Antara wayang kulit dan realiti - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Antara wayang kulit dan realiti

SAYA tertarik dengan nasihat yang diberikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada penganjur-penganjur majlis, berhubung dengan amalan pembaziran.

Beliau dilaporkan meminta mereka berbelanja berpada-pada, dan tidak melakukan pembaziran hingga matlamat asal penganjuran majlis tidak tercapai.

Katanya, mereka perlu memberi penekanan pada inti pati majlis berbanding kos perbelanjaan. “Program itu mungkin perlukan RM50,000 tapi kita terpaksa belanja lebih hingga RM100,000 atau hingga RM200,000 hanya untuk khemah."

Zambry menegaskan, perkara berkaitan perbelanjaan berhemah itu sudah pun berulang kali beliau nyatakan sebelum ini dan berharap agar ia dapat dipraktikkan.

“Sudah berkali-kali saya ulang jangan buat semata-mata untuk saya; (kononnya kerana) nak jaga MB. Buat simple (cukuplah). Kalau saya ke kampung-kampung, saya boleh duduk dengan rakyat dan kadang-kadang lebih selesa (dengan keadaan begitu)."

Bukan sedikit orang politik, termasuk pemimpin negara dan negeri, sudah ingatkan perkara seperti ini, tetapi kenapa ia tidak mudah dipatuhi menjadi tanda-tanya.

Membaca kenyataan serupa ini oleh pemimpin-pemimpin dan orang politik membuat saya tertanya-tanya tentang kecenderungan segelintir kita yang suka borong semua orang politik ke dalam satu kancah.

Kerana beberapa orang yang boros, sombong, suka tunjuk-tunjuk, rasuah, suka bermewah dan suka diberi sambutan besar-besaran, setengah kita anggap yang lain pun macam itu juga. Ini tentu tidak tepat dan adil.

Ramai juga mempunyai ciri-ciri yang baik, bertimbang rasa, zuhud, tidak suka boros dan berjimat, tetapi apabila ada yang boros, yang lain pun menanggung padah, dimasukkan dalam satu bakul. Seperti kata perumpamaan: ‘Kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit’.

Saya tidak kenal rapat dengan Zambry kerana beliau jadi MB selepas saya tidak lagi bertugas di Perak. Saya bertugas di Perak mulai 1975 ketika MBnya Allahyarham Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi, dan terus bertugas ketika Perak di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh dan Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Saya kenal baik dengan Tan Sri Tajol Rosli (anak Tan Sri Ghazali), bukan ketika beliau menjadi MB pada 1999, bahkan saya berpeluang menemu ramah beliau secara eksklusif di Grik sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai calon Umno untuk kerusi Dun Kenering pada 1977.

Saya mengikuti atau menemui beliau dalam banyak majlis atau siri lawatan di seluruh Perak sebelum dan selepas itu.

Saya juga kenal baik dengan Wan Mohamed (1977-1983). Malah, kami merupakan regu badminton setiap hujung minggu.

Saya tidak kenal Zambry dari dekat, tetapi setakat apa yang saya dengar, saya kira beliau bukanlah MB yang ada kontroversi.

Jadi saya rasa nasihat beliau berkaitan pembaziran itu patut mendapat keyakinan orang ramai. Beliau bukanlah jenis yang ‘cakap tak serupa bikin’.

Masalahnya, secara am, persepsi kerap menjadi mainan dalam hidup kita, apatah lagi dalam dunia politik. Sebagai contoh, ketika kempen pilihan raya, ada orang politik yang kelihatan mesra dengan pengundi; mendukung anak kecil, duduk bersila dengan orang kampung, memberi kata-kata semangat kepada orang tua yang terlantar dan seribu satu macam lagi aksi.

Apa yang menjadi persoalan adalah apakah mereka ini ikhlas atau sekadar main wayang kulit untuk dapatkan sokongan dan pancing undi? Kalau tidak mengapa hanya buat begitu pada kempen pilihan raya?

Ada pula yang mungkin pandang serong kalau mereka tidak melawat penduduk masa kempen? Barangkali dianggap sombong dan tidak layak jadi wakil rakyat. Itulah dilema orang politik. Wallahualam!

Pada saya, kita perlu beri benefit of the doubt. Maknanya kalau mereka buat yang baik, kita anggap baiklah. Kalau buat yang tidak baik, kita kira tidak baik.

Membaca between the lines tidak membantu menjernihkan keadaan. Siapa kita untuk tentukan mereka ikhlas atau tidak. Itu urusan ALLAH. Bahkan malaikat pun tidak mampu membaca hati.

Ada orang derma, berjuang, berkongsi ilmu dan membuat seribu satu lagi kebaikan dengan ikhlas, tetapi ada juga yang melakukan perkara yang sama untuk kepentingan diri atau kumpulan. Pendek cerita, ikhlas itu macam semut hitam di atas batu yang hitam pada malam yang gelap gelita.

0 Komentar untuk " Antara wayang kulit dan realiti "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ