Titian kejayaan Nora - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Titian kejayaan Nora

BERMULA sebagai tukang kasut, kini kerjaya itu terus dilebarkan dengan membuka butik sendiri. Tidak hanya itu, butik tersebut juga merupakan platform pereka muda untuk sama-sama mengembangkan bakat dalam bidang fesyen.

Nora Syikin Zakaria, 47, anak jati Kuala Lumpur ini begitu berterima kasih kepada ayah angkatnya, seorang berbangsa Cina mengajarnya cara-cara membuat kasut.

“Beliaulah orang penting yang membawa saya hingga ke hari ini. Saya belajar buat kasut pada usia 17 tahun. Selepas dua tahun membuat dan menjual kasut, saya belajar mengenai fesyen baju pula.

“Saya belajar di sebuah pusat fesyen sekitar Kuala Lumpur pada tahun 1999. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, saya tamat pengajian dan mula mereka pelbagai fesyen baju,”  katanya.

Kedai di Dayabumi

Menyebut nama bangunan Dayabumi, sudah pasti ia mengingatkan zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu. Ia antara lokasi pilihan ramai awal 1990-an. Nora Syikin atau lebih sinonim dengan Nora membuka kedai pakaiannya di situ.

“Suami yang memberikan kedai itu kepada saya untuk menzahirkan minat dan cita-cita sebagai pereka fesyen.

“Suami sangat memahami minat saya dan menyokong sehingga ke hari ini,” katanya.

Walaupun sudah mahir dengan gunting dan benang, mereka fesyen dan menjahit pakaian, namun Nora tidak pernah lupa pada identiti asalnya sebagai pereka kasut.

“Saya gabungkan kedua-duanya dalam rekaan. Kebetulan ketika itu fesyen sedondon pakaian dan kasut amat menarik perhatian. Jadi, saya gunakan kesempatan mereka dan menjual hasil rekaan saya. Ia menjadi dan mendapat permintaan tinggi.

“Saya turut mengambil enam pekerja dan membuka kilang secara kecil-kecilan.

"Kilang dibuka kerana tidak mampu menampung permintaan tinggi tetapi tiada pula ruang yang besar.

“Kemudian saya menambah pekerja kepada 15 orang. Saya banyak buat penjenamaan semula pakaian.

“Dulu ramai kenal dengan nama Galeri Muslimah. Lama juga saya kekal dengan nama itu, tetapi pada 2013, saya buat pembaharuan dengan konsep lain daripada biasa," katanya.

Platform pereka muda

Setelah hampir 20 tahun dalam bidang ini, Nora mendapati ramai pereka fesyen muda gagal diketengahkan kerana masalah kewangan.

“Berapa banyak pusat pengajian tinggi yang fokus bidang rekaan fesyen. Walaupun ada bakat, mereka tidak ada duit untuk memulakan bisnes. Jadi, saya rasa bertanggungjawab menyediakan kelengkapan kepada mereka.

“Kerana itu, lahirlah My Designer untuk pereka fesyen baharu meletakkan rekaan-rekaan mereka. Ia tidak terhad pada busana Muslimah sahaja. Kalau dilihat dalam butik ini, ada pelbagai rekaan,” katanya.

My Designer adalah nama baharu Galeri Muslimah. Kami ingin mengangkat pereka fesyen muda melebarkan idea dan rekaan mereka.

“Buat masa ini, ada lima pereka di bawah saya iaitu Hafiz Carlson, Mier Azriel, Farell Mikhail, Munsya.J dan Ain of Hijau.

“Mereka adalah pelajar fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Rekaan Raffles. Saya ambil kerana bakat dan kesungguhan mereka” katanya.

Nora menyediakan kesemua kelengkapan seperti kain, tukang jahit bagi memudahkan mereka.

“Saya beli kain di luar negara kerana ada antara kain-kain digunakan pereka tiada di Malaysia.

“Jadi di sinilah tempat mereka. Kerana itu nama butik saya My Designers yang membuka peluang kepada lebih ramai pereka mudah untuk bersama-sama kami,” katanya.

Butik My Designer terletak di Damansara Perdana mula beroperasi setahun lalu.

Cawangan di Johor Bahru

Melihat potensi My Designers, Nora kini dalam fasa terakhir membuka cawangan di Johor Bahru.

Bakal beroperasi Disember ini, Nora memilih Hotel Grand Jade, Johor Bahru dengan meletakkan semua rekaannya bersama pereka yang lain.

“Saya pilih Johor kerana potensi lebih besar. Selain itu, kebanyakan pelanggan saya ada yang dari sana,” katanya.

Nora turut membuka peluang kepada pereka fesyen muda mengembangkan bakat dan bisnes dengan menghubungi talian 013-6282128  untuk keterangan lanjut.

Related Post

0 Komentar untuk " Titian kejayaan Nora "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ