Islam tolak keganasan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Islam tolak keganasan

MINGGU lepas penulis tergamam menerima berita kematian dua pengebom berani mati rakyat Malaysia yang meletupkan diri mereka di Syria atas nama jihad.

Beberapa hari lepas pula, timbul berita berkaitan pengeboman berani mati di kota bersejarah Islam Istanbul, Turki. Sehari selepas itu, disentak pula dengan berita sedih pengeboman di tengah-tengah bandar Jakarta.

Berbalik kepada negara kita, penulis bersyukur kepada ALLAH kerana peristiwa pengeboman yang berlaku di luar negara tidak berlaku di Malaysia. Namun begitu, kesan dari gerakan militan ini sedikit sebanyak turut meresap ke Malaysia.

 Baru-baru ini, tindakan pihak polis menahan mereka yang pulang daripada menyertai ‘jihad’ di Syria adalah tepat dan patut dipuji. Sewajarnya mereka yang terjebak dalam kancah konflik di Timur Tengah ini perlu dimasukkan ke dalam program pemulihan sebelum mereka dipastikan benar-benar selamat untuk kembali dalam masyarakat.

Pengalaman penulis sepanjang tahun 2005 hingga 2008 semasa dipanggil menyampaikan ceramah dan tazkirah dalam siri-siri pemulihan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) oleh Bahagian Anti-Pengganas Bukit Aman, mendapati bahawa rata-rata mereka yang terlibat dengan kumpulan militan ini bukanlah sangat daripada kalangan mereka yang berlatarbelakangkan agama atau benar-benar menguasai ilmu agama.

Kebanyakan mereka adalah profesional dan orang biasa yang baru mengenali agama tetapi terperangkap dalam tingkap kefahaman makna ‘jihad’ yang sempit, seolah-olah ada jalan pintas untuk ke syurga demi melupuskan dosa-dosa lampau mereka.

Kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama militan ini adalah berpunca daripada kekeliruan mereka dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar.

Dalam hal ini juga, usah dihiraukan kritikan segelintir pihak atas nama hak asasi manusia kerana hak majoriti masyarakat untuk hidup aman, terpelihara daripada kemudaratan adalah lebih utama.

Bahkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 telah pun menegaskan bahawa tindakan umat Islam yang menyertai kumpulan militan ini ataupun ingin berjuang bersama mereka atas nama jihad, hakikatnya bukanlah tergolong dalam erti kata jihad yang sebenar.

Malah kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka hukum syarak.

Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka juga adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran, kerana mereka menghalalkan darah sesama umat Islam. Inilah punca yang membawa mereka untuk melakukan pengeboman berani mati yang hakikatnya turut melibatkan kematian orang awam yang tidak berdosa.

 Pengharaman membunuh sesama umat Islam jelas dinyatakan oleh ALLAH dalam Surah al-Nisa’ ayat 93: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya. ALLAH murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar”.

 Malah, membunuh umat Islam dengan sengaja juga boleh membawa kepada kekufuran, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Mencerca orang Islam adalah perbuatan fasik, dan membunuhnya adalah perbuatan kufur”. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Menelusuri sejarah awal Islam, kita dapat lihat bahawa Islam amat mementingkan keimanan, keamanan, dan persaudaraan sesama umat Islam. Pernah suatu ketika dalam satu operasi perang, Usamah bin Zaid telah membunuh seseorang yang mengucap kalimah syahadah. Kemudian dia kembali kepada Rasulullah SAW dan memberitahu Baginda tentang perkara tersebut.

Rasulullah SAW bertanya kepada Usamah: “Adakah dia berkata - Tiada tuhan melainkan ALLAH - dan kamu (tetap) membunuhnya?” Usamah berkata: “Wahai Rasulullah, dia mengucap syahadah kerana takutkan (dibunuh dengan) senjata (pedang)”.

Baginda menjawab: “Adakah kamu telah belah hatinya sehingga kamu tahu bahawa dia telah mengucap syahadah atau tidak?”. Hadis sahih riwayat Muslim.

Rasulullah ulang pertanyaan itu kepada Usamah sebanyak tiga kali sehingga Usamah merasakan, kalaulah dia baru memeluk Islam pada hari itu, agar dia diampunkan oleh Rasulullah kerana baru masuk Islam.

Justeru, apabila dikenangkan, penulis dapat merasakan betapa besarnya kurniaan ALLAH ke atas bumi Malaysia ini tatkala banyak negara umat Islam lain sedang berhadapan kemusnahan peperangan dan konflik berpanjangan, lantaran kerakusan terhadap kuasa dan kekayaan.

Moga-moga ALLAH jadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang bersyukur, dan ALLAH terus memelihara Malaysia dari sebarang bentuk keganasan serta kemudaratan yang dicetuskan manusia hingga menghancurkan nilai-nilai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang selama ini telah Dia kurniakan ke atas bumi bertuah ini.

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

0 Komentar untuk " Islam tolak keganasan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ