Membentuk jiwa yang muttaqeen - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Membentuk jiwa yang muttaqeen

DALAM al-Quran Surah al Hujurat ayat 13, ALLAH mengungkapkan ayat Inna aqramaqum ‘indalla hi atqaqum – karamah insan (kemuliaan diri) berada pada orang yang berjiwa muttaqeen. Piawai ALLAH ini sesuatu yang amat tepat, adil dan benar.

Ukuran terhadap manusia tidak terletak pada bangsa, warna kulit dan keturunan tetapi diukur dari “Insaf-keTuhanan”nya (God-Conciousness) yang tinggi.

Meyakini ALLAH sebagai Pencipta, berkuasa atas segala, pemberi roh dan rahmat kepada manusia, memberi pedoman dan petunjuk supaya manusia terselamat daripada kesesatan, membangun jiwa rukuk dan sujud supaya rasa kehambaan terjadi dan rasa kekhalifahan berlaku.

Sifat ubudiyyah ini menjadi terlalu penting untuk mendapat status muttaqeen yang bersandar kepada aqidah tauhid yang kental, melakukan ibadah dengan istiqamah, mematuhi hukum feqah dan syariah yang mentertibkan diri dan amalan serta cerminan akhlak karimah yang menjadikan Islam dan pemeluknya indah dalam teladan dan sumber ikutan.

Hari ini ramai yang ingkar kepada titah-perintah ALLAH akibat dukungan hawa nafsu yang terpengaruh dengan hasutan iblis dan syaitan. Nafsu haiwani mengambil tempat dan nafsu manusiawi hilang daripada pertimbangan dan amalan.

Ia menyebabkan manusia terlalu hubbud dunya – cintakan dunia. Penyakit cintakan dunia ini menyebabkan lupa kepada diri, amanah, tanggungjawab dan mati. Manusia berasakan apa yang ada padanya, kekayaan yang dimiliki, kesenangan yang dinikmati adalah miliknya semata-mata bukannya kurnia ALLAH yang patut disyukuri.

Akibat lupa diri akhirnya manusia akan menyesal dan penyesalan datang terlalu lewat dan kadang-kadang tidak sempat bertaubat.

Membangun jiwa muttaqeen adalah suatu proses membangun iman yang kental, ilmu yang benar dan bermanfaat, amal yang telus dan tulus. Ia boleh membawa kepada maqam muhsin di mana kualiti ihsan seseorang adalah tinggi.

Ihsan seorang hamba kepada Pencipta diungkapkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW – bila kita melakukan amal kebaikan, meski tidak melihat ALLAH, tapi wujud keyakinan ALLAH melihat kita.

Dalam melakukan kebaikan wujud rasa ikhlas yang tinggi ibarat tangan kanan memberi tangan kiri tidak nampak. Ia terungkap dalam sebuah syair pendeta Zaaba menyebut, “Berbuat baik ayuhai rakan, kalau tidak dikenal insan, dalam laut ia dicampakkan, kalau tidak dikenal ikan, Tuhan tahu iakah bukan”.

Keihsanan sebagai landasan jiwa muttaqeen yang membezakan seseorang itu beriman atau sebaliknya. Bila berjanji ia menepati janji, bila diberi amanah ia melaksanakan amanah, bila bercakap ia tidak berdusta, bila berjual beli ikut kaedah syariah, bila berkarya ilmunya ibarat cahaya dan penuh dengan makna, bila melakukan dakwah dan tarbiyyah penuh dengan kesabaran, kebijaksanaan dan kasih sayang.

Tunjang membangun jiwa muttaqeen hingga manusia memiliki kualiti ihsan yang tinggi ialah keyakinan yang kuat bahawa Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Melihat apa saja yang kita lakukan dalam hidup ini baik zahiri dan batini kita.

Landasan itu menyebabkan jiwa kehambaan terbina supaya sifat patuh, taat, akur dan tunduk sentiasa menjadi pedoman. Ia berkembang dalam jiwa kekhalifahan dalam melaksana dan mengurus sesuatu.

Natijah akhirnya ialah terlihat pola-pola amal soleh dalam percakapan, perbuatan dan ia menjadi sumber ikutan kepada yang lain.

Orang-orang yang tidak mempunyai jiwa muttaqeen dan keihsanan yang tinggi kerana ikatan ubudiyyahnya longgar dan tidak kuat.

Keimanannya dalam batas antara yakin dan tidak, ibadah yang diamalkan tidak terhubung dengan niat “Kerana ALLAH” (ikhlas), amalan syariah tidak mantap dan cerminan akhlaknya tidak menggambarkan sesuatu yang Islami. Akhirnya pola-pola kegiatan diri cenderung ke arah penyimpangan malah tidak Islami.

Sebab itu dalam Islam asas ketauhidan menjadi perkara pokok. ALLAH tidak sekadar dipercayai sebagai asas syahadah tetapi diyakini sebagai landasan amalan.

Keimanan kepada ALLAH sebagai Pencipta, berkuasa atas segala dan pemberi rahmat dan nikmat kepada umat manusia dan makhluk menjadi asas sandaran lalu pola-pola kegiatan manusia dipedoman dengannya dan mencetuskan jiwa muttaqeen.

Jiwa muttaqeen adalah matlamat yang dicari oleh setiap warga Mukmin dan Muhsin. Jiwa muttaqeen memberi pedoman mengapa kita menjadi Islam dalam erti kata yang setulennya supaya terlihat watak mithali yang hidup dan memberi pedoman kepada yang lain.

Inilah watak Rasulullah SAW yang Qurani dan menjadi sumber ikutan sepanjang zaman. Khuluq al-Quran yang dimiliki oleh Rasulullah SAW menjadi sumber kekuatan Islam sebagai Suatu Sistem Kepercayaan dan juga Cara Hidup.

*  Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM

0 Komentar untuk " Membentuk jiwa yang muttaqeen "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ