Keunikan batik songket Sarawak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Keunikan batik songket Sarawak

JIKA sebelum ini, kain kapas Korea dan Jepun menjadi pilihan wanita untuk dijadikan baju kurung atau pelbagai rekaan pakaian, kini 'demam' kain batik songket Sarawak pula melanda.

Bukan sahaja kerana warnanya yang menarik, tetapi juga kerana corak-coraknya yang bertemakan songket asli menambahkan lagi keunikannya.

Malah ada sesetengah peniaga menampilkan kain batik songket ini bersama kain kapas satin, menjadikan ia lebih menawan apabila digayakan.

Namun pakej tersebut juga boleh dipakai kaum Adam untuk dijadikan baju Melayu dengan kain sampin daripada batik songket ini.

Lebih menarik lagi, sekiranya ia dipakai seisi keluarga sedondon memperlihatkan budaya songket kembali dihidupkan.

Seperti diketahui, harga songket asli sangat mahal untuk dimiliki.

Bahkan ia hanya dipakai ketika persandingan pengantin sahaja, namun dengan adanya kreativiti baharu ini, setiap individu mampu memilikinya.

Apatah lagi, harga sepasang kain batik songket ini sangat munasabah, di bawah RM100 mengikut jenis kain dan kualiti.

Boleh dijadikan pelbagai paten baju

Bagi pelajar, Siti Nur Syahirah Mohamed Pauzi, 20, kain batik songket ini dijadikan sebagai baju pengapit pengantin ketika majlis bahagia ahli keluarganya.

Harga murah dan corak menarik menjadikan ia sesuai untuk dijadikan pelbagai paten baju untuk digayakan.

"Sudah menjadi trend wanita sekarang memilih kain yang selesa dipakai dan harganya berpatutan.

"Kami sekeluarga pula menjadikan batik songket sebagai tema untuk majlis persandingan kakak baru-baru ini," katanya.

Kain batik songket tersebut boleh dipadankan dengan kain satin kosong untuk lebih trendy dan menarik.

Tidak perlu tambah aksesori

Pekerja swasta, Sasnira Razali, 20, pula tertarik dengan keunikan rekaan di samping harganya yang lebih murah berbanding songket asli.

"Dengan harga berpatutan, setiap wanita harus memiliki kain tersebut kerana bukan sahaja murah tetapi selesa.

"Harga berbaloi untuk dibeli sama ada sepasang atau borong.

"Lagipun saya suka ikut trend semasa dan jika ada perkara baharu muncul, pasti saya akan milikinya," katanya.

Bukan saja keunikan rekaan kain tersebut, kain batik songket ini juga tidak mudah rosak dan tahan lasak.

Bahkan, ia sesuai dijahit dengan pelbagai gaya seperti baju kurung dan kebaya.

"Lagipun kita tidak perlu tambah aksesori lain untuk kelihatan lebih bergaya.

"Tanpa manik, ia tetap tampak cantik dan menawan kepada si pemakainya," katanya.

Inspirasi songket tradisional

Terpesona dengan rekaan kain itu, pekerja swasta, Nor Ain Zainuddin, 29, menjadikan kain tersebut sebagai salah satu koleksi pakaiannya.

"Saya jenis yang selalu memakai baju kurung sewaktu kerja, memerlukan banyak koleksi baju formal ini.

"Tertarik dengan corak ditawarkan, saya memiliki beberapa pasang baju dengan rekaan berbeza," katanya.

Hasil kreativiti tersebut diinspirasikan daripada songket tradisional dikatakan mempunyai simbolik tersendiri.

Katanya, ia turut sesuai digayakan sebagai jubah atau skirt panjang selari dengan trend terkini.

"Tidak hanya tertakluk pada satu gaya sahaja, kain ini sesuai dijadikan blaus atau jaket.

"Hasil rekaan itu pastinya menarik lebih ramai golongan muda, bukan sekadar untuk baju raya sahaja," katanya.

Pelbagai corak menarik

Sementara itu, peniaga atas talian (online), Roslinda Mohamed Yusoff, 38, berkata, kain batik songket Sarawak sebenarnya dihasilkan dari Indonesia dan menjadikan Sarawak sebagai hab utama.

"Kain ini menjadi kegilaan ramai kerana pelbagai rekaan corak songket dan warnanya juga sangat menarik.

"Walaupun bahan utama kain adalah kapas, namun uniknya ia diinspirasikan daripada songket Melayu tradisional," katanya.

Bukan sahaja digayakan golongan wanita, katanya, lelaki dan kanak-kanak juga sesuai memakai kain batik songket ini.

Tempahan diterima sangat menggalakkan terutamanya Aidilfitri tahun lalu.

"Tempahan diterima daripada pelanggan tidak putus menjelang musim perayaan dan perkahwinan.

"Mulanya ia dijual kain batik songket sahaja, kemudian saya perkenalkan dengan padanan kain dull satin kepada pelanggan," katanya.

Untuk kain batik songket Sarawak, harga adalah RM35 sehelai, manakala set lengkap adalah RM65 sepasang termasuk kos penghantaran.

0 Komentar untuk " Keunikan batik songket Sarawak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ