Tragedi tidak patah semangat penduduk mula hidup baharu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tragedi tidak patah semangat penduduk mula hidup baharu



"WALAUPUN kejadian serangan itu sudah lebih dua tahun berlalu, ia sentiasa segar dalam kepala kami dan ada masanya bila ada kapal terbang ringan atau helikopter melintas di ruang udara kampung ini, hati kami mula berdebar dan bertanya sesama sendiri," demikian diluahkan tiga penduduk Tanjung Labian, Lahad Datu, Sabah, antara mereka yang mengalami detik-detik cemas apabila kejadian pencerobohan oleh pengganas Sulu di Tanduo melarat sehingga ke kawasan penempatan mereka.

Bagi Jawati Mahmud, 36; Norma Gabuan, 33 dan Merelen Almiranto, 40, apa yang diharapkan adalah kejadian yang menyebabkan suasana haru-hara dan kampung mereka bertukar menjadi medan pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan pengganas itu tidak berulang dan bersyukur kerana kampung mereka selepas kejadian seperti padang jarak padang tekukur, kini berada di bawah kawalan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Kemasukan pengganas Sulu ke kampung Tanjung Labian adalah untuk melarikan diri berikutan serangan udara dilancarkan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo bagi menamatkan pencerobohan yang dilakukan. Pertempuran itu menyebabkan penduduk terpaksa melarikan diri dengan ada antara rumah penduduk musnah akibat bedilan serangan yang dilakukan.   Kehadiran pasukan ESSCOM kini jelas di persekitaran kampung dengan ada anggota yang sentiasa bersedia dan mengawal di kawasan pantai selain rondaan yang dilakukan di sekitar kampung.

Menceritakan kejadian itu, mereka menjelaskan, kemasukan masyarakat dari selatan Filipina ke perkampungan mereka sebelum ini memang diketahui kerana kedudukan kampung itu yang terletak di tepi pantai dengan hanya laut yang memisahkan mereka dengan penduduk yang tinggal di kepulauan sekitar perairan berkenaan dan kerana rupa paras antara mereka tidak banyak berbeza menyebabkan kadang-kadang penduduk tidak perasan bahawa mereka bukan orang tempatan.

Kunjungi pekan sehari 

"Biasanya mereka masuk ke sini pada 11 dan 12 hari bulan setiap bulan kerana ada pekan sehari di sini. Bagaimanapun, mereka tidak bergaul sangat dengan penduduk kerana sibuk dengan urusan mereka, tambahan pula kami juga tidak ada apa-apa urusan dengan mereka," kata mereka yang menampakkan riak tidak senang di wajah ma sing-masing mungkin kerana teringat kembali saat penuh ketakutan itu, kerana ia bukan menyebabkan nyawa mereka terancam tetapi kemusnahan harta benda termasuk rumah yang rosak dan terbakar.

Menyambung cerita, mereka berkata, sewaktu berlaku serangan, mereka lari meninggalkan rumah sehelai sepinggang dan berlindung di Dewan Fajar Harapan FELDA Sahabat dan tinggal di sana sebulan. Selain penduduk Tanjung Labian, turut sama menerima kesan pencerobohan pengganas Sulu itu adalah penduduk Tanjung Batu.

"Keadaan menjadi susah... anak-anak tidak bersekolah kerana sekolah juga ditutup disebabkan masalah keselamatan... untungnya guru sangat prihatin dan mengadakan kelas di rumah mereka selepas keadaan sedikit pulih, sebelum kami semua dapat pulang ke rumah masing-masing,"  kata mereka. Terdapat tiga sekolah di sekitar kampung berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian, Lok Buani dan Fajar Harapan.

Apa pun, mereka kini bersyukur kerana kerosakan rumah yang dialami penduduk sudah diperbaiki, manakala ada sebahagiannya yang rumah mereka rosak teruk dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Zon Labian, Tungku, Lahad Datu yang mengandungi 33 rumah dan mula diduduki pada Januari lalu, selain kehidupan mereka sudah kembali seperti asal dengan penduduk turut membantu pasukan keselamatan mengawal persekitaran kampung.

"Kini kami masih dalam keadaan berjaga-jaga dan cuma kadang-kadang ada masanya tidur tidak lena bila ingatkan kejadian itu," kata mereka yang menampakkan senyuman di bibir masing-masing mungkin kerana ketegangan sewaktu berbicara sudah hilang dan mereka sudah mampu menerima keadaan yang berlaku, dalam pertemuan yang diadakan selepas menghadiri Majlis Bersama Masyarakat Tempatan Tanjung Labian yang dianjurkan Jabatan Penerangan dan dihadiri Ahli Parlimen Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur di kampung berkenaan. Pada majlis itu Jabatan Penerangan turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung terbabit yang diterima wakil penduduk.

Tinjauan dijalankan di PPR Zon Labian mendapati penduduk rata-rata menyatakan kegembiraan kerana dapat menduduki rumah berkenaan yang dilengkapkan dengan kemudahan air dan elektrik, selain keselamatan yang agak terjamin apabila dikelompokkan dalam satu kawasan, ia juga memberikan mereka kehidupan yang lebih baik. Apa yang penting kata mereka adalah pembinaan kawasan perumahan berkenaan menunjukkan keprihatian kerajaan terhadap nasib penduduk yang menjadi mangsa pencerobohan pengganas Sulu.

Sementara itu, Datu Nasrun berkata, kedudukan Tanjung Labian dan Tanjung Batu yang dekat dengan Selatan Filipina selain ada penduduk di kawasan berkenaan yang mempunyai hubungan dengan sebahagian penduduk tempatan menyebabkan ada penduduk di sana yang masuk ke sini, malah ada yang datang pada waktu petang untuk bermain bola tampar dengan penduduk kampung dan juga hadir ke sini bila ada kenduri-kendara. Bagaimanapun, selepas kejadian pencerobohan itu, banyak pihak menyalurkan sumbangan kepada penduduk yang mencurah-curah datang dan kini kesan kejadian itu sudah hilang dan seolah tidak ada apa yang berlaku.

Katanya, dengan Lahad Datu yang kini dalam proses untuk dinaik taraf kepada perbandaran, akan berlaku perubahan dalam persekitaran dan bagi Tanjung Labian ia memerlukan banyak pembangunan terutama dalam bentuk perumahan untuk memastikan rakyat yang mengalami kesan pencerobohan pengganas Sulu dalam kejadian dua tahun lalu itu pulih dan kembali seperti biasa. Bercerita perkara sama, Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmood Malang, berkata selepas dua tahun, keadaan sudah kembali pulih dengan penduduk yang rumah mereka rosak sudah dipindahkan ke PPR Zon Labian, manakala mereka yang bekerja sebagai nelayan sudah boleh ke laut untuk mencari rezeki tanpa ada masalah atau berasa bimbang akan keselamatan.


NORMA (tiga dari kiri), Merelen dan Jawati (dua dari kanan) bersama penduduk Kampung Tanjung Labian yang kampung mereka di ceroboh pengganas Sulu, beberapa tahun lalu. 

Keadaan kembali pulih

"Walaupun pada waktu itu kehidupan kami yang seramai 300 orang terumbang-ambing kerana keadaan seperti berada di kawasan peperangan dan menumpang teduh selama sebulan di Dewan Fajar Harapan, tetapi kini semua sudah pulih. Pada waktu itu, ada rumah yang musnah akibat tembakan begitu juga ada seorang kelainan upaya yang tidak dapat melarikan diri, terkena tembakan," katanya sambil menunjukkan sebuah rumah kedai yang tinggal rangka kerana dibom pengganas Sulu dalam usaha mereka untuk melarikan diri, yang terletak tidak jauh daripada tempat kami berbual.

Sepanjang perbualan, Mahmood yang turut kehilangan rumah dalam kejadian itu, nampak ceria kerana rumahnya sudah dibaiki, berkata bahawa walaupun kejadian itu memberi kesan besar kepada penduduk, namun ada pengajaran yang mereka peroleh selain bantuan yang diterima penduduk memberikan mereka semangat untuk menempuh segala permasalahan yang dilalui.  

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Kampung Lok Buani, Abdul Bakar Palah, berkata walaupun segalanya sudah pulih dan kembali seperti sedia kala, ada beberapa permasalahan yang membelenggu penduduk kampung yang harus diperhatikan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan penduduk.

Isu hak milik tanah 

Satu daripadanya, katanya, adalah persoalan berhubung beberapa penduduk yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri walaupun mereka adalah warganegara, yang boleh menimbulkan masalah keselamatan sekiranya perkara sama berulang selain ketiadaan dokumen juga menyebabkan mereka melalui kesukaran untuk mendapat bantuan, tidak seperti rakan sekampung lain.

Pada masa sama beliau juga meminta kerajaan melihat isu hak milik tanah yang mereka diami dan berharap supaya ia disegerakan bagi memberi ketenangan kepada penduduk dan menambah walaupun isu keselamatan sudah ditangani kerajaan, usaha berterusan dalam meningkatkan keselamatan di sekitar Tanduo dan Tanjung Labian dapat mengelakkan perkara sama daripada berulang. Walaupun tragedi yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka itu sudah lama berlalu, namun kesan yang ditinggalkan mungkin mengambil masa untuk dilupakan oleh mereka yang mengalaminya, hanya masa yang dapat menentukan bila peristiwa hitam akan tanggal dari ingatan.

Namun seperti kata beberapa penduduk yang ditemui bahawa, walauapa pun hidup mesti diteruskan. Apa pun, ada hikmah di sebalik pencerobohan itu dan pengajaran yang boleh diambil semua pihak terutama penduduk dan kini dengan kehidupan yang lebih baik melalui beberapa projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan, antaranya solar hibrid bagi bekalan elektrik kepada penduduk, ia menjadi lembaran baharu kepada penduduk bagi menutup buku duka yang penuh dengan catatan hiba.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72461
0 Komentar untuk " Tragedi tidak patah semangat penduduk mula hidup baharu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ