SELEPAS lebih dua tahun, wartawan Bernama, Kurniawati Kamarudin mengunjungi semula Desa Mentari, di Petaling Jaya, baru-baru ini untuk melihat sama ada isu hubungan kaum yang rapuh di perumahan itu masih berlaku atau sebaliknya. Berikut adalah hasil maklumat yang beliau peroleh.
PETALING JAYA: Sapaan berbentuk senyuman yang diterima daripada seorang pemuda India yang melihat penulis ketika mencari tempat letak kereta sedikit melegakan. Sementara sekumpulan kaum ibu turut menegur dengan wajah yang cukup mesra menggambarkan suasana harmoni yang ada di kejiranan itu.
Ini satu senario yang jauh berbeza daripada apa yang penulis pernah lalui apabila menjejakkan kaki buat kali pertama di Blok 9 dan Blok 10 Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Mentari, Petaling Jaya pada Mac 2012. Ketika itu ketegangan jelas terpancar di raut wajah penduduk di situ. Sukar untuk melihat mereka tersenyum malah kadangkala wajah yang tenang itu mudah bertukar menjadi bengis.
Kira-kira 60 peratus daripada penduduk Desa Mentari adalah orang Melayu dan bakinya India dan ia adalah kejiranan yang banyak menyaksikan kes jenayah dan pergaduhan sesama kedua-dua komuniti itu. Punca perbalahan dan perkelahian antara anggota masyarakat ini dapat dilihat daripada latar belakang penduduk di sini. Sebahagian besar daripada mereka adalah penduduk yang dipindahkan ke situ pada 2004 dari penempatan setinggan Kampung Medan dan Kampung Ghandi yang pernah menyaksikan rusuhan kaum pada awal 2001. Selain rasa tidak puas hati antara kedua-dua komuniti itu, penghuni perumahan itu membawa bersama mereka ciri-ciri kehidupan setinggan. Budaya membuang sampah sewenang-wenangnya dan tidak mementingkan kebersihan menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan mereka dan ini disaksikan sendiri oleh penulis pada lawatan kali pertama.
SUASANA BERUBAH
Setelah mendalami isu konflik etnik yang berlaku, ia sebenarnya bukan didasari rasa kebencian antara kaum India dan Melayu seperti yang banyak diperkatakan sebelum ini sebaliknya ia satu permasalahan yang rumit. Mereka adalah masyarakat miskin bandar yang berhadapan dengan pelbagai dugaan antaranya pengangguran, kadar jenayah yang tinggi serta taraf pendidikan rendah. Hidup dalam tekanan kemiskinan, persekitaran yang tidak selesa menjadi punca utama mengapa masyarakat di sini terlalu mudah bertindak agresif walaupun disebabkan oleh satu perkara yang kecil.
Pada awal tahun ini, penulis kembali ke PPRT Desa Mentari dan disambut oleh senario yang berlainan daripada yang dikisahkan dalam mukadimah rencana ini. Penduduk jelas lebih mesra selain persekitaran di kedua-dua blok bangunan juga kelihatan lebih bersih. Sampah yang sebelum ini dicampakkan di merata-rata tempat tidak lagi kelihatan, sebaliknya bungkusan plastik biru mengandungi sampah disusun di satu tempat menanti sebelum dipunggah oleh lori Majlis Perbandaran. Betul ke apa yang disaksikan oleh penulis? Jikapun betul, bagaimana pula transformasi ini boleh berlaku?
SENTUHAN HATI
Insan yang paling gembira melihat perubahan itu tentunya Prof Dr Fatimah Daud, pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Usaha beliau sejak 2009 bagi mencari titik penyelesaian isu perpaduan dengan menubuhkan Klinik Sosial banyak menyumbang kepada persekitaran yang ada pada hari ini. Metodologi sosiologi yang diaplikasikan melalui 'sentuhan hati' mula mendapat sambutan positif penduduk.
Mengenalpasti keperluan penduduk menjadi langkah pertama yang dilakukannya untuk membantu masyarakat di situ yang kebanyakannya bekerja sebagai pemandu lori atau teksi, pekerja kilang dan yang lain. Kali pertama Fatimah menjejakkan kaki di kejiranan itu enam tahun lepas, sambutan yang diterima cukup dingin bukan sahaja daripada penduduk kaum India tetapi juga penduduk Melayu sendiri. Kedua-dua kaum itu menunjukkan prasangka dan kebencian. Beliau masih tidak dapat melupakan pengalaman kebencian yang dirasainya ketika memesan minuman di sebuah restoran India di kawasan itu.
Pelayan kedai itu langsung tidak mahu mengambil pesanannya. "Dalam hati saya berkata... masyarakat India di sini memang benci betul kepada orang Melayu. Kita Senyum, dia langsung tak senyum. Jadi saya fikir saya kena buat metodologi sosial yang sesuai untuk mendekati hati mereka," kata Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia itu semasa berkongsi pengalamannya kepada Bernama.
Hubungan kaum ketika itu berada di tahap yang cukup membimbangkan kerana beberapa hari sebelum beliau datang telah berlaku pergaduhan antara penduduk Melayu dan India yang menyebabkan seorang terbunuh di hadapan lobi lif. Melihat situasi meruncing penuh dengan perasaan benci ketika itu, beliau menubuhkan Klinik Sosial ini dengan kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPIN). Selain itu usaha beberapa lagi institusi pengajian tinggi, NGO dan Jawatankuasa Rukun Tetangga untuk mengenali permasalahan penduduk di situ juga banyak menyumbang kepada transformasi senario yang disaksikan pada hari ini.
BENARKAH HUBUNGAN KAUM BERTAMBAH BAIK
Sementara itu, JPIN dalam kajian pemerhatian yang dilakukan di PPR Desa Mentari mendapati penduduk di situ mula mengikis perasaan negatif terhadap Klinik Sosial yang ditubuhkan. Pada peringkat awal penubuhannya pelbagai reaksi diterima kebanyakannya menentang dan curiga dengan penubuhannya, kata Pengarah Institut Kajian Integrasi Nasional, Ho Kuek Hua. Sentimen mereka pada mula penubuhannya menganggap Klinik Sosial ini tidak memberi apa-apa makna dan ia hanya akan mengganggu kehidupan mereka di sini. Perasaan curiga itu wujud berikutan latar belakang kehidupan yang dilalui sebelum ini.
Projek eksperimen itu dilihat berjaya sebagai agen penyatuan penduduk di sini terutama melalui program tuisyen yang dianjurkan. "Kesan daripada tuisyen ini sangat positif. Isu besar yang ada di sini adalah anak-anak tidak ada tempat untuk melakukan aktiviti. Ibu bapa kebanyakannya bekerja, anak-anak terpaksa dibiarkan melakukan aktiviti mereka tanpa pengawasan. Dengan adanya pusat tuisyen ini, beban ibu bapa yang bekerja berkurang kerana anak-anak mereka ada di tempat yang selamat dan terkawal," katanya kepada Bernama.
PUSAT TUISYEN KLINIK SOSIAL MEDAN PERUBAHAN MINDA
Selain itu, pusat tuisyen itu menjadi medan untuk mendidik anak-anak di kawasan ini, terutama dalam membentuk keperibadian dan sahsiah yang lebih positif agar mereka tidak melakukan perkara-perkara yang tidak elok yang boleh menggugat ketenteraman awam. Menurut Ho, melalui Klinik Sosial, sasaran awalnya dengan memberi fokus kepada kaum wanita di kawasan itu bagi menarik mereka mengikuti sebarang program yang dianjurkan. Sifat penyayang wanita yang dijadikan 'role model" digunakan sebaiknya bagi menarik penduduk lain terutama kaum bapa untuk turut serta.
"Memang wanita di sini lebih aktif dan mereka akan turut serta dalam sebarang aktiviti yang dijalankan di sini antaranya program kesihatan, gotong-royong membersihkan kawasan dan sebagainya..., mereka semakin memahami konsep kesamaan untuk mewujudkan kawasan perumahan yang lebih bersih dan selamat bagi kehidupan yang lebih sejahtera," katanya. Melihat kejayaan daripada Klinik Sosial ini ia akan dikembangkan di kawasan PPR lain pula dengan fokus kali ini di kawasan PPR di Kuala Lumpur yang kini dalam proses mengenalpasti lokasi yang sesuai. Matlamat penubuhan Klinik Sosial adalah bagi menggerakkan NGO untuk turut serta bersama-sama membangunkannya. "Kita tidak mahu bergerak sendiri kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada kerajaan semata-mata. Jadi kita mahu gerakkan NGO agar turut serta kerana itu lebih memberi kesan baik kepada masyarakat setempat," katanya. - BERNAMA
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72503
0 Komentar untuk " Hubungan kaum di Desa Mentari kini lebih baik "