Antara laman sosial popular yang sering menjadi pilihan pengguna di negara ini adalah Facebook, Instagram dan WeChat yang bukan dibangunkan oleh rakyat Malaysia.
Melihat kepada perkembangan laman sosial yang diterima baik, tiga anak tempatan iaitu Yusman Yusof, Nurizman Othman dan Mohd Haniff Yusof tampil dengan membangunkan portal komuniti sosial baharu dikenali sebagai wait.my.
Menurut Yusman, nama wait.my diilhamkan daripada nama syarikat yang mereka tubuhkan bagi membangunkan aplikasi tersebut iaitu World Amazing IT Advertising.
“Seawal 2011, idea tercetus untuk membangunkan platform sosial baharu iaitu produk tempatan yang lebih kepada budaya Malaysia. Kami pun buat kajian, kumpulkan maklumat, bentuk rangka utama dan fungsi untuk platform sosial berjalan serta-merta.
“Proses pembangunannya menjadi perlahan disebabkan kekangan dana. Akhirnya, pada Mei 2015, kami bertiga bergabung membentuk kerjasama untuk membangunkan aplikasi ini. Nama portal kemudian dipersetujui dan kerja-kerja pembangunan dijalankan dan kurang dua minggu, ia berjaya direalisasikan,” katanya.
Ia kemudian diuji sebelum mula dibuka pada orang ramai selepas Aidilfitri tahun ini.
Buat masa ini, aplikasi wait.my itu hanya boleh dimuat turun pengguna telefon pintar Android menerusi Play Store dengan menaip wait social.
Selain itu, ia juga boleh dilayari dari laman web dengan menaip https://wait.my menggunakan Firefox atau Google Chrome untuk paparan yang lebih baik.
Aplikasi berbeza, unik
Nurizman berkata, aplikasi wait.my mempunyai fungsi hampir sama dengan laman sosial yang lama iaitu boleh mengemas kini status dan memuat naik gambar, tetapi ada perbezaan dan mempunyai keunikan tersendiri.
“Platformnya hampir menyerupai Facebook. Pengguna mempunyai dua pilihan daftar masuk (log in) dalam aplikasi wait.my sama ada dengan menekan butang Facebook atau daftar secara manual dengan membuat pendaftaran baharu menggunakan nama pengguna dan kata laluan.
“Jika pengguna mendaftar masuk dengan Facebook, semua profil yang ada dalam laman sosial itu akan dipindahkan pada wait.my termasuklah gambar dan garis masa,” katanya.
Berbeza dengan laman sosial lain, Nurizman berkata, bagi akaun khas, wait.my menyediakan platform dipanggil halaman (page) dan ia lebih menyerupai laman web.
“Bagaimanapun, wait.my tetap mempunyai fungsi platform sosial yang mana boleh digunakan seperti akaun sosial peribadi, senang diakses dan dikemas kini.
“Hanya fungsi komen tidak disertakan untuk mengatasi masalah page yang dikecam di kebanyakan laman sosial yang lain. Ini akan memberi impak positif kepada pengguna yang mencari maklumat tentang sesuatu organisasi tersebut di laman carian seperti Google dan sebagainya,” katanya.
Katanya, page sesuai digunakan kerana mempunyai fungsi khas yang dinamakan kempen.
“Kempen akan diterima setiap ahli wait.my dan menyediakan mata (point) untuk ahli yang menyertai kempen tersebut dengan menjawab soalan sebagai contoh ‘Ya’, ‘Tidak’ atau ‘Lain-lain’.
“Ia sesuai digunakan peniaga, artis, ahli politik, persatuan kerana page berfungsi sebagai web mini tanpa pengetahuan teknologi informasi (IT) yang tinggi untuk dikendalikan kerana boleh berfungsi seperti akaun sosial peribadi yang ada fungsi ‘share’, ‘like’ dan ‘tag’ dalam portal yang sama. Mereka juga boleh guna fungsi pengiklanan (sponsor), juga fungsi khas page iaitu kempen,” katanya.
Selain itu, wait.my turut dilengkapi sistem berbual (chat) yang membolehkan pengguna aplikasi itu berhubung dengan sistem chat daripada portal lain seperti Facebook, gTalk daripada wait.my tanpa perlu menukar atau meninggalkan portal untuk berbuat demikian.
Tawar mata ganjaran
Menariknya, Nurizman berkata, wait.my menawarkan hadiah menarik kepada pengguna berdasarkan aktiviti mereka dalam aplikasi tersebut.
“Aktiviti yang dijalankan pengguna dalam wait.my menerusi fungsi MyWallet akan diberikan point.
“Program point pertama adalah kempen untuk pengguna menjemput kenalan lain menyertai wait.my, di mana 10 orang pertama yang menjemput 100 orang menyertai aplikasi ini, layak menukarkan mata tersebut untuk telefon pintar popular yang tersenarai,” katanya.
Pengguna juga boleh menggunakan mata yang diterima itu bagi tujuan menyumbang di dalam segmen pengurusan berita untuk membantu pengguna lain atau orang yang memerlukan.
Aplikasi wait.my yang dibangunkan dengan pelaburan sejumlah RM150,000 itu sehingga akhir September lalu mempunyai jumlah pengguna berdaftar seramai 113, manakala jumlah pengguna memuat turun aplikasi itu menerusi Google Play adalah 56 orang.
"Ia dijangka dan diharapkan akan terus meningkat sehingga 1,000 orang sebelum menjelang hujung 2015.
“Buat masa ini, kami masih belum dapat jana pendapatan lagi. Apabila pengguna semakin ramai dan iklan banyak masuk, kami boleh menjana pendapatan daripada iklan dan kempen yang dilakukan oleh organisasi,” katanya.
0 Komentar untuk " Aplikasi wait.my portal sosial baharu "