Inilah kerja yang kamu pilih! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Inilah kerja yang kamu pilih!

SEMALAM, rebut petir telah mengganggu konfigurasi pelayan sistem komputer kami. Akibatnya, operasi penerbitan Sinar Harian lumpuh sejak jam 5 petang hingga ke jam 1 pagi.

Mulai saat itu, para petugas IT kami bertungkus-lumus untuk memulihkan sistem. Warga editorial pula keletihan menanti. Hendak tidur atau keluar makan, takut-takut sistem pulih dan kerja perlu diterkam untuk disudahkan segera.

Deadline harian ialah pada jam 10 malam. Tetapi apabila menunggu, tiada apa pula yang berlaku. Serba salah dibuatnya.

Suara-suara mengeluh kedengaran untuk melepas kebosanan. Namun, masing-masing tahu ia bukan salah sesiapa. Mana mungkin hendak menyalahkan cuaca kerana itu bererti menyalahkan Tuhan pula! Alhamdulilah, beberapa minit setelah jam 1 pagi, sistem mula dapat dipulihkan. Mula-mula tidak stabil ~ sekejap O.K, sekejap K.O.

Tetapi akhirnya lancar sehingga penerbitan akhbar dapat disiapkan pada jam 2.30 pagi dan Sinar Harian mula naik lori ke seluruh pelosok tanahair menjelang jam 3 pagi.

Begitulah kerja di dunia persuratkhabaran. Versi cetaknya mesti cepat, tepat dan jitu kerana ia juga bersaing dengan versi internetnya.

Akhbar dalam talian biasanya lebih pantas. Jika akhbar versi cetak tidak bijak menangani persembahan berita, hasil karyanya akan ketinggalan dan dianggap basi untuk tatapan. Dan, dalam mengejar masa itulah, sedikit gangguan peralatan bisa menyesak nafas para pengkaryanya.

Meskipun kerja di dunia surat khabar ini meletih, menyakitkan hati dan perasaan, itulah gaya kerjanya, renyahnya atau halangan-halangannya. Ada masanya tidak tidur malam apabila terjadi peristiwa penting dan besar seperti pilihan raya ataupun malapetaka negara.

Ada ketikanya tidur terganggu apabila berlakunya tragedi di malam hari. Ada musim kemaraunya berita apabila kebanyakan personaliti yang menjadi sumber berita hilang dari pandangan kerana bercuti hujung tahun ke luar negara.

‘Inilah kerja yang kita pilih!’ Begitulah pujukan saya kepada warga Sinar Harian setiap kali mereka berdepan dengan halangan dalam menjalankan tugas. Sebenarnya, ada pro dan kontra dalam apa jua bidang kerjaya yang kita ceburi.

Dunia askar, polis dan anggota bomba itu kita lihat membosankan dalam suasana yang aman damai. Tetapi nyawa mereka senantiasa di hujung tanduk setiap kali berlakunya bala bencana.

Doktor adalah sebuah profesion yang mulia dan penuh glamor. Walaupun mereka tidak menggadai nyawa seperti askar, polis dan bomba, mereka bertugas untuk menyelamatkan nyawa orang pula.

Sakit cedera seorang askar yang tertembak itu tidak semestinya tidak sesakit perasaan seorang doktor yang gagal menyelamatkan nyawa seorang insan.

Jika kita lihat secara luaran betapa mudahnya kerja seorang guru itu yang kononnya bertugas hanya separuh hari. Bayangkan mereka juga senak fikiran memikirkan kemajuan pelajar mereka.

Jika memikirkan masa depan kita sendiri itu cukup memeningkan, betapa pula tanggungjawab seorang guru yang memikirkan masa depan berpuluh-puluh anak muridnya!

Walau apa pun kerja, ia tentu ada senang dan sukarnya, seronok dan deritanya, situasi berasa bangga dan momen rasa terhinanya.

Sesuatu kerjaya itu mempunyai pakej yang seimbang pro dan kontranya. Seseorang itu tidak bolehlah  hendak seronok sahaja apabila menyandang sesuatu jawatan.

Kita bukan berada zaman dahulu di mana kerjaya yang semua murid pilih adalah posmen, askar, cikgu, jururawat dan doktor semata-mata kerana golongan itulah yang selalu di depan mata.

Bukan juga berfikiran seorang kanak-kanak yang bertukar cita-cita daripada peguam menjadi seorang polis semata-mata kerana telah menonton filem Polis Evo!

Sebaliknya, sekarang ini zaman internet di mana seseorang itu boleh menelusuri apa jua bidang kerjaya yang bakal dipilih. Terdapat beratus ribu profesion yang terdapat di dunia ini. Pilihlah sahaja profesion yang kerjanya sama ada di darat, laut atau udara.

Selagi ia suatu profesion yang halal, ia adalah profesion yang mulia. Gah atau tidaknya profesion itu hanya bergantung kepada persepsi manusia.

Lihatlah bagaimana profesion tukang masak telah menjadi hebat apabila ia digelar chef dalam dunia kulinari. Imejnya dibina hingga popular setelah muncul dalam rancangan TV. Begitu juga profesion yang tidak dilihat hebat pada waktu dahulu, kini menjadi kerjaya pilihan.

Kerjaya pelukis, pelakon, novelis, tukang jahit malah ustaz adalah di antara kerjaya yang dahulunya dianggap tiada masa depan tetapi kini menjanjikan kehidupan yang bukannya setakat cari makan.

Sebab itulah, jika seseorang yang memilih sesuatu kerja hanya kerana imej glamor dan gajinya tanpa mengambil kira tanggungjawab yang dia harus pikul di dalam kerjaya itu, dia hanya makan gaji.

Jika dia hanya mahu kemudahan tetapi senang-senang mahu angkat kaki mencari padang hijau yang lain apabila berdepan dengan kesusahan, dia hanya bekerja, bukannya berkerjaya!

0 Komentar untuk " Inilah kerja yang kamu pilih! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ