Hayati perjuangan menerusi Pameran 50 Foto Kemerdekaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hayati perjuangan menerusi Pameran 50 Foto Kemerdekaan

MELAKA: Dalam usaha menyuntik semangat patriotisme, Kerajaan Melaka mempelawa orang ramai mengunjungi Pameran 50 Foto Kemerdekaan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015, yang sedang berlangsung di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Bandar Hilir, di sini. Menerusi pameran anjuran kerajaan Melaka dengan kerjasama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) itu, orang ramai berpeluang mempelajari sejarah perjuangan kemerdekaan menerusi keratan media cetak yang tidak pernah dipaparkan umum. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pameran yang bermula kelmarin hingga 16 September ini, memberi peluang kepada rakyat, khususnya golongan muda mengenali pejuang kemerdekaan membebaskan negara daripada belenggu penjajahan menerusi keratan akhbar eksklusif dari Pusat Sumber NSTP.

"Pameran ini antara usaha kerajaan menambah ilmu pengetahuan masyarakat, malah sebahagian besar daripadanya wira yang tidak didendang dipaparkan melalui media cetak yang sentiasa dikemas kini dalam tempoh 24 jam dan tepat. "Contohnya, pengumuman kemerdekaan negara berlaku pada 20 Februari 1956 dan pada 21 Februari, NST (NSTP yang ketika itu dikenali New Straits Times) lapor Tunku Abdul Rahman (Bapa Kemerdekaan) turun ke Melaka dan mengumumkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan. "Ketepatan laporan media pada waktu itu menyumbang kepada iltizam rakyat negara ini untuk mencapai kemerdekaan dalam tempoh setahun enam bulan kemudian," katanya selepas merasmikan pameran itu, semalam.


PENGARANG Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pada Pameran 50 Foto Kemerdekaan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Bandar Hilir. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber 

Sempena pameran itu, jualan buku dan pendaftaran News Image Bank (NIB), perpustakaan elektronik milik NSTP turut diadakan. Turut hadir, isteri Idris, Datin Seri Fadilah Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar serta EXCO Komunikasi, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Wira Latiff Tamby Chik. Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Badrulhisham Othman; Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi; Pengurus Besar, Wilayah dan Perkhidmatan Kreatif NSTP, Zulkarnain Abd Talib dan Ketua Biro BH Melaka, Badrul Hizar Ab Jabar.

Idris berkata, selain menebalkan semangat patriotisme, orang ramai juga berpeluang mengetahui peristiwa menarik yang berlaku di peringkat negeri dan dunia, pada hari mereka dilahirkan apabila mengunjungi pameran itu. "Tarikh 13 Mei 1966 yang juga hari lahir saya, sebuah bas dilaporkan terjatuh ke dalam gaung. Di pameran ini, sesiapa saja boleh menyemak peristiwa yang berlaku pada hari lahir mereka," katanya. Sementara itu, Abdul Jalil berkata, pameran yang dianjurkan itu antara usaha NSTP mendekati pembaca untuk memahami sejarah kemerdekaan negara sejak tahun 1957. "Pihak syarikat juga mempunyai perancangan untuk mengadakan pameran ini sebagai acara tahunan di negeri lain, tetapi jika ada lagi kerjasama daripada kerajaan negeri Melaka, mungkin ia akan kembali lagi tahun depan," katanya.



Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/78749
0 Komentar untuk " Hayati perjuangan menerusi Pameran 50 Foto Kemerdekaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ