Merdeka daripada hantu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Merdeka daripada hantu

PERNAH jumpa hantu? Bagaimana wajahnya? Seorang sahabat Melayu yang kononnya telah terbuka tirai sehingga dia mampu melihat dunia hantu berkata, “Lidahnya terjelir panjang, matanya merah, rambutnya kusut dan panjang, suara mengilai-ngilai.”

Saya tanya, “Dia lompat-lompat tak?” Sahabat Melayu saya berkata, “Dia bukan Cinalah!”

Mengapa selalunya hantu digambarkan muka buruk sekali? Yang lagi pelik ialah adakah dunia hantu pun wujud rasisme? Hantu Cina ada hak istimewa untuk lompat-lompat. Melayu tidak berhak!

Katakan saya tidak guna hujah agama. Apakah bukti rasional bahawa hantu semestinya berwajah buruk? Mindset hantu berwajah buruk telah menjadi paradigma budaya yang diulang dan diulang sehingga menjadi seolah-olah ia ajaran agama.

Hasilnya ialah wajah yang nampak buruk semestinya jahat. Wajah yang nampak cantik semestinya baik. “Xifu, saya nampak Wali ALLAH SWT muncul dalam mimpi saya,” pelajar saya bagitahu dengan bangga. Saya tanya soalan kritis, “Bagaimana kamu tahu dia adalah wali ALLAH SWT?”

“Saya yakin kerana dia pakai serban dan jubah putih! Wajahnya berseri!” pelajar saya jawab penuh yakin.

“Mengapa kamu tak kata dia hantu?” saya tanya lagi. Pelajar jawab, “Takkanlah hantu wajah berseri, Xifu!”

Baru-baru ini, Ketua Wanita ISMA, Dr Norsaleha telah melahirkan kekesalan tentang satu slot dalam rancangan TV Pendakwah Milenia Musim ke-3. Kekesalan ini ditujukan kepada aktiviti bercampur antara lelaki dan wanita.

Mindsetnya sudah dijangka. Hantu tidak boleh menjadi pendakwah. Pendakwah hanya merujuk kepada satu golongan tertentu yang nampak cantik dan solehah sahaja. Pelacur yang beri anjing minum di tengah padang pasir tidak layak ditonjolkan! Seorang ibu yang pakai miniskirt di khalayak umum tidak layak menjadi pendakwah kepada anaknya kerana dia adalah hantu.

Dari satu segi, saya setuju dengan teguran Dr Norsaleha kerana rancangan Pendakwah Milenia adalah rancangan TV yang menghadapi tekanan untuk menggambarkan qudwah yang baik kepada masyarakat umum.

Tetapi pada masa sama, kita kena berjaga-jaga tentang mindset hantu berwajah buruk dan pendakwah berwajah solehah kerana kita tidak mahu dakwah disalah anggap sebagai bidang eksklusif kasta solehah sahaja.

Saya harap Dr Norsaleha melihat dalam konteks yang lebih luas. Rancangan-rancangan realiti seperti Imam Muda, Pencetus Ummah, Pendakwah Milenia sebenarnya tidak realistik. Mengapa? Saya nampak komposisi juri adalah lebih patut dikritik.

Para jurinya adalah bersifat monokultural. Sebanyak 99 peratus juri adalah terdiri daripada satu bangsa sedangkan dakwah yang paling mencabar di Malaysia sekarang ialah dakwah multikultural.

Majoriti besar pendakwah-pendakwah kita yang dihasilkan rancangan TV tidak mampu berdakwah dalam konteks multikultural, apatah lagi menjadi pencetus ketamadunan. Bila kita sebut milenia, ia membawa makna kemunculan era baharu di mana pendakwah-pendakwah kita mampu membawa wacana Islamisasi ke dunia global.

Bagi saya, juri-juri ini semestinya terdiri daripada rakyat multikultural termasuk yang sentiasa dilabel ‘hantu’. Sasaran dakwah adalah kepada hantu-hantu ini. Contohnya, seorang juri yang solehah tidak layak untuk menilai sama ada khutbah peserta di atas pentas itu masuk ke hati hantu atau tidak kerana dia bukan hantu.

Saya ingin melihat para juri terdiri daripada mereka yang pakai seksi, yang rock, yang bukan Muslim di samping yang solehah. Rancangan ini hendaklah memberi kebebasan kepada juri-juri ini untuk meluahkan penilaian mereka dengan bebas dan adil. Barulah tercetusnya dakwah yang realistik dan milenia!

Sebenarnya tiada hantu di dunia. Hantu di sini merujuk kepada yang kembali ke dunia setelah mati seperti drakula atau puntianak. Dalil agama sudah jelas bahawa yang sudah meninggal akan ditempatkan di alam kubur. Tidak akan kembali ke dunia sebagai hantu untuk balas dendam.

Kalau adapun hantu, ia adalah jin yang jahat. Jin tidak mampu menyerupai Nabi Muhammad SAW, tetapi ia mampu menyerupai lelaki yang berserban dan berjubah putih, wajah k-pop atau syeikh Arab.

Merdekakanlah diri dari mindset Hantu Berwajah Buruk kepada mindset Hantu Berwajah 'Islamik', kita akan lebih memahami dakwah dalam konteks multikultural.

* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim

0 Komentar untuk " Merdeka daripada hantu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ