Rumah siap, pahat terus berbunyi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rumah siap, pahat terus berbunyi

ADA yang masuk Kabinet, ada juga yang dikeluarkan dari Kabinet. Datuk Seri Mohd Najib Razak telah benar-benar menggunakan budi bicaranya dan kuasanya dalam membentuk team yang beliau lebih selesa.

Seperti biasa setiap kali rombakan Kabinet, pasti ada yang mengejutkan. Ada yang melompat hingga ke siling sebab tidak menyangka akan dilantik menteri penuh.

Ada juga yang mengeluh, menangis sambil hentak-hendak kepala ke dinding sebab berharap sangat masuk Kabinet, rupa-rupanya nama langsung tiada dalam senarai. Tidur menonggeng sebab terlalu kecewa.

Apa pun saya ucapkan syabas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tabik Datuk!

KATA orang, rumah siap pahat berbunyi. Maka tidak hairan apabila terlalu banyak soseh-soseh sebaik sahaja Perdana Menteri mengumumkan Kabinet baharu, Selasa lalu.

Ada yang kata barisan Kabinet baharu tidak betul-betul mantap sebab masih ada kaki-kaki busuk dan wajah-wajah tidak dikehendaki dalam senarai baharu. Ada yang kata inilah Kabinet paling mantap sebab beberapa kaki busuk telah dikeluarkan.

Pendek kata membina Kabinet kerajaan jauh lebih cerewet dari membina kabinet dapur. Pahat akan terus berbunyi sampai bila-bila.

PALING mengejutkan banyak orang ialah tersingkirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Kabinet baharu Najib. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kini bagaimana pun masih menjadi orang No.2 Najib dalam parti, sebagai Timbalan Presiden Umno.

Memang mengejutkan ramai, tetapi bagi yang empunya diri sendiri perkara itu tidaklah mengejutkan sangat, sebab beliau pernah berkata “bersedia untuk diketepikan demi memperjuangkan yang hak...”

Muhyiddin adalah antara orang paling lantang mengkritik 1MDB dan mahu sesiapa sahaja yang terlibat dalam skandal mega itu supaya diambil tindakan. Oleh sebab kelantangan itu dia tersingkir.

Beliau menerima tindakan Najib itu dengan hati yang terbuka. Beliau tidak kecewa, tidak tidur menonggeng. Sebaliknya beliau memberitahu wartawan: “Sekarang saya boleh tidur lena, di sebelah isteri saya...”

WALAUPUN terkeluar dari Kabinet, Muhyiddin berjanji akan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap parti dengan meneruskan tugas sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Kata beliau, sebagai ahli politik yang telah lama berjuang, amanah dan tanggungjawab tersebut harus dipikul dengan sebaik-baiknya demi parti, rakyat dan negara.

“Sebelum ini pun semasa saya memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, saya telah melaksanakan apa yang saya fikir terbaik untuk parti, mengukuhkan perpaduan dalam parti, orang Melayu dan rakyat
Malaysia dengan melaksanakan segala dasar yang telah dibuat oleh parti dan kerajaan supaya rakyat akan terus menyokong,” tegas si mantan.

Muhyiddin perlu buktikan walaupun tiada kedudukan dalam kerajaan beliau masih orang No.2 dalam Umno.

TETAPI biasalah dalam politik kita, apabila sudah berstatus mantan orang semakin cenderung untuk mengelak atau menjauhkan diri. Waktu ada jawatan, orang cium tangan, suruh jilat punggung pun sanggup.

Tetapi apabila sudah bergelar mantan, sahabat-handai pun tidak berani dekat. Bukti: beberapa bahagian Umno telah membatalkan undangan kepada Muhiddin untuk merasmikan mesyuarat.

Tidak ramai yang berani menemui Muhyiddin – walaupun untuk kunjungan hari raya – kerana bimbang kedudukan dalam parti dan dalam kerajaan akan terjejas. Inilah hakikat dalam politik.

Apa pun setakat ini Pemuda Umno masih berani memberi sokongan terhadap pemimpin yang tersingkir dari Kabinet. Dalam satu kenyataan Pemuda menegaskan: “Pemuda Umno turut berikrar tetap menghormati Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meskipun kedua-duanya telah digugurkan daripada Kabinet.”

Harap-harap pendirian Pemuda ini kekal, dan tidak boleh digugat.

AKHIR kalam, serpihan bangkai pesawat ditemui di kepulauan La Reunion di Lautan Hindi, dipercayai sayap komponen pesawat Boeing 777 milik MAS yang hilang sejak lebih setahun lalu. Mudah-mudahan misteri tersebut akan terungkai.

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Rumah siap, pahat terus berbunyi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ