Aktivis AS cekal teruskan bantahan pada usia tua - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Aktivis AS cekal teruskan bantahan pada usia tua

Namanya Concepcion Pic ciotto (gambar) atau lebih mesra dengan panggilan Connie, berusia 77 tahun dan khemah beliau terletak di Lafayette Square, Pennsylvania Avenue, Washington DC, di atas tapak seluas kira-kira 10 meter persegi, betul-betul di hadapan Rumah Putih, kediaman pemimpin paling berkuasa di dunia. Beliau adalah satu-satunya penunjuk perasaan yang diberi kelonggaran melakukan protes menuntut penghapusan senjata nuklear demi kemanan sejagat, selain mengutuk peperangan serta kekejaman sesama manusia di lokasi itu secara berterusan.

Beliau, dengan ketinggian tidak sampai satu setengah meter dan badan yang semakin membongkok akibat dimamah usia, masih berada di tempat yang sama sehingga hari ini, sejak menyertai aktivis lain melakukan bantahan berkenaan pada 1 Ogos 1981. Bantahan 24 jam sehari itu itu pada asalnya dimulakan oleh William Thomas pada 1 April 1981 sebelum disertai Connie pada Ogos berikutnya, diikuti seorang lagi wanita hanya dikenali sebagai Ellen, yang kemudian berkahwin dengan Thomas.  

Bergilir-gilir buat bantahan 

Pada tahun 1999, Thomas, yang menerima pembahagian harta pusaka berikutan kematian bapanya, menggunakan wang itu bagi membeli sebuah rumah di 12th Street berhampiran dan menamakannya 'Peace House' (Rumah Keamanan), yang menjadi markas penunjuk perasaan serta kumpulan aktivis berehat ketika bergilir-gilir melakukan bantahan. Apabila Thomas meninggal dunia pada 23 Januari 2009, Connie bertindak meneruskan bantahannya secara solo dengan dibantu oleh beberapa sukarelawan dengan harapan akan ada presiden yang menduduki Rumah Putih itu turun mendengar apa yang ingin disampaikannya.

Penulis, yang berkesempatan berkunjung ke Washington, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, dapat meluangkan sedikit masa bagi menemu bual Connie, aktivis bantahan politik yang paling lama dilakukan secara berterusan di AS itu.     Bermula daripada zaman Ronald Reagan menjadi Presiden AS ke-40 (1989-1993) hingga Presiden ke-44 sekarang, Barack Obama, Connie sudah 'berjiran' dengan lima Presiden AS tetapi belum berkesempatan menemui seorang pun daripada mereka.

Ikuti perkembangan semasa 

Agenda bantahan beliau juga berubah ikut perkembangan semasa tetapi berpegang kepada asas menuntut penghapusan senjata nuklear demi kemanan sejagat, selain mengutuk peperangan serta kekejaman sesama manusia. Bantahan terhadap rejim apartheid, Perang Teluk, krisis di Kosovo, Bosnia-Herzegovina,  perang AS menceroboh Iraq, kekejaman rejim Israel di Palestin hinggalah tragedi di Syria sekarang ini, Connie tidak ketinggalan mengikutan perkembangan terbaru dunia. "Where are you from," tanya Connie dengan mesra tapi tegas dari celah papan tanda 'Live by the Bomb, Die by the Bomb', 'Ban All Nuclear Weapons' dan 'Have a Nice Doomsday'. "Malaysia," jawab penulis secara ringkas. "Aah, Dr Mahathir...the man who wants to criminalise war (lelaki yang mahu menjenayahkan perang)," katanya sambil merujuk kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Bila penulis menjelaskan Dr Mahathir bukan lagi Perdana Menteri dan penggantinya sekarang ialah Datuk Seri Najib Razak, beliau menarik nafas panjang dan menjawab: "Yes, the moderate Moslem leader from South East Asia (Ya, pemimpin yang memupuk kesederhanaan dalam Islam dari Asia Tenggara)," katanya.

Seperti penulis, mungkin ramai yang musykil bagaimana Connie mengetahui begitu banyak isu sedangkan hampir semua masanya dihabiskan di siar kaki berhampiran Rumah Putih dengan mengedarkan risalah anti perang dan antisenjata nuklear. Connie menjelaskan, biar panas, hujan, salji atau badai melanda, sebahagian besar masanya dihabiskan dalam khemah yang didirikan dan beliau hanya meninggalkannya buat tempoh yang singkat dua kali sehari ke 'Peace House' untuk makan dan mandi, selain memeriksa e-mel serta laman Facebook beliau.    



Dibantu sukarelawan lain 

Dalam tempoh ketiadaannya, sukarelawan lain akan mengambil alih tugasnya di khemah berkenaan kerana peraturan National Park Service yang mengawal selia kawasan itu mewajibkan ada individu yang berada di tapak protes pada sepanjang masa kecuali waktu malam kerana tiada siapa pun dibenarkan bermalam di taman berkenaan. Pada tahun 1984, Mahkamah Agung AS memutuskan kerajaan negara itu boleh melarang sesiapa sahaja daripada melakukan bantahan semalaman di mana-mana taman awam termasuk di Lafayette Square tetapi memandangkan Connie sudah memulakan bantahannya sebelum keputusan mahkamah itu dibuat, beliau terkecuali.

Pada ribuan orang yang lalu lalang di hadapan Rumah Putih, baik pelancong atau penduduk tempatan, ada yang menghormati kecekalan Connie untuk memperjuangkan kepercayaannya, ada yang menuduhnya memilih jalan mudah untuk meraih simpati dan derma dan tidak kurang juga yang menyifatkannya sebagai wanita tua yang sudah hilang akal. Hakikatnya, bukan bagi kita untuk menghakimi beliau kerana ramai di kalangan kita hanya bercakap mengenai kekejaman, keganasan, peperangan, keamanan atau kesaksamaan global tetapi tidak ramai antara kita yang berusaha bagi mencapai matlamat itu.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/100814

Related Post

0 Komentar untuk " Aktivis AS cekal teruskan bantahan pada usia tua "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ