'Keadilan untuk semua tanpa ketepi agenda Melayu, Islam' - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

'Keadilan untuk semua tanpa ketepi agenda Melayu, Islam'



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet, Selasa lalu, dilihat sesetengah pihak lebih sebagai pemimpin kepada orang Melayu. Adakah persepsi itu betul? Ikuti penjelasan beliau dalam temu bual dengan BH. 

S: Datuk Seri kini orang nombor dua dalam kerajaan tetapi sesetengah pihak melihat Datuk Seri sebagai pemimpin yang lebih kepada orang Melayu.  Apa komen Datuk Seri? 

J: Jenama itu bukan hak saya yang letakkan. Tentunya persepsi itu merujuk kepada sikap saya ini tidak mudah goyah. Saya bukan saja perjuangkan Melayu, tetapi juga Islam yang sesuai dengan konsep majmuk masyarakat Malaysia. Kita tidak boleh lari daripada memberi keadilan kepada semua pihak tanpa mengetepikan agenda Melayu dan agama Islam. Ini mungkin gagal dilihat oleh pihak yang tidak dapat menterjemahkan pegangan saya.

Kita harus tahu dan faham bahawa mana-mana parti politik, ada keutamaan mereka masing-masing terutama yang berlandaskan dukungan kaum yang memberi keutamaan kepada golongan diwakilinya, tapi tidak menerjah keluar daripada agenda nasional. Saya ada sedikit latar belakang kepelbagaian dalam korporat dan juga perbankan serta latar belakang pendidikan agama yang memberikan kekuatan untuk saya menterjemahkan perlakuan keadilan kepada semua pihak. Biarpun saya dilihat agak keras sebagai Menteri Dalam Negeri, saya sebenarnya buta warna dalam membuat tindakan.

Perkara ini difahami kakitangan KDN dan inilah yang akan saya beri kesinambungan untuk saya lakukan dan berharap pihak yang ada persepsi negatif bahawa jika kita jadi 'ultra-Malay' seperti kita pernah ada pemimpin yang dilabel sebegitu, tapi sepanjang itu, beliau buat yang terbaik untuk semua rakyat negara ini.

S: Melihat kepada reaksi orang ramai terutama di media sosial, kebanyakannya memberi maklum balas negatif berhubung pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Komen Datuk Seri? 

J: Saya lihat ia sebagai suatu senario politik seperti yang pernah saya alami ketika menerajui Pergerakan Pemuda UMNO. Biarpun saya adalah ketua yang statusnya sama seperti Naib Presiden, saya tidak duduk sebagai ahli Kabinet, namun tetap menyumbang memperkukuhkan dan melicinkan jentera kerajaan dari perspektif luar kepompong pentadbiran. Mungkin ini yang dihasratkan Tan Sri Muhyiddin.

Saya meneliti secara halus keikhlasan beliau untuk mengukuhkan parti seperti yang dinyatakan. Kita harap ia dapat diterjemahkan walaupun saya hanya Naib Presiden, saya tidak rasa ia suatu kekangan besar bagi menterjemahkan frasa dan tugas parti yang harus dilaksanakan kerajaan.


TEMU bual bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

S: Ramai yang mendakwa mungkin belum tiba masanya Datuk Seri dilantik sebagai TPM tetapi peluang itu datang secara tiba-tiba selepas berlaku krisis dalam kepemimpinan. Apa kata Datuk Seri? 

J: Saya sangat percaya kepada hukum Allah dan Rukun Iman keenam, iaitu percaya kepada qada dan qadar. Siapa yang paling sesuai dalam sesuatu kedudukan adalah satu soal yang amat subjektif. Mana boleh seseorang menjadi presiden negara maju sedangkan sebelum itu beliau tiada pengalaman menjadi presiden, mungkin juga sebagai senator atau gabenor.

Dalam konteks ini, situasi yang muncul bukan kerana sesuatu krisis, tetapi harus dilihat bahawa seseorang itu sesuai atau tidak apabila peluang sudah ada. Malah, cahaya atau nur datang sendiri jika seseorang dapat tanggungjawab baharu dan tentu tempoh masa secukupnya perlu diberikan kepada seseorang itu memperlihatkan prestasinya. Berlaku adil kepada seseorang yang diberi peluang yang memegang sesuatu jawatan. Berlakulah dengan lebih objektif untuk melihat dan jangan berasakan diri seseorang itu saja yang layak dan menidakkan kemampuan orang lain.

S: Bila sebenarnya Datuk Seri dimaklumkan oleh Perdana Menteri mengenai pelantikan sebagai TPM? 

J: Ketika diumumkan pada hari itu (Selasa).

S: Tidakkah Datuk Seri sudah dimaklumkan lebih awal? 

J: Saya tidak ada maklumat perkara itu... kerana saya menghormati kuasa pelantikan itu adalah kuasa prerogatif PM. S: Apa reaksi pertama selepas dimaklumkan dilantik sebagai TPM? J: Tidak adil kalau saya katakan saya tidak mempunyai perasaan syukur. Tetapi sebagai orang lama dalam UMNO dan orang yang agak lama bersama Datuk Seri Najib, saya dapat membaca bahawa beliau perlukan seseorang yang boleh bekerja dalam satu pasukan.... oleh kerana saya pernah menjadi Setiausaha Politik beliau bermula 1 Oktober 1987 dan berkhidmat selama tujuh tahun ketika beliau memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan dan Setiausaha Parlimen di Kementerian Pertahanan. Ketika beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO, ketika itu juga saya berkhidmat sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO. Jadi, sudah ada keserasian antara kami. Gagallah saya jika masih tidak dapat membaca apa yang bermain di minda Najib dan kecewalah beliau jika orang yang diberi kepercayaan ini tidak dapat memahami hati nurani beliau.

S: PM memilih Datuk Seri sebagai orang nombor dua dalam pentadbiran negara, tetapi sesetengah pihak dilihat tidak bersetuju dengan situasi ini. Apa pesanan kepada golongan ini yang mungkin menimbulkan pelbagai salah tanggapan berhubung pemilihan ini? 

J: Saya menghormati ketidaksetujuan itu, namun saya tidak boleh paksa mereka supaya setuju. Namun kita mesti bersatu untuk bersetuju dan bersatu untuk tidak bersetuju. Kerana, hakikatnya ialah bahawa sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepada seseorang itu telah ditentukan Allah SWT. Kita harus terima bahawa ilmu Allah itu lebih tinggi daripada manusia dan ini hakikat yang perlu diterima semua orang dan agama.

S: Semalam adalah mesyuarat pertama Kabinet. Bagaimana Datuk Seri melihat komposisi dalam Kabinet kali ini kerana ia menggabungkan muka baharu dan lama serta ada tiga pemimpin muka lama kembali dalam barisan Kabinet? 

J: Saya fikir ini satu komposisi yang terbaik buat masa sekarang dan sesuai dengan keperluan terkini. Apa yang penting adalah kebersamaan dalam kalangan ahli Kabinet dan bantuan Timbalan Menteri yang dilantik.  


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri selepas rombakan Kabinet baharu di Bangunan Perdana Putra kelmarin. - Foto BERNAMA

Lima keutamaan Zahid 

Pertama: Menterjemahkan sebarang agenda yang ada dalam saluran pemikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terutama dalam menentukan semua program kerajaan termasuk perkara-perkara yang berada dalam kategori yang sudah atau belum digariskan.

Kedua: Menguruskan persepsi mengenai pelbagai program transformasi kerajaan yang mungkin belum dapat dihadam rakyat mengikut tafsiran berbeza berdasarkan latar belakang terutama cerdik pandai yang mendambakan sesuatu yang baharu untuk dikecapi rakyat.

Ketiga: Menyelesaikan permasalahan dalaman parti untuk mengukuhkan dan meremajakan UMNO serta meletakkan parti di landasan dokongan daripada kepemimpinan akar umbi.

Keempat: Mahu melihat sebarang agenda baharu yang akan dilaksanakan harus berpijak kepada ekonomi rakyat dan tidak terjebak kepada ekonomi kapitalisme bagi mengelak gelombang penolakan rakyat.

Kelima: Mewujudkan penyatuan secara fikrah dengan mengajak semua pihak yang berbeza pendapat termasuk pemimpin pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), cendekiawan, ahli agama duduk bersama semeja secara harmoni untuk menggariskan agenda nasional dan memperkasakan Malaysia.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71291
0 Komentar untuk " 'Keadilan untuk semua tanpa ketepi agenda Melayu, Islam' "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ