Mohd Zaidi inovasikan rumpai laut - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mohd Zaidi inovasikan rumpai laut

MENYEDARI potensi perusahaan berasaskan rumpai laut yang dianggap ibu kolagen dalam pasaran semasa, mendorong Pengarah Urusan Zaim Zolkifri Enterprise, Mohd Zaidi Md Jasmin bersama dua rakan kongsinya, Zaim Zolkifri dan Fadzil Khamis menceburi bidang perniagaan popia rumpai laut.

Zaim memberitahu, pada mulanya, dia hanya mahu menggoreng sahaja rumpai laut dan mencubanya namun hasilnya tidak menarik.

"Saya dan rakan-rakan mengambil inisiatif belajar melalui internet bagaimana untuk menjadikan rumpai laut sebagai kudapan yang rangup dan menjadi kesukaan masyarakat tempatan. Alhamdulillah, setelah melakukan beberapa kali, kami sepakat mengkomersialkannya dengan menggunakan kulit popia yang sesuai," katanya yang memulakan perniagaan ini bermodalkan RM10,000 sahaja.

Kreatif menghasilkan popia rumpai laut

Mohd Zaidi mengambil keputusan mengimport rumpai laut dari Korea kerana ia berkualiti.

"Walaupun menyedari pembangunan perusahaan rumpai laut terkenal di daerah Semporna, Sabah yang merupakan pusat pengkulturan khazanah laut itu terbesar di negara ini.

"Kami mengimport rumpai laut kering bersaiz besar dan memotongnya kepada lima bahagian dan dikecilkan kepada lima bahagian lagi. Sebelum menyediakan popiah rumpai laut, rumpai laut perlu dibasuh terlebih dahulu untuk menghilangkan bau.

"Cara penyediaan popia rumpai laut ialah rumpai laut yang dipotong kecil, dua kulit popiah diletakkan di atas dan bawah rumpai laut, disapukan telur dan beberapa perisa untuk menjadikan dia lebih sedap. Elakkan meletak rumpai laut terlalu padat kerana ia tidak akan menggelembung," katanya.

Seterusnya, ia digoreng pada suhu yang bersesuaian kerana kulit rumpai laut sangat sensitif kepada minyak panas dan mengelakkan kulit popia hangit.

"Tidak perlu meletakkan rumpai laut terlalu padat kerana ia akan liat dan kenyal. Apabila popia rumpai laut, menggelembung, ia akan lebih rangup," katanya.

Tambahnya, selepas ditoskan, ia diletakkan serbuk perencah yang bersesuaian antaranya original, pedas, barbeku dan keju.

Mohd Zaidi berkata, dia mencipta sendiri resipi popia rumpai laut dan mempelbagaikan perisa untuk disesuaikan mengikut peringkat umur.

Rancang luaskan pasaran popia rumpai laut

Mohd Zaidi berkata, disebabkan tidak ramai penjual di kalangan Bumiputera menjual popia rumpai laut di sekitar utara Semenanjung Malaysia, dia mengambil peluang tersebut dengan membuat produk itu.

“Alhamdulillah, produk ini diterima ramai. Kami mengedarkannya di seluruh Kedah dan Pulau Pinang serta akan memasuki pasaran Perak dalam masa terdekat.

"Sambutan yang diterima memberangsangkan dan kami merancang untuk meluaskan pasaran ini di seluruh Malaysia dan beberapa negara Timur Tengah pada tahun depan.  Kami juga mahu mengeksport ke Singapura," katanya.

Mohd Zaidi berkata, popia rumpai laut berkhasiat dengan anti-oksida dan pada mulanya ia sukar diterima penduduk tempatan kerana menganggap ia khusus untuk kecantikan dan wanita.

“Kami mengeluarkan 3,000 balang popiah rumpai laut dan 5,000 bungkusan pada setiap bulan. Kami menjual RM17 bagi 250 gram dalam bentuk balang, manakala pembelian secara borong pula adalah RM58 sekilogram,” katanya.

Mohd Zaidi dan rakan-rakannya juga merancang meningkatkan pengeluaran popia rumpai laut kepada 10,000 bungkus sebulan dan jumlah balang mengikut perayaan kerana ia mendapat sambutan yang memberangsangkan pada musim perayaan tertentu.

"Kami juga menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dalam jumlah lima kilogram ke atas," katanya.

0 Komentar untuk " Mohd Zaidi inovasikan rumpai laut "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ