Malang dapat jiran yang ranggi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Malang dapat jiran yang ranggi

TINGGAL di kawasan perumahan dahulu jauh berbeza daripada sekarang. Dahulu rasa tenteram dan selamat. Tidak perlu dapatkan khidmat pengawal keselamatan untuk cek orang dan kenderaan keluar masuk.

Di kawasan kediaman yang saya mula-mula masuk kira-kira 20 tahun dahulu, kaunter bayar bil, pejabat pos dan bank dan macam-macam tiada ramai pelanggan.

Belum sempat letak punggung, nombor giliran kita sudah pun dipanggil.

Semua jalan di kawasan perumahan luas-luas tetapi tiada banyak kenderaan.

Tidak perlu berebut-rebut, tidak perlu bayar parkir. Bahkan, keadaannya begitu lengang hingga di beberapa kawasan perumahan tiada lampu isyarat.

Seronok tidak terkira. Pusing seluruh bandar, rasa ‘seperti dunia ana yang ampunya’.

Hari ini, pembaca budiman sendiri faham, walaupun ada lampu isyarat, bergerak di kawasan perumahan memeningkan, kalau pun tidak menakutkan.

Walaupun ada pengawal keselamatan, banyak rumah kena pecah masuk, kemalangan bertambah banyak.

Apakah hidup bertambah tertekan dan mencabar akibat keadaan di sekeliling kehidupan ini bertambah berserabut akibat kos hidup yang meningkat?

Apakah kerana tertekan dengan harga barang-barang yang dinaikkan sewenang-wenang oleh setengah pihak yang mengambil kesempatan daripada penguatkuasaan cukai barang dan perkhidmatan (GST)?

Tidak berani saya buat andaian kerana saya bukanlah penganalisis di bidang berkaitan.

Yang jelas, di kawasan saya tinggal, dahulu tidak dengar kes-kes jenayah, tetapi hari ini cerita pecah rumah dan kecurian dikongsi hampir selang sehari.

Alhamdulillah, tempat saya ramai jiran sangat prihatin dan menubuhkan pasukan peronda secara sukarela, mengawal kawasan setiap malam bergilir-gilir.

Pegawai dan anggota polis di kawasan itu juga mesra penduduk dan cepat bertindak.

Setiap kali dihubungi kereta peronda pasti tiba dalam masa singkat.

Tetapi dalam keadaan begitu pun beberapa rumah sudah dimasuki pencuri dan kereta diselongkar. Ada yang habis beratus ribu ringgit barang kemas dikebas pencuri.

Akhir-akhir ini sudah dengar pula suara-suara kebimbangan terhadap dakwaan percubaan menculik kanak-kanak di beberapa kawasan.

Setakat mana betulnya tidaklah dapat saya sahkan; mungkin khabar angin, tetapi ia sudah cukup untuk menambah lagi kebimbangan ibu bapa dan penjaga. Apa pun, kita doa mudah-mudahan tidak berlaku.

Seolah-olah masalah jenayah tidak cukup, perhubungan antara jiran berdekatan di kawasan perumahan turut tercemar.

Setakat ini ia tidaklah pada paras yang membimbangkan, tetapi kalau sudah ada yang tidak bertegur-sapa dan bermasam muka, keadaannya tidaklah membantu dalam usaha menjalin keharmonian masyarakat dan silaturahim.

Penyebabnya bukanlah teruk sangat dan boleh dielakkan, cuma ia memerlukan sedikit pengorbanan dari segi sikap dan ego.

Kita selalu dengar pelbagai hadis dan kata-kata nasihat mengenai perlunya jiran berbaik sangka dan rapat perhubungan.

Tetapi kalau sudah dipengaruhi perasan, nasihat pun tidak jalan lagi.

Ada yang bertengkar, tidak bersapa dan putus hubungan terus hanya kerana salah faham, kerana mendengar cerita orang.

Ada juga jiran yang tidak timbang rasa, nyanyi sekuat suara di tengah malam.

Syukur saya dapat jiran yang baik, hingga ada yang hingga menawarkan tempat parkir di bawah bumbungnya.

tetapi ada tempat, jiran gaduh hingga boikot tidak pergi surau. Takut bertembung dan terpaksa bersalam. Macam itu punya jiran pun ada.

Ada juga yang tidak benarkan jiran letak kenderaan di seberang jalan di depan rumah mereka sedangkan itu bukan kawasan rumahnya pun.

Ada orang rupanya yang sanggup berputus arang dengan jiran. Memang malang sekali apabila dapat jiran yang ranggi.

Sanggup selit nota di pengelap cermin kereta jiran: ‘Ingat orang lain sama; jangan letak kereta di sini’, sedangkan tempat itu bukan miliknya pun.

Masalah berebut tempat letak kenderaan ini timbul kerana penduduk semakin ramai, kenderaan bertambah banyak tetapi ruang semakin berkurangan.

Maklumlah dahulu sebuah rumah ada sebiji kereta. Hari ini rumah yang sama sudah ada empat atau lima biji kereta.

Dengan penduduk dan kenderaan semakin meningkat ini, bayangkan bagaimana keserabutan yang bakal berlaku lima tahun dari sekarang.

Tabah dan sabar sahajalah nampaknya ubat bagi berhadapan dengan hakikat itu nanti.

0 Komentar untuk " Malang dapat jiran yang ranggi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ