Yati's Fashion House: Nekad berhenti kerja demi minat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Yati's Fashion House: Nekad berhenti kerja demi minat

KERJAYA demi kerjaya, akhirnya Mordhiyati Abdul Rashid, 40 nekad melepaskan jawatan selepas sembilan tahun berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan II.

Sungguhpun bukan mudah memegang jawatan itu, namun di situlah Mordhiyati menimba ilmu dan pengalaman.

Graduan lulusan bidang Sains Kesetiausahaan dari Institut Tutorial Kuala Lumpur ini, menyerahkan surat peletakan jawatan awal Mei lalu, bagi memberi peluang untuk diri sendiri menceburi bidang impiannya.

Memilih butik jenama sendiri, wanita yang lebih suka dipanggil Yati, akui begitu minat dengan bidang ini.

"Saya penggemar fesyen. Saya percaya ramai wanita juga begitu. Jadi, saya pilih perniagaan yang dekat dengan saya dan minat orang lain juga.

"Dari sini, ia akan berkembang dan berharap jenama saya akan dikenali suatu hari nanti," katanya ketika ditemui di butiknya.

Keputusan bekerja sendiri bukan kerana 'letih' dengan tugasan lama tetapi demi mengejar impian dan kerjaya yang menjadi idamannya.

"Jawatan sebagai setiausaha sulit adalah satu kerjaya mencabar, saya terpaksa mengehadkan minat demi kerjaya dan keluarga.

"Kejayaan yang dikecapi hari ini bukanlah semudah yang dijangka kerana perlu banyak berkorban masa untuk mendapat kepuasan diri sendiri," katanya.

Mula dengan suka-suka

Kerana minat, Yati mula menjual pakaian wanita secara suka-suka dan menapak di laman sosial pada 2012.

Dengan Facebook, Yati mula menjual pakaian yang dibelinya dari luar negara.

"Pada mulanya, saya hanya merancang untuk menjadikan perniagaan ini sebagai salah satu wardrobe sendiri. Jika ada yang tidak dibeli, saya boleh pakai sendiri.

"Tetapi selepas melihat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, memberi semangat kepada saya untuk mengembangkan perniagaan tersebut," katanya.

Namun, masa untuk melayan pelanggannya adalah terhad, Yati hanya berkelapangan melayan pelanggan alam mayanya ketika lewat malam ataupun sedang bercuti.

Mengulas lanjut, Yati mengakui setiap permulaan adalah sesuatu yang amat sukar dan mencabar.

"Saya hanya akan online atau menguruskan perniagaan ini pada sebelah malam dan mengambil masa untuk membeli stok daripada negara jiran ketika lapang sahaja," katanya ketika ditanya cara dia menguruskan masa dan kerjaya.

Bagaimanapun, minat itu turut diketahui majikannya yang tidak pernah menghalang selagi Yati tahu membezakan masa antara kerjaya dan perniagaan.

Berkat kesungguhannya itu, Yati berjaya membuka kios pertama dengan nilai pelaburan sebanyak RM8,000 di Lake Fields, Sungai Besi.

Kukuh jenama Yati's

"Saya nekad memberi sepenuh perhatian kepada bisnes ini pada September tahun lalu. Saya ambil cuti tanpa gaji.

"Untuk berniaga khususnya butik, sukar untuk kita mengharap orang lain dalam jangka panjang," katanya.

Yati membina jenamanya iaitu Yati's pada 2013, bermula dengan tiga atau empat rekaan baju kurung dan jubah.

Kalau dahulu, Yati menjual baju mengikut kehendaknya tetapi sekarang Yati perlu lebih berpandangan luas dan membuat penyelidikan tentang fesyen mengikut trend.

Yati mengakui, dia tidak mempunyai latar belakang dalam pereka fesyen, namun itu bukanlah penghalang untuk melahirkan idea-idea yang diinginkannya.

"Saya melahirkan idea-idea fesyen baju itu kepada tukang jahit. Tukang jahit itulah yang akan melakarkan idea itu kepada rekabentuk seperti yang saya inginkan," katanya.

Kini, Yati's mempunyai lebih 20 rekaan iaitu jubah, baju kurung moden dan dress.

Terbaharu, Yati membuka sebuah lagi butik di Bandar Baru Bangi, Januari lalu.

0 Komentar untuk " Yati's Fashion House: Nekad berhenti kerja demi minat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ