Berubah sebelum padah melanda - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Berubah sebelum padah melanda

NUR Wahyu Firman, seorang bos muda di sebuah syarikat senibina. Saya kenal gadis ini melalui bapanya, yang menjadi rakan sukan badminton. Wahyu bermain di gelanggang wanita, sementara saya dan bapanya bermain di gelanggang lelaki.

Minggu lalu, sementara menanti gilirannya bermain, Wahyu menemui saya dengan wajah muramnya. Dia menyuarakan kebimbangan terhadap langkah syarikatnya yang sedang menstruktur organisasi.

Tiga orang pereka di bawah seliaannya akan dipindahkan ke sebuah syarikat yang baharu ditubuhkan oleh majikannya. Itulah yang menjadi kerisauannya.

Katanya, dia penat melatih pereka-perekanya itu.  Daripada mereka yang tidak mahir menjalankan tugas hingga menjadi pereka-pereka yang cekap dan pantas bekerja di bawah asuhannya. Apabila dia ditukarkan, jabatannya kehilangan tenaga kerja berpotensi dan banyak projek akan terbengkalai.

Wahyu kaget apabila saya tersenyum mendengar keluhannya. Saya menerangkan kepada Wahyu, pemergian seseorang yang bagus daripada jabatannya itu adalah petanda bahawa dia sudah menjadi seorang bos yang baik.

Kakitangan yang baik juga adalah hasil daripada didikan seorang bos yang handal. Wahyu sepatutnya bangga melepaskan orang-orangnya ke jabatan lain.

Seperti juga seorang ibu yang hendak melepaskan anak gadisnya untuk menjadi isteri orang, dia akan berasa bangga kerana anak gadisnya itu telah terdidik sehingga tahu selok belok teori dan praktik sebagai seorang isteri yang baik.

Kerana itu, Wahyu sepatutnya bersedia untuk melepaskan lagi mana-mana stafnya yang berpotensi ke jabatan yang lain apabila syarikat memerlukannya.

Namun, Wahyu berasakan dia terpaksa menghabiskan masa untuk melatih staf yang baharu. Bagaimana jika mereka yang baharu itu tidak dapat mencapai tahap yang diharapkan, soalnya.

Jawab saya, ia hanya suatu andaian. Satu lagi andaian ialah bagaimana pula seandainya mereka yang baharu itu boleh menjadi pereka-pereka yang lebih baik daripada yang telah ditukarkan itu? Ini juga suatu kemungkinan.

Pendek kata, seseorang ketua itu sepatutnya bersiap sedia untuk menjadikan jabatannya sebagai sebuah kilang yang melahirkan mereka yang terlatih dan berpotensi hingga dapat berkhidmat di mana-mana jabatan yang lain.

Malah, berjiwa besar untuk berasa bangga meskipun mana-mana stafnya sudah berhijrah ke syarikat pesaing kerana itu menandakan dia sudah menjadi pengeksport kepakaran!

Apabila perbualan kami menyentuh mengenai staf-staf  baharu yang bakal mengisi jawatan di jabatannya, saya bawa Wahyu untuk melihat dari sudut dinamika kumpulan. Mereka yang baharu itu tidak boleh tidak akan memberi kesan terhadap mereka yang sedia ada. Perkara pertama ialah aura kehadiran mereka.

Wajah-wajah mereka, suara, tindak-tanduk, tabiat, malah cara berpakaian mereka akan mengubah mood di jabatannya. Itu belum lagi cara kerja, input idea yang staf-staf baharu ini boleh curahkan di jabatannya. Kadangkala, sesebuah idea itu mungkin idea yang bodoh. Tetapi tanpa idea yang bodoh, tidak akan timbul idea-idea yang cerdik untuk memperbaikinya.

Malah, mungkin pula akan timbul idea-idea yang hebat, yang belum dijangkau fikiran mereka yang ada. Kehebatan idea-idea baharu ini akan merangsang kreativiti mereka yang ada. Mereka akan berasa tercabar lalu ingin bersaing dengan idea-idea yang lebih baik daripada yang dicadangkan oleh staf yang baharu.

Lihatlah pemergian mana-mana pemain hebat dalam sesebuah pasukan bolasepak. Pemergiannya diganti dengan pemain yang lebih handal. Jika tidak pun, pemain yang lama akan menunjukkan belang kerana peluang yang terhalang oleh pemain yang telah berhijrah itu kini terbuka luas.

Perpindahan dan pertukaran pemain dalam kebanyakan pasukan bolasepak professional akan melahirkan momentum baharu, semangat baharu dan juga visi baharu yang belum pernah dibayangkan oleh pasukan itu sendiri.

Jangan takut dengan kehilangan anggota pasukan yang handal. Jangan pula risaukan akan potensi anggota pasukan yang baharu. Pada asasnya manusia itu serupa. Apabila dia berpindah tempat, naluri survivalnya itulah yang memacu dirinya untuk mengatasi segala cabaran yang mendatang, lantas membawa seluruh anggota pasukan untuk ke puncak kejayaan.

Tetapi seandainya sesebuah pasukan itu takut untuk menukar anggotanya kerana kononnya menghormati jasa, akhirnya seluruh pasukan akan goyah, lemah dan runtuh musnah. Wahyu nampaknya lega setelah mendengar pandangan saya itu.

0 Komentar untuk " Berubah sebelum padah melanda "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ