Popiah rumpai laut sedap, rangup - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Popiah rumpai laut sedap, rangup

SEDAP, lemak dan rangup menjadikan popiah rumpai laut (seaweed) menjadi pilihan pelbagai peringkat umur. Snek popiah rumpai laut juga lazat dan dijadikan sebagai kudapan enak yang boleh dimakan begitu sahaja.

Sebelum ini, kebanyakan kita akan terfikir rumpai laut hanya untuk kecantikan sahaja kerana mempunyai kolagen. Seiring dengan peredaran zaman, rumpai laut diinovasikan dan dikomersialkan menjadi snek yang baik untuk kesihatan dan kecantikan.

Menariknya, popiah ini tidak berbau walaupun ia adalah produk inovasi daripada rumpai laut.

Kakitangan awam, Wan Amalina Wan Daud berkata, dia sekeluarga menggemari popiah rumpai laut sejak awal tahun ini selepas diperkenalkan rakan sepejabat.

Menurutnya, pada peringkat awal, ia hanya sekadar suka-suka sahaja untuk rasa dan cuba membeli sebalang.

“Alhamdulillah, ahli keluarga saya menyukainya. Hampir setiap minggu saya membeli dua balang yang dijual dengan harga RM15 sahaja.

“Anak-anak akan makan ketika menonton televisyen dan membuat kerja sekolah. Kadang-kadang, mereka menjamahnya ketika dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, popiah rumpai laut yang digemari adalah berperisa keju kerana ia sangat sedap dan rangup serta tidak hanyir.

“Selalunya, saya akan menjadikan popiah rumpai laut sebagai buah tangan ketika berkunjung ke rumah saudara-mara kerana anak-anak mereka menyukainya,” katanya.

Kudapan terlajak sedap

Bagi kakitangan awam, Noor Izwan Mohd Nor, 28, berkata, kudapan itu dikenalinya sejak akhir tahun lalu.

Katanya, ketika mula-mula diberi rakannya, dia tidak mahu kerana tidak suka rumpai laut.

“Apabila diinovasi sehingga menjadi popiah dan mempunyai pelbagai perisa, ia menyebabkan saya makin menyukainya.

“Ia sangat sedap dan rangup. Semakin lama, semakin sedap dan mudah didapati di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, kini, produk itu menjadi makanan wajib untuk disediakan di rumahnya kerana sebagai makanan sampingan dan membantu diet.

Mendapat sambutan

Bagi Pengurus Operasi Orange Crunchy House, Hameeza Azmi, selepas merasai popiah rumpai laut, beliau mengambil keputusan menjual produk itu di kedainya untuk beri peluang kepada penduduk setempat menikmati kudapan tersebut.

“Walaupun tempoh penjualan masih belum setahun, sambutan daripada penduduk setempat memberangsangkan. Kebanyakan mereka membeli perisa pedas,” katanya.

Menurutnya, popiah rumpai laut juga dipilih kerana ia unik dan lain daripada lain.

“Selain menjual popiah rumpai laut, saya juga menjual pelbagai jenis kerepek, kuih tradisional dan aneka biskut dan kudapan di kedai saya yang terletak di Sungai Lalang, Kedah,” katanya.

Peluang keemasan

Bagi Pengarah Urusan Zaim Zolkifri Enterprise, Mohd Zaidi Md Jasmin, disebabkan tidak ramai penjual di kalangan Bumiputera menjual popiah rumpai laut di sekitar utara Semenanjung Malaysia, dia mengambil peluang tersebut dengan membuat produk itu.

Mohd Zaidi berkata, popiah rumpai laut berkhasiat, antaranya anti-oksida dan pada mulanya ia sukar diterima penduduk tempatan kerana menganggap ia untuk kecantikan dan wanita.

“Selepas enam bulan diperkenalkan, penduduk setempat dapat menerimanya. Kami menghasilkan pelbagai perisa iaitu original, pedas dan barbeku,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, dia mencipta sendiri resipi popiah rumpai laut dan mempelbagaikan perisa untuk disesuaikan mengikut peringkat umur.

“Alhamdulillah, produk ini diterima ramai. Kami mengedarkannya di seluruh Kedah dan Pulau Pinang serta akan memasuki pasaran Perak dalam masa terdekat.

“Insya-ALLAH, kami merancang untuk mengedarkannya ke seluruh negara dan beberapa negara Timur Tengah pada 2016.

“Kami mengeluarkan 2,000 balang popiah rumpai laut dan 2,200 bungkusan pada setiap bulan. Kami menjual RM17 bagi 250 gram dalam bentuk balang, manakala pembelian secara borong pula adalah RM58 sekilogram,” katanya yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama dua rakannya, Zaim Zolkifri dan Fadzil Khamis.

0 Komentar untuk " Popiah rumpai laut sedap, rangup "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ