Jangan Khir saja yang kena - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan Khir saja yang kena

DI Terengganu dan Pantai Timur, perkataan ‘igap’ adalah amat versatil pengertiannya. Seekor kerbau atau seorang individu yang tidak boleh melarikan diri akhirnya kena igap.

Saya amat bersimpati dengan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo kerana kena igap atas kesalahan yang asalnya kelihatan bukan jenayah.

Yang membezakan beliau dengan orang lain ialah beliau kena igap sedangkan ramai orang lain ternafi daripada kena begitu.

Begitulah nasib seorang ahli politik yang berkuasa besar. Sebagai Menteri Besar (ketika itu), Khir berkuasa ke atas tanah. Balak di hutan, galian dalam tanah, tanah-tanah untuk pembinaan adalah dalam kuasanya. Ini belum dikira kuasa-kuasa meluluskan projek-projek kecil dan besar di kota dan desa.

Dalam proses hidup, Khir memerlukan sebuah tempat tinggal yang sesuai dengan status baharunya. Beliau pun membeli sebuah rumah setelah tawar-menawar.

Jika beliau bukan MB, kemungkinan besar pembelian itu hanya suatu perkara biasa. Ramai lagi orang berumah besar tersergam dan berharga lebih mahal. Tidak ada siapa bertanyakan harganya.

Sebaliknya sebagai MB, Khir mempunyai kawan dan lawan. Pesaing sentiasa mahu menjatuhkannya, sedangkan mereka yang kecewa kerana tidak ditolongi, atau yang ditolongi tetapi tidak memadai, sentiasa mencari jalan untuk ‘memadankan muka’.

Dikorek sana dan diacah sini, timbullah kes rasuah di mana beliau didapati membeli rumahnya dengan harga yang kurang daripada harga pasaran, iaitu satu tawar-menawar yang ada kepentingan diri. Justeru keputusan Mahkamah Persekutuan beberapa hari lepas sudah pun menjadi sejarah.    

Demi bersikap adil kepada Khir, orang ramai faham bahawa banyak pihak yang pernah menjawat jawatan sama dengannya melakukan kesalahan lebih teruk tetapi mereka bernasib baik tidak kena ‘igap’. Bukan saja mereka terlepas, mereka pula dinaikkan pangkat dan darjat yang jauh lebih tinggi!

Jika ahli politik mendapat kedudukan dan wang daripada politiknya, ahli-ahli korporat terutama di firma-firma kerajaan mendapat keistimewaan begitu tanpa risiko seorang ahli politik.

Apabila mereka melakukan kesilapan yang lebih berat daripada ahli politik, mendapat habuan yang jauh lebih besar, mereka dilindungi oleh bos-bos mereka yang terdiri daripada ahli politik juga. Inilah paradoks ahli politik dengan ahli politik.

Disebabkan saya pernah berkedudukan tinggi dalam kedua-dua sektor politik dan korporat, saya suka memperkatakan di sini sehiris kejadian buruk dalam sektor korporat kaitan kerajaan yang menggunakan wang rakyat.

Dengan berpandukan slogan hikmat untuk mencapai prestasi maha-tinggi berasaskan semboyan Putrajaya, landasan integritinya ialah 1. Periksa dan imbang, 2. Tata-urus cemerlang 3. Integriti tertinggi dan 4. Pencapaian menjulang.

 Di sini saya tidak menamakan firma-firma kaitan kerajaan kerana bimbang akan disaman sehingga  poket menjadi kering menanggung kos kepeguaman.

Sebaliknya, firma penyaman menggunakan wang rakyat yang tidak terbatas menampung kos kepeguaman apabila menyaman.

Dulu ketika hanya bernama kompeni kerajaan, jika terdapat salah maklumat tentang kegiatannya, ia akan memberikan penjelasan di media.

Habislah cerita. Kini firma kaitan kerajaan melakukan saman hingga sanggup bankrapkan pihak yang kena saman, seperti yang dilakukan oleh Singapura.

Beberapa hari lepas sebuah berita tentang keputusan mahkamah menghukum bos firma A kerana salah laku. Dulu firma kerajaan B mempunyai 40 juta saham firma A. Keputusan telah dibuat untuk dijualkan dengan harga lebih setengah bilion ringgit, menurut harga pasaran semasa. Tiba-tiba ‘tangan ghaib’ menahannya dari dijual.

Tidak lama kemudian, saham itu ranap. Hilanglah wang lebih setengah bilion itu. Keuntungan luar biasa lebih 300 juta ringgit hangus. Harga membelinya lebih kurang 250 juta ringgit pupus.

Saham-saham itu kini dalam status tidak boleh niaga, terletak dalam PN 17 – sesuai dengan ungkapan: nilainya lebih rendah dari kertasnya. ‘Tangan ghaib’ itu dipercayai bersekongkol dengan tauke firma A.

 Kes firma B ini seperti sehiris daripada kes yang lebih besar. Ertinya, banyak lagi kes yang tidak terdedah. Jika ahli politik membuat salah, janganlah  kata orang korporat tidak berlebihan lagi.

Sebagai contoh, bila saham hendak diapungkan, sesetengah eksekutif yang sudah tahu terlebih dulu harganya menyuruh pengurus dana membeli saham-saham itu dan kemudian menjualnya dengan keuntungan besar.

Darabkannya banyak kali dan kita akan dapati betapa besar keuntungan diperoleh. Apa yang berlaku kelihatan mereka tidak membeli secara langsung tetapi dilakukan oleh pihak lain. Inilah cara biasa mengelak diri daripada jenayah ‘insider trading’ (niaga saham dalaman).

Ahli-ahli politik terutama dari parti komponen kerajaan patut bertindak serius dan lantang dalam jenayah begini. Jangan ahli politik seperti Khir saja yang kena.      

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Jangan Khir saja yang kena "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ