Al-Quran dan pedoman saintifik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Al-Quran dan pedoman saintifik

AL-QURAN bukan kitab sains. Ia terkandung pedoman saintifik mengenai penciptaan jagatraya, bumi, manusia dan alam. Tentu ada maksud mengapa semua itu diciptakan dan hikmah yang tersirat di sebalik ciptaannya.

Secara nyata berasaskan rasionaliti tidak membekalkan manusia dengan seluruh maklumat dan perkhabaran yang benar dan bermanfaat. Asas tadabbur yang bersandarkan al-Quran menjadikan maklumat dan perkhabaran lebih sempurna dan lengkap.

Tanpa maklumat dan perkhabaran daripada ALLAH menerusi al-Quran faktor-faktor ghaibiyyah tidak akan diketahui dengan tepat. Perkhabaran dari al-Quran menjadi sumber ilmu dan petunjuk supaya data dan fakta mengenai sesuatu menjadi lebih lengkap dan sempurna.

Proses kejaninan (embriologi) yang terdapat dalam al-Quran adalah suatu fakta dan perkhabaran lengkap mengenai proses kejadian manusia. Para saintis dunia bila mengkaji fakta dan data dari al-Quran mendapati ia benar dan sempurna.

Al-Quran dalam Surah al Baqarah: 164 ALLAH menyatakan dengan jelas, “Dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, dan perahu yang belayar di lautan membawa manfaat bagi manusia, dan air yang diturunkan ALLAH dari langit, yang kerananya bumi yang tadinya tampak gersang menjadi subur kembali, dan tersebarlah binatang melata di sana dan berhembusnya angin, serta mega yang berarak di antara langit dan bumi, sungguh semua itu merupakan tanda-tanda kebesaran ALLAH bagi yang punya ketajaman fikir "

Ayat di atas menyatakan dengan jelas mengenai penciptaan langit dan bumi yang dikaitkan dengan hakikat siang dan malam, awan yang berarak, air yang membasahi bumi menyebabkan tanah menjadi subur dan kehidupan terjadi dan ternakan membiak. Tanda-tanda kebesaran ALLAH itu membangun jiwa tadabbur supaya ketajaman pemikiran membawa kepada penerimaan makna ke dalam diri betapa ALLAH yang Maha Perkasa menjadikan segala untuk manfaat manusia dan kehidupan itu sendiri.

Pada awal al-Quran, Surah Al Alaq ayat 1-5 memberikan kita makna budaya ilmu, asal kejadian manusia dan juga pedoman memperoleh ilmu. Iqra’ bismirabbikallazi Khalaq. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Ia adalah asas kepada budaya ilmu. Ia merujuk kepada al-Quran. Ilmu yang dimaksudkan tidak sekadar yang tersurat (empirical) tetapi juga yang tersurat (terhubung dengan hal-hal yang ghaib). Sinergi ilmu ini membina tasawwur yang sempurna. Semuanya itu datang daripada ALLAH.

Khalaqal insan na min alaq – manusia dijadikan dari darah beku. Ia menjadi asas kepada asal kejadian manusia. Konsep alaqa dan nutfah ini landasan ilmu kejaninan tentang kejadian manusia.

Ia menolak teori Darwin yang menyatakan manusia berasal daripada keturunan ape atau kera/monyet. Teori ini dipertikaikan di Barat. Dan Islam menerusi kajian kejaninan mendapati perkhabaran daripada ALLAH adalah tepat. Prof Maurice Bucaille dari Perancis dalam bukunya Al-Quran, Bible and Modern Science menyatakan secara terperinci mengenai kejaninan dan mendapati fakta dari al-Quran adalah sempurna.

Hal yang sama diungkapkan dalam ayat 3-5, Iqra’ warabbuqal aqramullazi allama bil qalam, allamal insan namalam ya’lam- Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar dengan Qalam. Dialah yang mengajar manusia segala yang belum diketahui.

Ungkapan ayat-ayat ini sangat penting dalam proses penerokaan dan pembinaan ilmu dalam usaha pembinaan tamadun. Ughul Beg seorang ilmuan Islam yang tersohor di Uzbekistan membina observatory (balai cerap) untuk melakukan kajian terhadap bintang dan cekerawala dan akhirnya ilmu itu amat membantu pemahamannya terhadap perjalanan alam dan juga bintang-bintang.

Bidang kajian astronomi sangat berkembang dalam zaman Islam di samping tamadun-tamadun yang lain. Al-Quran memberi tafsiran yang sangat luas mengenai konsep kalam dan alam sehingga tradisi tadabbur dalam Islam berkembang.

Ilmu-ilmu sains dan teknologi Islam akhirnya menjadi sumber ambilan ilmuwan Barat dan diterjemahkan kita-kitab sains Islam ke dalam bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew dan tidak mengambil bahasa Arab sebagai bahasa bersama ilmunya dan menyebabkan deislamisasi ilmu terjadi.

Deislamisasi atau sekularisasi ilmu terjadi dan berkembang sehingga ini. Alasan ini juga yang membangkitkan kesedaran baru umat Islam supaya proses integrasi dan Islamisasi terjadi supaya ilmu-ilmu Barat dapat disantuni agar etika Islam dijadikan sandaran.


* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Al-Quran dan pedoman saintifik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ