunan geopark dan geopelancongan. Penulis ialah Penasihat, Langkawi UNESCO Global Geopark; dan Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/126514

0 Komentar untuk " Kepelbagaian warisan alam Pulau Tuba aset tarik pelancong "