Masyarakat abai kebersihan punca kes denggi meningkat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Masyarakat abai kebersihan punca kes denggi meningkat

FENOMENA El Nino yang melanda negara ketika ini boleh menyebabkan peningkatan kes denggi sehingga 50 peratus berikutan cuaca panas, kering dan suhu tinggi. Perubahan cuaca, kita tidak mampu halang. Tetapi, demam denggi sudah pasti kita mampu halang. Cuma apa yang perlu dilakukan rakyat Malaysia adalah menjaga kebersihan kawasan persekitaran mereka. Bercakap mengenai kurangnya kebersihan, ia bukan isu baharu bagi rakyat Malaysia. Biarpun agak pahit untuk diterima, realitinya negara masih lagi belum bebas daripada terikat dengan budaya tidak ambil peduli majoriti masyarakat berhubung pemeliharaan persekitaran.

Pemikiran masih pada takuk lama kerana bagi mereka asalkan rumah sendiri bersih, tiada tempat yang membolehkan berlakunya takungan air untuk pembiakan nyamuk aedes, ia sudah dianggap mencukupi. Sikap kurang prihatin segelintir masyarakat atau penduduk rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), flat atau pangsapuri dalam membuang sampah sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan wabak denggi.

Buang sampah dari tingkat atas 

Lif rosak dijadikan alasan walhal mereka sebenarnya malas. Ini, menyebabkan ada antara penghuni yang tidak bertanggungjawab dengan begitu mudah membuang sisa merata-rata biarpun tong sampah telah disediakan di bawah setiap blok. Mereka juga sewenang-wenangnya mencampakkan sampah dari tingkat atas ke bawah tanpa memikirkan keselamatan dan perasaan orang lain. Sedangkan perbuatan sedemikian tidak sekadar membuatkan sampah itu jatuh bertaburan sekali gus mengotorkan kawasan kediaman, ia juga membahayakan penghuni atau orang lain yang kebetulan berada di bawah.


LONGGOKAN sampah yang tidak diurus dengan betul boleh menjadi sarang nyamuk aedes. - Foto hiasan Penulis sendiri ketika ditugaskan membuat liputan mengenai kediaman rumah PPR pernah menyaksikan cermin kereta pecah akibat angkara penduduk tidak bertanggungjawab itu. Malah, seorang kenalan saya Diana, 30, yang sudah lapan tahun tinggal di kawasan PPR turut memesan supaya tidak berjalan di kawasan yang tidak berbumbung di PPR kerana dibimbangi akan terkena sampah yang dicampakkan dari tingkat atas.

 "Mentaliti masyarakat di sini memang begitu. Biarpun, bukan semua hanya segelintir kecil sahaja. Tetapi, inilah masalahnya, 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga.' "Bukan hanya kotor dan tidak selesa tetapi juga terdedah dengan ancaman denggi. Kawasan sini memang banyak kes denggi," katanya. Apa yang diutarakan bukanlah bermaksud untuk menampakkan imej negatif kepada kawasan kediaman jenis berkenaan. Cuma, sekadar menegur akan sikap segelintir individu berkenaan. Ada juga kawasan PPR, flat dan pangsapuri yang mana penghuninya amat meniktiberatkan aspek kebersihan.

Tak bimbang beli makanan 

Penulis masih ingat lagi ketika melalui satu kawasan rumah PPR yang begitu bersih persekitarannya ketika dalam perjalanan ke tempat tugasan. Kalau tidak silap, lokasinya adalah di Cheras. Suasananya begitu nyaman, sejuk sahaja mata memandang dan sedikit pun tidak rasa bimbang untuk membeli makanan yang dijual di situ. "Kawasan ini, DBKL rajin jaga selain penduduknya pun amat mementingkan kebersihan," antara perbualan penulis dengan pemandu teksi. Isu kebersihan sememangnya tidak hanya terbatas dalam kawasan perumahan sedemikian, tetapi juga di mana-mana sahaja.

Rumah teres, dua tingkat juga tidak terkecuali dalam perdebatan ini. "Baru sahaja sapu, datang balik tengok ada sampah berlonggok di tangga. Mereka cuma hendak rumah sahaja bersih tetapi kawasan sekitar dibuat sesuka hati. Ini, membuatkan terdedahnya kepada penyakit," kata Fatimah Kulop yang bekerja sebagai tukang bersih selama 26 tahun. Rumah sendiri bersih, bukanlah jaminan bahawa anda sudah terselamat daripada gigitan nyamuk aedes yang mampu terbang sehingga 200 meter.

Tidak ada alternatif lain, semuanya berbalik kepada kebersihan biarpun pada masa sama tidak dinafikan faktor-faktor seperti cuaca, kepadatan penduduk turut sama menyumbang ke arah peningkatan wabak berkenaan.


PELAJAR perlu didedah mengenai bahaya nyamuk aedes. - Foto hiasan

Persekitaran kotor 

Analisis Kementerian Kesihatan turut membuktikan pembiakan wabak ini ada kaitan dengan persekitaran tidak bersih, tabiat membuang sampah merata-rata dan ketidakcekapan pengurusan sampah. Sebanyak 120,836 kes denggi telah dilaporkan tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 11.2 peratus atau 12,138 kes berbanding 108,698 kes yang dilaporkan pada tahun 2014.

Tidak dinafikan nyamuk aedes hanya membiak di air jernih dan bukan di kawasan kotor seperti air larut resap (leachate), tetapi cuba bayangkan apabila sampah yang berselerakan di atas jalan? Tin kosong, bekas polisterin, berisiko berlakunya takungan air yang sekali gus membolehkan nyamuk itu bertelur dan membiak. Disebabkan itulah, ditekankan banyak kali mengenai kepentingan setiap daripada kita bertanggungjawab memainkan peranan membersihkan kawasan rumah biarpun hanya 10 minit seminggu. Juga, semangat gotong-royong harus berterusan dan bukannya sekadar bermusim! - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/116127
0 Komentar untuk " Masyarakat abai kebersihan punca kes denggi meningkat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ