Pusat sukan mampu jana pendapatan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pusat sukan mampu jana pendapatan

Pusat sukan berbayar semakin rancak

Pembukaan pusat sukan berbayar semakin menarik banyak pihak untuk menceburi bidang itu kebelakangan ini umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Bidang perniagaan dikatakan mampu memberikan keuntungan kepada pemilik dalam tempoh masa singkat.

Ia bukan sahaja dibuka di kawasan bandar, tetapi ia juga di kawasan kampung.

Di bandar-bandar besar khususnya Lembah Klang tidak dinafikan ia semakin bertambah saban tahun berikutan peningkatan permintaan pelanggan.

Namun, pembabitan Bumiputera di dalam cabang perniagaan ini agak kurang mungkin kerana kos pembinaan sesebuah pusat sukan yang memerlukan pelaburan yang agak besar menjadi penghalang kepada penyertaan Bumiputera.

Sekiranya Bumiputera berminat untuk membabitkan diri dalam perniagaan ini, mereka disarankan untuk membuka perniagaan secara berkumpulan bagi merealisasikan pembukaan pusat sukan itu.

Selain itu, kerajaan juga diharap dapat membantu pengusaha pusat sukan berbayar ini dalam bentuk nasihat ataupun bantuan dalam usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan.

Galak bina pusat sukan berbayar

Kerajaan sentiasa menggalakkan pembinaan pusat sukan berbayar sebagai alternatif kepada pusat sukan yang disediakan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan berkata, ini berikutan jumlah rakyat yang bergiat dalam aktiviti sukan semakin bertambah saban tahun.

“Ini terbukti dengan kejayaan pelbagai program serta inisiatif yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan. Contohnya, penganjuran Fit Malaysia dan Hari Sukan Negara tahun lalu mendapat sambutan apabila menarik jutaan rakyat.

“Hal ini membuktikan gelombang kesedaran rakyat terhadap kepentingan sukan meningkat memandangkan ia dapat menyihatkan tubuh badan serta menghindarkan diri daripada risiko penyakit,” katanya.

Keadaan ini amat baik dalam usaha kerajaan yang menyasarkan Malaysia sebagai negara sukan.

Pembukaan pusat sukan berbayar merupakan platform yang baik untuk mencungkil bakat baru dalam arena sukan di pelbagai peringkat terutamanya di peringkat akar umbi.

Ini kerana, kata Saravanan, golongan belia pada masa kini telah mula memilih industri sukan sebagai kerjaya ataupun karier mereka.

“Kementerian Belia dan Sukan menyokong sebarang program sukan yang dianjurkan oleh semua pihak terutama pihak swasta dan badan korporat serta usahawan sukan dalam menggalakkan masyarakat untuk bersukan.

“Saya berharap pusat sukan berbayar menjalinkan kerjasama dengan kami dalam usaha menarik lebih ramai belia untuk berkecimpung dalam arena sukan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak memberikan peruntukan khusus kepada mana-mana individu ataupun pihak yang ingin membuka pusat sukan berbayar ketika ini.

“Bagaimanapun, bantuan menjalankan aktiviti sukan seperti pertandingan atau kejohanan boleh dipertimbangkan oleh pihak kementerian jika ia bersesuaian dan mengikut peraturan serta syarat yang ditetapkan,” katanya.

Saravanan turut merasakan lebih banyak pusat sukan berbayar yang akan wujud di negara ini dari semasa ke semasa melihat kepada budaya sukan di kalangan rakyat.

Beliau berkata, pembukaan pusat sukan ini juga mampu menjana ekonomi negara.

“Saya berharap pusat sukan ini dibuka di lokasi yang strategik serta berada di dalam komuniti setempat untuk menarik perhatian dan memudahkan masyarakat,” katanya.

Beliau berharap, caj yang dikenakan oleh pusat sukan berbayar adalah berpatutan kepada pengguna terutamanya golongan belia.

“Caj yang dikenakan pihak pengurusan dapat memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa dalam keadaan baik dan diselenggarakan dengan teratur mengikut keselesaan pengguna,” katanya.

Kurang penyertaan Bumiputera

Penyertaan Bumiputera dalam perniagaan pusat sukan di negara ini agak kurang.

Pengarah KNZ Global, Mohd Zuhairi Zahrom, 27, berkata, sumber kewangan terhad menjadi faktor mengapa ramai Bumiputera tidak menceburi bidang ini.

“Kos untuk membina pusat sukan seperti ini memerlukan pelaburan yang agak banyak. Jadi, ini membuatkan mereka tidak dapat memasuki perniagaan ini,” katanya.

Mengakui pembinaan pusat sukan memerlukan modal agak besar dan kos pembinaan contohnya Uptown Sport Bangi bernilai kira-kira RM9 juta.

Selain itu, tempoh untuk menyiapkan satu pusat sukan itu juga bergantung kepada keluasan pusat sukan tersebut.

“Uptown Sport Bangi dibina pada 2013 dan siap sepenuhnya pada akhir 2014. Jadi, dalam tempoh tersebut, kami banyak bersabar dan berdoa agar kompleks ini dapat siap sebaiknya.

“Bagaimanapun, saya yakin ramai Bumiputera lagi akan terbabit dalam perniagaan ini pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, sebelum terbinanya Uptown Sport Bangi, dia bersama dua lagi rakannya menjelajah ke seluruh negara untuk membuat kajian terhadap beberapa kompleks sukan selama dua tahun.

Dia berbuat demikian agar dapat menjadikan kemudahan di Uptown Sport Bangi serba lengkap berbanding kompleks sukan yang lain.

“Daripada penjelajahan ini, kami dapat mengenal pasti apa yang perlu diletakkan di dalam Uptown Sport Bangi,” katanya.

Menurutnya, dia membina pusat sukan tersebut kerana meminati dunia perniagaan serta sukan futsal.

Selain itu, dia berkata, permintaan terhadap gelanggang futsal sangat tinggi atas beberapa faktor.

“Ketika saya mula tinggal di Bangi pada 2010, ramai penduduk Bangi yang minat bermain futsal. Namun, tidak banyak gelanggang futsal yang dibina.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk membina sebuah kompleks sukan yang bukan sahaja mempunyai gelanggang futsal, malah, saya juga membina beberapa gelanggang badminton dan juga sebuah gimnasium,” katanya.

Menurutnya, selain penduduk setempat, bilangan pelanggannya semakin bertambah pada setiap tahun kerana ramai pelajar universiti dan kolej beriadah di Uptown Sport Bangi.

Kebiasaannya, pelanggan ramai pada hari Rabu sehinggalah Ahad dan jumlah tersebut akan berkurangan pada hari Isnin dan Selasa.

“Bagaimanapun, kemudahan sukan di kompleks ini cukup untuk menampung jumlah pelanggan yang hadir ke sini,” katanya.

Menurutnya, pembukaan kompleks sukan sebegini boleh menjana keuntungan kepada pemiliknya.

“Orang ramai mungkin perlu membayar dalam anggaran RM10 untuk menggunakan kemudahan sukan di sini. Saya rasa, jumlah ini tidaklah begitu mahal.

“Mereka yang membuka kompleks sukan boleh mendapat keuntungan. Namun, mereka perlu banyak bersabar dan bijak membuat perancangan,” katanya.

Selain digunakan untuk bermain badminton, Zuhairi katanya, dewan badminton di kompleks sukan itu boleh digunakan untuk pelbagai majlis.

Promosi bantu pusat sukan dikenali

Usaha pihak ataupun individu menentukan sesebuah kompleks sukan mampu menjana keuntungan kepada pemiliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ferro Futsal, Ezzeim Zulfaqar, berkata, usaha memainkan peranan sangat penting dalam apa cabang bidang perniagaan.

“Kalau anda mempunyai segala-galanya, namun jika tidak berusaha, maka perniagaan mungkin tidak akan menjadi,” katanya.

Lokasi Ferro Futsal di Subang Jaya agak terpencil daripada lokasi tumpuan orang ramai yang mana ia terletak di kawasan perindustrian.

Pada awal pembukaan pusat sukan itu, orang ramai tidak banyak bermain futsal di kompleks futsal tersebut.

“Namun, kami tidak berputus asa dan mempergiatkan promosi melalui pelbagai cara seperti poster, laman sesawang rasmi Ferro Futsal dan membuat laman sosial Facebook Ferro Futsal.

“Dengan pelbagai usaha, Alhamdulillah, pelanggan semakin bertambah,” katanya.

Perniagaan futsal ini bukanlah sebuah perniagaan yang boleh membawa keuntungan lumayan sehingga menjadi kaya kerana kos membuka kompleks futsal memerlukan modal agak tinggi.

Menurutnya, kos pembinaan pusat futsal itu di Taman Perindustrian Subang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Katanya, Ferro Futsal kini sudah mempunyai dua kompleks futsal di Kuantan, Pahang dan Bukit Rambai, Melaka.

“Ferro Furtsal di Melaka merupakan gelanggang yang pertama menggunakan gelanggang interlocking type system yang di perakui oleh badan bola sepak dunia.

“Kami akan membuka kompleks futsal di tempat lain sekiranya mempunyai peluang.

"Buat masa ini, kami akan memberi fokus kepada ketiga-tiga kompleks ini terlebih dahulu,” katanya.

Setakat ini, terdapat kira-kira 70 kompleks futsal di sekitar Lembah Klang.

“Bagaimanapun, perniagaan futsal ini agak menyeronokkan kerana semua urusan perniagaan dilakukan secara tunai dan bukannya secara kredit.

“Perkara ini menjadi satu kepuasan kepada saya dan pihak pengurusan kompleks ini,” katanya.

0 Komentar untuk " Pusat sukan mampu jana pendapatan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ