Tak perlu perbesarkan isu khilafiah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tak perlu perbesarkan isu khilafiah

DALAM dunia serba pantas dan langit terbuka untuk menyebar serta mendapatkan maklumat, kadang kala masyarakat mudah terkeliru dengan isu-isu khilafiah yang dibangkitkan.

Isu khilafiah adalah isu cabang dalam agama dan bukanlah isu pokok yang melibatkan aqidah. Kebanyakan isu yang dibangkitkan dalam masyarakat kita hari ini adalah berkenaan perkara baharu yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah SAW atau zaman sahabat RA, seperti membaca Yasin pada malam Jumaat, mengadakan tahlil, menyambut Maal Hijrah dengan berarak, membaca doa akhir tahun, sambutan Maulid Rasul dan sebagainya. Hukum berkaitan isu-isu khilafiah ini menjadi perbahasan para ulama sejak zaman dahulu lagi.

Penulis sendiri sering ditanya berkenaan persoalan-persoalan ini , baik secara mesej peribadi atau secara umum. Dalam meraikan kedua-dua pendapat yang bertentangan, sama ada yang melarang atau mengharuskannya, adalah elok bagi penulis untuk mendatangkan hujah kedua-duanya.

Hakikatnya, penulis lebih suka berlapang dada dalam isu khilafiah ini dan tidak ingin menyalahkan mana-mana pihak. Bagi penulis, cukuplah kedua-dua pihak mempunyai hujah masing-masing. Moga-moga kedua-dua golongan ini termasuk dalam sabda Rasulullah SAW:

“Apabila seseorang hakim (yang berkelayakan dan mahir dalam bidang agama ingin) mengeluarkan hukum (terhadap sesuatu perkara baharu), kemudian dia berijtihad (mencari dalil dan hujah sebelum mengeluarkan hukum), kemudian hukumnya itu benar (di sisi Tuhan), maka dia memperoleh dua ganjaran pahala (iaitu pahala berijtihad dan pahala kerana benar ijtihadnya).

Dan apabila hakim itu (ingin) mengeluarkan hukum, maka dia berijtihad, kemudian ijtihadnya itu salah (di sisi Tuhan), maka dia mendapat satu ganjaran pahala (iaitu pahala kerana berijtihad)”.

 Bagi pihak yang melarang melakukan sesuatu perkara baharu yang tidak ada nas atau dalil secara qat`i atau jelas dalam al-Quran dan hadis, mereka berhujah dengan hujah seperti hadis Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya sebaik-baik kata-kata adalah kitab ALLAH (al-Quran), dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk (Nabi) Muhammad (SAW), dan seburuk-buruk perkara adalah perkara-perkara baharu yang diada-adakan, dan setiap bidaah (perkara baharu) itu adalah sesat”. Hadis sahih riwayat Muslim.

Kesimpulannya, penulis melihat golongan ini berpandangan bahawa segala perkara yang diadakan-adakan selepas zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat yang tidak ada dalil dari al-Quran dan hadis yang menyokongnya secara jelas, maka perkara tersebut merupakan bidaah yang sesat dan perlu dijauhi.

Manakala bagi golongan yang mengharuskan sesuatu perkara khilafiah, mereka berpendapat bahawa jika asas-asas yang terdapat dalam sesuatu perkara yang dianggap sebagai bidaah itu terdapat dalam agama seperti berdoa, berzikir, membaca al-Quran, selawat, sedekah, dan perkara-perkara kebaikan yang lain, maka perkara tersebut adalah harus dilakukan, sebagaimana tegasan Rasulullah SAW dalam hadis sebelum ini yang menekankan bahawa perkara bidaah yang ditolak itu adalah apa yang tidak ada asasnya dalam agama. Sabda Baginda:

“Apa yang bukan termasuk dalam urusan itu”. Mereka berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan “urusan” dalam hadis ini adalah perkara berkaitan agama.

Imam Syafei juga membahagikan bidaah kepada dua bahagian iaitu bidaah hasanah (perkara baharu yang baik) dan bidaah dhalalah (perkara baharu yang sesat). Bahkan terdapat ulama yang membahagikan bidaah lebih dari itu dengan meletakkan sesuatu perkara bidaah itu di atas neraca timbangan hukum syarak yang lima, iaitu sama ada haram, makruh, harus, sunat atau wajib.

Kesimpulan bagi golongan ini, bukan semua bidaah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW adalah sesat, malah terdapat bidaah yang baik.

Sehubungan itu, bagi penulis yang meraikan kedua-dua golongan, tidak perlulah kita saling salah menyalahi antara satu sama lain. Cukuplah bagi mereka yang tidak ingin melakukannya kerana menganggap perkara-perkara tersebut adalah bidaah yang ditegah oleh Rasulullah dengan tidak melakukannya.

Manakala bagi yang mengharuskannya, cukuplah dengan menganggap bahawa perkara khilafiah yang mereka lakukan itu adalah sesuatu yang bukannya wajib untuk dilakukan.

Bagi penulis juga, apa yang lebih penting dan utama untuk kita sama-sama fikirkan adalah perkara yang lebih besar, seperti penyatuan dan perpaduan ummah. Bertitik tolak dari penyatuan dan perpaduan inilah, akan lahirnya umat Islam yang kuat, berdaya saing dan maju dalam segala bidang.

Inilah yang akan menjadi contoh keindahan dan kekuatan agama Islam di sisi masyarakat bukan Islam.

 * Penulis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

0 Komentar untuk " Tak perlu perbesarkan isu khilafiah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ