SEMANGAT patriotisme dan cintakan negara bukanlah perkara yang mampu timbul sendiri dalam diri setiap individu. Ia perlu dipupuk dan disemat dalam diri seseorang sejak kecil lagi, agar jiwa mereka sebati dengan perasaan itu. Ini adalah sesuatu yang amat penting terutama dalam kalangan generasi muda kerana mereka perlu sedar bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang mereka kecapi hari ini bukan datang secara percuma. Ia perlu dibayar dengan harga yang mahal melalui peluh keringat, darah serta nyawa pejuang negara terdahulu termasuk anggota pasukan keselamatan. "Generasi muda tidak pernah melalui pahit getir zaman darurat, mereka lahir dan hidup dalam era diwarisi daripada generasi sebelumnya yang terpaksa mempertaruhkan nyawa mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara. "Mereka tidak tahu apa erti sebenar sebuah perjuangan dan pengorbanan," demikian dikatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bercakap sempena Sambutan Hari Pahlawan semalam, beliau berkata, untuk menggilap semangat patriotik, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk generasi muda agar cintakan negara.
GURU membantu meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap pengorbanan pejuang terdahulu mempertahankan tanah air. - Foto Danial Saad
Pupuk rasa cintakan tanah air
"Rasa cintakan tanah air dan patriotisme harus dipupuk dari peringkat awal alam persekolahan. Disamping sistem pendidikan sedia ada, penubuhan sekolah wawasan menggabungkan tiga sekolah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan SRJK Tamil dalam satu kawasan adalah inisiatif terbaik memupuk toleransi antara kaum dalam kalangan pelajar berbilang bangsa dan agama," kata Khalid. Bagaimanapun katanya, pendidikan awal di rumah menjadi teras utama dalam mendidik dan memupuk semangat patriotisme dalam jiwa anak. "Ibu bapalah pendidik utama yang memberi kesedaran dan pendedahan mengenai pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah. "Justeru, keluarga dan golongan pendidik serta semua pihak berkepentingan harus berusaha keras memastikan kelangsungan toleransi antara kaum dan agama yang sedia ada dapat dikekalkan," katanya lagi. Katanya, sebarang isu yang boleh menimbulkan kebencian antara kaum perlu dielak pada saat toleransi antara kaum kini dalam keadaan yang rapuh. "Umum mengetahui ada pihak yang cuba menyemai semangat perkauman dan kebencian. Ini adalah perkara yang tidak wajar berlaku dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama. "Pada ketika ini, adalah amat penting untuk kita bersama-sama berusaha keras menyemai semangat patriotisme, hormat menghormati antara kaum dan agama serta bertolak ansur di samping mewujudkan masyarakat yang cinta negara dan saling bekerjasama mengekalkan kedaulatan negara.
Mengulas peranan pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekalkan keamanan negara, Khalid berkata, selepas 58 tahun merdeka, PDRM masih berdiri teguh sebagai agensi yang bertanggungjawab memastikan kesejahteraan rakyat kekal terjamin. Beliau berkata, PDRM terus mengorak langkah melawan pelbagai arus perubahan zaman dan cabaran semasa untuk membuktikan mereka masih relevan sebagai agensi keselamatan terunggul untuk menjaga keselamatan dalam negara. "Sikap keberanian dan pengorbanan serta nilai-nilai integriti yang tinggi dalam setiap diri warga PDRM dalam menjalankan tugas dan amanah dipertanggungjawabkan, sudah terbukti secara keseluruhan. "Di sebalik tohmahan dan rintangan yang dihadapi, PDRM tetap berusaha menjalankan amanah yang dipikul, dan sebagai bukti, situasi keselamatan negara masih dalam keadaan terkawal, aman dan sejahtera," tambah beliau. Justeru, beliau dan warga PDRM mahu rakyat sedar bahawa ada insan yang terpaksa bersengkang mata tatkala orang lain lena tidur, terpaksa berpanas berhujan, meredah hutan belantara dan lautan luas, dalam memastikan rakyat berasa selamat dan hidup dalam keadaan aman. "Keberanian dan pengorbanan setiap anggota PDRM dalam menjalankan tugas tanpa mengira masa dan tenaga, menjadi teras utama dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin. "Ada kalanya kita mengambil mudah akan kenikmatan hidup yang dikecapi ketika ini dan sering kita terlupa bahawa keamanan yang wujud adalah hasil jerih dan kepayahan pahlawan yang sanggup berkorban nyawa demi agama, bangsa dan negara," kata beliau.
ANGGOTA keselamatan ketika Ops Daulat membuat rondaan di Kampung Senallang meneruskan operasi memburu saki-baki pengganas. - Foto Mohd Radzi Bujang
Ops Daulat contoh pengorbanan PDRM
Menurut Khalid, peristiwa Ops Daulat di Sabah yang mengorbankan 10 wira negara adalah contoh terbaru pengorbanan PDRM dalam menjaga kedaulatan negara yang diceroboh pengganas asing. "Kebajikan keluarga dan ibu bapa wira negara itu kita jaga dengan sebaiknya. Mereka menerima bantuan dan kemudahan sewajarnya untuk memastikan kehidupan serta pembelajaran anak mendapat pembelaan. "Keluarga mereka akan menerima bantuan sepanjang hayat, manakala anak akan dibantu sehingga umur mereka mencecah 25 tahun, selain memastikan setiap keluarga mempunyai rumah sendiri," katanya. Khalid berkata, PDRM akan sentiasa menjaga kebajikan mereka sebaiknya, namun mungkin rakyat yang mudah terlupa akan peristiwa itu dan gugurnya 10 wira negara yang menggadai nyawa demi keamanan negara. Justeru, katanya Hari Pahlawan yang disambut setiap 31 Julai adalah sebaik-baik peluang untuk rakyat Malaysia menunjukkan penghargaan kepada pasukan keselamatan. "Kami amat menghargai usaha kerajaan menghadiahkan tanggal 31 Julai sebagai Hari Pahlawan bagi memperingati jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan demi mempertahankan negara. "Bagi saya, sambutan Hari Pahlawan sepatutnya menjadi azimat kekuatan kepada bangsa yang menghargai erti pengorbanan dan tahu mensyukuri nikmat keamanan kerana pengorbanan wira negara harus disanjung dan dikenang," katanya. Tambah beliau, jasa dan sumbangan wira terdahulu bukanlah sesuatu yang boleh dilupakan begitu sahaja, kerana pengorbanan mereka terlalu besar dan tinggi nilainya kepada generasi sekarang. Beliau berkata, untuk sambutan kali ini, PDRM mengambil giliran daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai hos penganjuran Hari Pahlawan 2015 yang diadakan di Dataran Merdeka bermula jam 7.30 pagi.
PERSEMBAHAN pentomen Sambutan Hari Pahlawan 2014, di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi. - Foto Yazit Razali
Pelbagai pengisian dirancang
"Sebagai hos pada tahun ini, pelbagai pengisian dirancang PDRM untuk menjayakannya dengan acara utama di Dataran Merdeka bermula jam 8 pagi. "Ia dibuka kepada orang ramai. Pelbagai acara, pameran dan sketsa istimewa dipersembahkan pada pagi semalam sebelum acara bersambung ke Masjid Negara untuk solat Jumaat yang mana khutbah khas sempena Hari Pahlawan disampaikan," kata Khalid. Sebagai wira yang kerap tidak didendang, beliau mahu semua warga PDRM terus utuh memegang amanah tanggungjawab yang digalas dan melaksanakan tugas sebaik-baiknya. "Saya berharap semua warga PDRM meningkatkan lagi semangat patriotik dalam diri masing-masing. Ia perlu dipupuk dan disemarakkan setiap masa, jangan sampai kita terlupa ikrar perkhidmatan yang kita lafazkan dulu. "Ingatlah... bahawa harapan masyarakat kepada anggota keselamatan khususnya PDRM adalah cukup tinggi. Sebagai perisai dan pedang negara, jalankanlah amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya," katanya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71497
0 Komentar untuk " Pendidikan awal pupuk semangat patriotisme generasi muda "