Maaf pak cik, boleh saya bantu? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Maaf pak cik, boleh saya bantu?

TIDAK sukar untuk menemukan bentuk ujaran seperti di atas. Kita mungkin dapat mengagak, si penutur kebiasaannya lebih muda daripada orang yang disapa.

Fenomena ini kebiasaannya berlaku di pejabat, di pasar raya, di kaunter makanan segera atau  di kaunter khidmat pelanggan.

Sapaan atau panggilan sedemikian jarang sekali diberi perhatian dan tiada pula yang menganggapnya sebagai kurang santun ketika berhubung. Benarkah panggilan pak cik atau mak cik ini digunakan dalam sebarang situasi?

Jika penulis merujuk laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka, banyak pertanyaan yang diajukan berkenaan ejaan, penggunaan kata nama am dan khas, tanda baca atau sebagainya yang berkisarkan hukum dan peraturan bahasa.

Wahana ini penting sebagai rujukan untuk menyelesaikan permasalahan terutama dalam pelbagai aspek kebahasaan.

Dalam komunikasi lisan, kesalahan tatabahasa seperti yang dinyatakan sudah tentu tidak melibatkan hati dan perasaan seseorang. Memahami kesalahan tersebut juga belum tentu menjamin seseorang dapat berkomunikasi dengan baik.

Sebaliknya, jika kita tersilap menggunakan panggilan atau rujukan hormat, sudah pasti orang akan tersinggung dan berasa kurang senang.

Kamus Dewan mendefinisikan pak cik atau mak cik sebagai panggilan untuk bapa atau emak saudara yang termuda atau panggilan kepada orang separuh umur. Berdasarkan definisi yang dinyatakan, tentu tidak ada masalah jika kita menggunakan panggilan tersebut.

Namun begitu, benarkah semua orang yang separuh umur itu sesuai dipanggil pak cik atau mak cik? Dalam hal ini, kita tidak boleh beranggapan bahawa semua orang adalah sama.

Mungkin orang yang disapa pak cik atau mak cik itu merupakan ketua organisasi, pemimpin sesebuah jabatan, pengurus syarikat, tokoh masyarakat yang disegani atau sebagainya. Sesuaikah mereka disapa dengan panggilan sedemikian?  Di sinilah letaknya kesantunan dalam komunikasi lisan.

Penulis tidak bermaksud untuk kita  menyelidik status seseorang terlebih dahulu sebelum memulakan perbualan.

Alangkah manis dan santunnya jika ungkapan yang kita gunakan dapat menggembirakan orang lain. Apatah lagi panggilan yang kita gunakan itu untuk orang yang baru kita kenali.

Gunakanlah kebijaksanaan dan pengalaman yang kita ada untuk memilih panggilan yang baik kepada seseorang. Mungkin tidak ramai yang hirau atau mengambil berat tentang panggilan ini. Walaupun begitu, tiada pula yang sedih atau kecewa jika panggilan tersebut digantikan dengan santun.

Namun begitu, sesetengah penutur berpendapat bahawa panggilan encik, cik atau tuan terlalu tinggi tarafnya untuk digunakan dalam perbualan. Benarkah, jika kita menghormati orang lain, kita dilihat telah merendahkan taraf diri kita dalam komuniti?

Bukankah, orang tua-tua dahulu pernah berpesan, ular yang menyusur akar, bisanya takkan hilang. Jika kita senang hati dihormati orang, sudah tentulah orang lain juga begitu.

Seharusnya dialog di atas diungkap dengan panggilan hormat encik, cik, tuan atau tuan haji. Tiada yang kecewa jika panggilan hormat digunakan sebaik-baiknya, “Maaf encik, boleh saya bantu?”

Persoalannya, adakah panggilan mak cik atau pak cik sahaja yang ada dalam kamus diri kita sewaktu memulakan perbualan?

Jika tidak, gunakanlah panggilan yang sesuai untuk orang yang disapa. Tidak cukup jika kita sekadar mampu mengungkap slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, selagi tidak kita sendiri yang membuktikannya.

Apa kata, kita mulakan terlebih dahulu sebelum mengubah orang lain.

0 Komentar untuk " Maaf pak cik, boleh saya bantu? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ