Masa depan di Karnival Kerjaya CIDB - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Masa depan di Karnival Kerjaya CIDB

BELIA lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijemput hadir ke Karnival Kerjaya Lembaga Pembangunan Industri Malaysia ( CIDB) bagi merebut peluang menjadi sebahagian daripada tenaga kerja industri pembinaan.

Pengurus Besar Sektor Pembangunan Personel dan Kontraktor CIDB, Mohd Nazli Ahmad Mahyidin berkata, sebanyak 30 pempamer daripada pelbagai sektor pembinaan turut serta dalam karnival kali ini yang mana turut disertai syarikat kontraktor dalam dan luar negara.

“Graduan daripada mana-mana institusi kemahiran negara boleh mencuba nasib di sini kerana banyak jawatan kosong disediakan dan ruang temu duga secara langsung juga diadakan oleh syarikat-syarikat kontraktor terlibat.

“Bagi lepasan SPM, kami menyediakan pelbagai kursus di bawah Akademi Binaam Malaysia (ABM) yang membuka kemasukan sepanjang tahun dengan syarat kelulusan sangat minima asalkan boleh menulis, membaca dan mengira dengan baik,” katanya.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga 11 September, diadakan di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, turut disertai syarikat gergasi seperti Gamuda Berhad,  UEM Group, Sunway Construction dan lain-lain

Bagi menarik minat pengunjung mengetahui skop kerja dalam industri itu, demonstrasi pemasangan dalam pembinaan turut diadakan termasuk aplikasi terkini menggunakan simulator.

Nazli berkata,  bidang pembinaan masih kurang mendapat sambutan apabila persepsi 3D, kotor (dirty), bahaya (dangerous), susah (difficult) masih membelenggu minda masyarakat.

Menurutnya, dari segi gaji mereka yang berkemahiran dalam sesuatu bidang itu boleh meraih pendapatan mencecah puluhan ribu.

“Ramai juga yang masih anggap kerjaya dalam industri ini hanya dimonopoli warga asing sahaja. Hakikatnya banyak peluang dibuka kepada pekerja tempatan.

“Malah bayaran atau gaji yang diterima adalah lumayan mengikut keupayaan dan kemahiran masing-masing “ katanya.

Beliau berkata,  masalah yang timbul hari ini bukan industri yang memingirkan  pekerja tempatan tetapi sebaliknya berlaku apabila masih ramai yang tidak berminat untuk bekerja dalam sektor pembinaan.

“Ini kami jelaskan bahawa bukan sahaja mereka yang berpelajaran mampu membina kerjaya dengan baik tetapi mereka yang kurang dalam pelajaran juga mampu berjaya sekiranya sedia menceburi bidang kemahiran seperti pembinaan ini.

“Kami di CIDB berusaha untuk mencungkil minat para belia untuk sertai kami, selain itu kita juga berusaha untuk memastikan mereka kekal dalam industri ini,” katanya.

Nazli memberitahu, sekiranya lebih ramai golongan muda berminat dalam industri pembinaan maka negara boleh mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABM Wilayah Tengah, Dolkipli Saian berkata, sehingga kini ABM sudah melahirkan 200,500 graduan, malah jumlah itu masih tidak boleh mengisi kekosongan pekerjaan masa kini.

Justeru itu, pihaknya mengajak mereka yang berminat untuk menyertai mereka kerana ada 60 bidang kursus yang ditawarkan.

“Di Wilayah Tengah, bidang yang mendapat sambutan adalah elektrikal, mekanikal dan, oil and gas.

“Setakat ini, kebolehpasaran para graduan diyakini apabila belum tamat kursus sudah ada syarikat yang menanti,” katanya.

Ketika ini, ABM mempunyai enam cawangan iaitu di ABM Wilayah Tengah (Kuala Lumpur), ABM Timur (Kuala Berang, Terengganu), ABM selatan, (Johor Bharu), ABM Utara, (Sintok, Kedah), ABM Sabah, (Kota Kinabalu), ABM Sarawak, (Kuching).

Menurut CEO ABM Timur, Maliki  Endut di lokasinya juga sama ketika ini bidang oil and gas mendapat permintaan yang tinggi.

“Bagi setiap kursus, kita hanya mengambil 40 orang sahaja, namun yang datang temu duga selalunya melebihi 200 orang. Namun mereka yang berminat masih boleh menunggu mengikuti kursus berikutnya.

“Kita terpaksa mengehadkan bilangan itu berdasarkan kelengkapan yang kita ada serta mahu memastikan semua pelajar benar-benar mahir dengan peralatan yang bakal digunakan dalam bidang yang diceburi nanti,” katanya.

Selain itu, Maliki turut memberitahu ABM Timur sedang menerima kemasukan 3,000 pekerja yang mahu membuat pengesahan kemahiran bidang melalui kerjasama Petronas.

0 Komentar untuk " Masa depan di Karnival Kerjaya CIDB "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ