Abdul Rahim hasilkan Satay Port - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Abdul Rahim hasilkan Satay Port

BIASANYA sate akan dibakar di kawasan terbuka menggunakan arang yang boleh menyebabkan asap, habuk atau minyak yang mungkin terpercik.

Penjual sate juga perlu membalikkan sate, merenjis minyak dan juga mengipas bara arang di pembakar sate.

Ini menyebabkan hingga kini tiada lagi penjual sate yang beroperasi di dalam bangunan seperti gerai atau kios di pusat membeli-belah.

Bagi mengatasi masalah ini, pensyarah bidang teknologi kimpalan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi, Batu Pahat, Johor, Abdul Rahim Md Tahir tampil menghasilkan mesin pembakar sate atau Satay Port.

“Saya terpanggil menghasilkan Satay Port yang boleh digunakan di dalam bangunan tertutup kerana tidak mengeluarkan asap,” katanya.

Abdul Rahim, 49, berkata, hasilnya sate yang dibakar tidak hangus dan hitam yang mengandungi karbon sebaliknya lebih bersih kerana tidak perlu kipas menyebabkan habuk arang terbang, jatuh dan melekat pada sate.

Satay Port produk inovasi

Abdul Rahim berkata, Satay Port diwujudkan sebagai kaedah inovatif untuk memanggang sate.

“Ia adalah alat memasak automatik yang terdiri daripada pemanggang memasak yang akan dipanaskan kepada suhu tertentu. Sate yang hendak dimasak akan diletakkan pada peranti pengapit berputar dan akan dipanggang di atas pengangkut sehingga sate dimasak sepenuhnya dan akhirnya jatuh ke dalam dulang hidangan menggunakan kuasa graviti,” katanya.

Abdul Rahim berkata, inovasi ini dapat mengurangkan pengeluaran asap, mudah guna dan tiada bahan karbon yang melekat pada makanan yang dibakar.

Kurang dipercayai

Abdul Rahim berkata, seingatnya ketika memperkenalkan Satay  Port, ramai yang meragui sate yang dibakar kerana tidak menggunakan kaedah konvensional.

“Saya sedikitpun tidak tercabar apabila ada yang bertanya sama ada sate dibakar menggunakan Satay Port masak dan bagaimana rasanya.

“Biasanya apabila ada yang bertanya, sate yang dibakar menggunakan mesin saya ini masak atau tidak, saya akan bakar dan beri mereka rasa sendiri dan beritahu saya hasilnya. Mungkin mereka lihat tidak ada kesan karbon di sate tapi kalau kita selidik, kesan karbon tadi tidak elok untuk kesihatan,” katanya.

Beliau pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi European Welding Specialist dan International Institute Welding Specialist.

Bakar 800 cucuk sate dalam satu masa

Mengenai keenakan sate yang dibakar menggunakan Satay Port, Abdul Rahim berkata, rasa sate adalah subjektif dan bergantung kepada pembuatnya.

“Saya hanya mencipta mesin membakar sate bukannya mencipta resipi sate yang enak,” katanya.

Lebih menarik, Satay Port rekaan Abdul Rahim boleh membakar 800 cucuk sate dalam masa sejam tanpa henti dengan seorang operator.

“Pengguna hanya perlu meletakkan sate di atas tali sawat yang disediakan dan sate akan bergerak ke dalam tempat pembakar, naik ke bahagian atas dan akan jatuh dalam masa tiga saat.

“Proses berkenaan untuk satu pusingan hanya mengambil masa lebih tiga minit dan tidak memerlukan tenaga mahir untuk membakar, membalikkan dan mengipas arang,” katanya.

Tambahnya, lebih mudah, pengguna tidak perlu membalikkan sate tadi kerana terdapat pemanas di kedua-dua bahagian atas dan bawah.

“Sate yang berada di atas tali sawat akan bergerak ke atas sebelum jatuh di atas dulang yang disediakan,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, bagi pelanggan yang mahukan sate lebih masak atau garing, mereka boleh mengubah kelajuan tali sawat.

“Pelanggan yang mahukan sate lebih garing boleh menaikkan suhu pemanas,” katanya.

Sesuai untuk perniagaan

Abdul Rahim berkata, Satay Port yang beratnya hanya 17 kilogram (kg) sangat sesuai untuk mereka yang berniaga di pasar malam atau kiosk pusat membeli-belah. Ciptaannya ini telah dipatenkan tahun lalu dan mendapat tempahan bukan saja di dalam negara, malah sehingga ke Brunei Darussalam.

“Bagaimanapun buat masa ini, saya tidak dapat memenuhi semua tempahan kerana saya membinanya secara manual tanpa menggunakan mesin,” katanya.

0 Komentar untuk " Abdul Rahim hasilkan Satay Port "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ