Dari Kurukshetra ke Putrajaya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dari Kurukshetra ke Putrajaya

MENELAAH Tumit Akilis Khalid Jaafar, saya tertegun menghadam Penjuru-Penjuru, meneliti penghayatan terhadap insiden prapertempuran Pandawa dengan Kurawa.

Di medan perang Kurukshetra, ketika bala tentera Pandawa dan Kurawa menunggu perintah untuk bertempur, Arjuna - yang terkenal kesatriaan dengan busur saktinya bernama Ghandiva - minta dibawa ke tengah-tengah medan untuk dia melihat wajah musuh-musuhnya dengan lebih dekat bagi kali yang terakhir.

Di situ, dia menatap satu demi satu wajah yang dahulu begitu akrab dengannya tetapi mereka telah memilih untuk menjadi musuhnya dalam perang saudara itu. Musuh yang dadanya akan dihalakan mata panah daripada Ghandiva yang hingga saat itu belum pernah gagal dalam misi memisahkan nyawa dengan jasad yang jadi sasaran.

Setiap wajah mereka ditatap dengan sedih dan sayu. Pandangan Arjuna terhenti pada nendanya, Bhisma. Lama dia merenung Bhisma hingga terhimbau setiap lapis kenangan mereka bersama terutama sewaktu kecilnya. Di riba nendanya itulah dia membesar dengan penuh kasih sayang. Betapa manja si bongsu putera Raja Pandu itu dengan nendanya. Kepada Bhismalah dia berlari minta perlindungan apabila diusik abang-abangnya.

Bagaimana dalam keadaan jiwanya sebak diasak kenangan, dia sanggup untuk menghalakan mata panah ke dada nendanya yang telah memilih untuk berpihak kepada Kurawa?

Hati Arjuna diruntun pilu. Dia terpaksa menghadapi dilema dalam keadaan yang sangat keliru.

Daripada Bhisma, pandangannya beralih ke wajah Drona, gurunya yang mengajar dia berlawan, memanah dan bermain senjata. Kasih sang guru kepada Arjuna melebihi anaknya sendiri. Buktinya, Drona menurunkan ilmu kepada Arjuna lebih banyak daripada apa yang diberi kepada Aswthama, anaknya. Malangnya, seperti Bhisma, gurunya itu juga berpihak kepada musuh Pandawa.

Arjuna merenung pula Kripa, seorang lagi gurunya. Hancur luluh hatinya terpaksa melalui keadaan sukar itu. Pandawa bertanggungjawab mempertahankan hak tetapi terpaksa memerangi insan-insan yang begitu berjasa dan disayangi.

Memandang sepupu-sepupunya, anak-anak Raja Dristharasta dan Permaisuri Ghandari yang seramai seratus orang itu, Arjuna terkenang kebaikan Ghandari yang dianggap seperti ibunya sendiri. Bagaimana dia tergamak melukakan hati insan yang begitu dihormati dengan berita kematian seorang demi seorang anak-anaknya, yang dia sendiri akan membunuh mereka.

Mengenang semua itu, lutut Arjuna menggeletar. Dia berasa lemah tidak bermaya. Tekaknya kering. Ghandiva yang selama ini kejap dalam genggaman sang wira sudah tidak mampu dipegang, terlepas jatuh ke tanah.

Ketika itu, dalam fikiran Arjuna, apalah erti kemenangan jika dia perlu membunuh nendanya, guru-guru yang sangat berjasa, juga sepupu-sepupunya?

Dalam keadaan itu, baginya kekalahan adalah lebih mulia berbanding kemenangan. Kehilangan nyawa Bhisma, Drona, Kripa, juga sepupu-sepupunya di tangan Pandawa pasti akan buat dia terpaksa menanggung kesedihan sepanjang hayat.

Arjuna semakin bingung. Fikirannya berkecamuk. Fokusnya hilang sehinggalah dia disedarkan oleh Krishna, pemandu kereta kudanya yang mengingatkan dia tentang moral dan tanggungjawab yang harus dihadapi. Syair-syair moral Krishna mengembalikan kesatriaan jiwa dan motivasi Arjuna. Puisi Krishna itu kemudian dikenali dengan nama Bhagavad Gita, satu bab utama dalam Mahabharata.

Dilema moral yang dihadapi Arjuna sering mengunjungi setiap pejuang di medan apa sekalipun. Manusia - sama ada secara individu ataupun berkumpulan - ada Kurukshetranya yang tersendiri. Dan setiap Kurukshetra adalah juga dharmashektra - medan moral dan hati nurani untuk memandu kehidupan secara insani (dharma membawa maksud akhlak, nilai, integriti, kemuliaan, peradaban dan maruah).

Walaupun Putrajaya bukan Hastinapura, epos ini mengingatkan saya apa yang sedang berlaku di tanah air kita. Konflik dalam kalangan orang politik yang memerintah, semakin membingungkan. Rakyat keresahan. Masa depan tiba-tiba tidak lagi boleh diharapkan.

Saya tidaklah mahu mengandaikan siapa-siapa sebagai Pandawa atau Kurawa, Arjuna atau Bhisma, protagonis atau antagonis tetapi hakikatnya, pertelagahan yang sedang berlaku akan menjahanamkan. Seperti yang difikir Arjuna, apalah erti kemenangan diri jika hak dan maruah bangsa sudah hancur?

Dalam keadaan ini, kekalahan adalah lebih mulia berbanding kemenangan.

Jika hati masih keras, kembalilah ke dharmashektra. Kita orang Islam, ada persoalan yang perlu dijawab di akhirat!

0 Komentar untuk " Dari Kurukshetra ke Putrajaya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ