Ambil iktibar krisis pelarian Syria - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ambil iktibar krisis pelarian Syria

Isu ketamadunan semasa yang perlu diikuti secara dekat, terutama oleh masyarakat Islam hari ini ialah krisis pelarian Syria. Ia kini menjadi persoalan utama oleh rangkaian berita antarabangsa. Majalah TIME misalnya memberi laporan khas krisis itu dalam terbitan 19 Oktober 2015. Menurut rekod, sehingga September 2015 sahaja, seramai 630,000 orang sudah melarikan diri ke Eropah. Negara Jerman sahaja menerima pendatang seramai 270,000. Negara Eropah lain yang sedang menerima kedatangan pendatang antaranya ialah Sweden, Itali, Perancis, Greece, England dan Hungary. Jumlah sama melarikan diri ke negara-negara dunia Islam terutama ke Turki, Lebanon dan beberapa negara lain yang bersebelahan.

Malaysia juga sudah mengumumkan rancangan bantuan penerimaan kumpulan masyarakat Syria dalam masa terdekat. Krisis kemanusiaan ini dianggap antara yang terbesar dalam sejarah moden dan ia menimbulkan pelbagai reaksi dan isu besar masyarakat antarabangsa. Dengan pelbagai kepentingan dalaman negara tersendiri, krisis ini menimbulkan polemik besar di negara-negara Eropah.

Dasar sempadan sudah mula diperketatkan bagi mengelak kemasukan beramai-ramai pendatang. Namun, Jerman dilihat antara negara paling mesra pendatang dengan dasar keterbukaan dan kebajikan. Di negara Islam, peranan Turki di dalam menangani krisis pelarian Syria terkehadapan.

Krisis kemanusiaan yang kini menimpa Syria menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat antarabangsa. Ia bukan krisis yang sengaja dipilih oleh masyarakat Syria. Krisis ini adalah impak amalan pemerintahan dan kemelut politik rantau Asia Barat yang sejak berdekad berlarutan. Krisis sebegitu bukan juga kali pertama. Di rantau itu, peperangan di Iraq dan Af- ghanistan membawa kesan sama.

Sejarah berulang 

Sejarah yang sama pernah terjadi di Eropah dalam krisis di rantau Balkan. Pada dekad 1990-an, peperangan di Bosnia juga membawa fenomena sama. Rakyat tidak mempunyai pilihan kecuali melarikan diri dari tanah tumpah darah mereka sekiranya desakan hidup terlalu menghambat. Ia adalah lumrah kemanusiaan yang memerlukan jaminan keselamatan dan masa depan kehidupan.

Apa yang dialami masyarakat Syria hari ini bukan jaminan ia tidak berulang lagi di masa depan dan di rantau yang berlainan. Malah, potensi pengalaman yang sama berulang adalah terbuka dalam keadaan masyarakat antarabangsa tidak mampu membangunkan sebuah sistem pengurusan keamanan global yang saksama. Sekiranya keadaan dunia hari ini masih lagi bergelut dengan model persaingan kepentingan oleh negara-negara kuasa besar, krisis kemanusiaan akan terus berulang dan berpanjangan.

Dunia ini akan kembali aman sekiranya satu dasar pentadbiran dunia yang berasaskan semangat musyawarah dan pertanggungjawaban saksama bersandarkan prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat dihormati antara sesama warga bangsa dan negara. Namun, selagi wujud dasar dan sikap dominasi sesetengah negara atau rantau terhadap yang lain, kemelut, krisis dan pertembungan politik serta kepentingan yang membawa kepada peperangan dan kemunduran ekonomi, akan terus berlanjutan.

Masyarakat seperti di Syria akan terus menerima natijah daripada ketidakstabilan sistem global yang tidak seimbang. Suatu yang amat menghibakan tentunya kerana kebanyakan krisis kemanusiaan yang sedang dialami sejak akhir-akhir ini dari dunia Islam. Selain di Asia Barat, di Asia Tenggara juga masih belum ada jalan penyelesaian yang jelas, misalnya terhadap krisis masyarakat Rohingya.

Dunia Islam perlu atasi krisis 

Dunia Islam perlu melakukan suatu tindakan radikal bagi mengatasi krisis dalam rumah tangganya. Ia tidak boleh menyerahkan tugas asasi ini kepada masyarakat lain. Krisis kemanusiaan di Syria seharusnya menyatukan seluruh dunia Islam tanpa mengira perbezaan fahaman dan ideologi. Nilai kemanusiaan yang tinggi di kalangan pemerintah Islam seharusnya mampu menggerakkan mereka bersatu mengatasi krisis sebagai satu ummah.

Cita-cita kesatuan Ummah hendaklah menjadi cita-cita dan impian berterusan bagi seluruh dunia Islam. Dengan kesatuan yang tersusun, banyak krisis dalaman akan dapat diatasi menggunakan sumber dan tenaga dalaman Ummah yang kaya raya. Adalah suatu yang menghibakan apabila persoalan dalaman Ummah yang seharusnya ditangani dunia Islam, kini menjadi isu antarabangsa merumitkan.

Sementara cita-cita dan impian ideal kesatuan ummah ini terjelma, pergerakan pertubuhan Islam perlu ke hadapan menggembleng usaha mengatasi krisis kemanusiaan di dunia Islam kini. Banyak usaha sudah dilakukan dan perlu dipuji kepada beberapa pertubuhan Islam yang bertindak menjayakan misi luhur itu. Misalnya, agensi bantuan kemanusiaan ABIM dan Global Peace Mission (GPM) telah menubuhkan Life Line for Syria yang perlu mendapat sokongan semua pihak.

Namun, tugas dan tanggungjawab sebesar ini tidak mampu memberikan kesan yang besar tanpa sokongan kerajaan sebagai penaung utama. Peranan kerajaan terpenting hari ini tentunya ialah mengenalpasti pelbagai badan dan pertubuhan kemanusiaan ini, menyelaraskan kerja perhubungan antarabangsa dan seterusnya menyediakan satu dana kebajikan negara yang besar bagi membantu operasi kesukarelaan mereka.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/93440
0 Komentar untuk " Ambil iktibar krisis pelarian Syria "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ