GELOMBANG media baharu, isu perpaduan kaum dan 1MDB kini hangat dibincangkan. Ikuti pandangan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri mengenai isu ini dalam siri kedua soal jawab bersama BH.
S: Bagaimana Datuk Seri melihat perkembangan media sosial dan isu perpaduan kaum?
J: Permasalahan itu berlaku di semua negara termasuk negara maju, apatah lagi negara membangun seperti Malaysia. Gelombang media baharu iaitu media sosial menguasai minda rakyat dan khalayak tetapi kita harus tahu, ia satu realiti yang tidak boleh dielakkan. Namun, agenda perpaduan tidak harus dilihat dengan program yang sudah dan akan dibuat saja tetapi kita kena kembali kepada akar (asas). Apa yang berlaku kini, kita harus lihat sistem pendidikan negara yang mana wujud pelbagai medium hingga tiada titik pertemuannya. Mana boleh sebuah negara ada tiga sistem berbeza berdasarkan kaum dan agama yang tiada titik pertemuan.
Kita kena ada pendidikan nasional yang melangkaui batasan kaum, agama dan bangsa. Ia akan mengambil masa satu generasi untuk mengubahnya bukan setakat hanya melihat perancangan jangka panjang atau satu dua dekad. Agenda perpaduan dalam sistem pendidikan yang tersirat, bukan hanya yang tersurat atas kertas. Ia harus menyeluruh, dekat dalam hati nurani setiap rakyat. Mana mungkin seseorang yang dapat pendidikan dalam bahasa ibunda tertentu dapat disatukan dalam satu sistem pendidikan.
S: Apakah akan ada inisiatif baharu untuk memperkukuhkan kembali perpaduan kaum?
J: Perkara ini tidak boleh disogok secara paksa tetapi ia datang secara logikal untuk mewujudkan kesatuan pemikiran dan rasa nasionalisme sebagai seorang rakyat Malaysia. Mana boleh kita layan kehendak beberapa kerat ahli politik kononnya berjuang secara sempit hanya memenuhi kehendak dan keperluan sesuatu kaum tanpa melihatnya secara holistik. Sebagai pemimpin, kita harus memberi keutamaan kepada Malaysia sebagai negara membangun. Pada hemat saya, PPPM (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia) itu baik tetapi saya tidak berhajat masuk campur urusan kementerian lain.
Pada hemat saya, ahli akademik dan ilmuwan serta intelektual dalam NGO harus melihat bahawa soal perpaduan melalui sistem pendidikan harus dilihat semula. Kita kena lihat (kaji) polisi itu. Kita harus bertolak ansur untuk mencapai keharmonian dan kesatuan dalam negara.
Saya fikir kita harus melihat acuan pemikiran PM dalam mewujudkan keharmonian. Sebabnya, biarpun kita lihat beliau terhentak hati dengan sokongan agak rendah sesuatu kaum tetapi beliau tidak pernah lupa untuk memberi ruang bagi parti atau kumpulan yang tidak mendokong dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu untuk kepentingan majoriti. Kita lihat beliau ikhlas menterjemahkan agenda untuk kaum lain tanpa mengetepikan agenda induk kaum majoriti negara ini. Malah, beliau melihat semua kaum harus diberikan ruang yang sama untuk mengecapi kehidupan sebagai rakyat Malaysia.
TEMU bual bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail
S: Bagaimana dengan peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani permasalahan keharmonian rakyat?
J: Kita lihat ada pengasingan sosial dalam isu keselamatan khususnya bila kita bercakap mengenai isu menangani masalah perlakuan jenayah. Ada kumpulan yang guna kumpulan lain dengan memperalatkan jenayah kumpulan itu manakala jenayah jalanan dibuat kaum lain. Pengasingan sosial ini terutama jenayah jalanan berada dalam satu situasi silang budaya. Jika perlakuan silang budaya berlaku, tentu ia harus dilihat bukan saja soal penyelesaian masalah itu melalui usaha-usaha pembanterasan tetapi bagaimana kita mahu lihat pemulihan dilakukan dan usaha pencegahan.
Begitu juga dalam soal membabitkan kepada situasi kebobrokkan sosial yang berlaku dalam pengasingan sosial ini. Permasalahan ini kerana tidak ada penyatuan fikrah pemikiran dengan usaha tidak menusuk ke lubuk hati rakyat. Pada hemat saya, ada kaitan gelagat dan perlakuan berdasarkan aspek sikap atau perilaku sesuatu komuniti. Tentunya saintis sosial harus bersama kerajaan melihat permasalahan keharmonian supaya kembali kepada landasan asal terutama kajian sistem pendidikan.
S: Bagaimana dengan isu 1MDB?
J: Isu timbul dan hilang... ia datang dan pergi. Sebelum ini kita ada isu World Bank, IMF (Tabung Mata Wang Antarabangsa) tetapi penjelasan sudah dibuat dan diulang-ulang. Rakyat menerimanya. Sebagai bekas orang korporat dan orang yang terbabit dalam sektor perbankan, saya lihat 1MDB ini sebuah entiti yang 'bankable' (diterima oleh bank) kerana ada 'collateral' (cagaran) di belakangnya sama ada aset yang boleh dilihat seperti aset tanah dan tidak nampak (saham). Soalnya 1MDB adalah syarikat modal berbayar dengan hanya RM1 juta tetapi mereka membuat pinjaman yang agak tinggi.
Pinjaman ini bersandarkan kepada cagaran yang mereka ada. Masalah 1MDB adalah masalah aliran tunai sekarang. Unjuran pendapatan masa depannya itu ada. Jadi apa sebenarnya pemasalahan yang timbul? 1MDB tidak pakai duit kerajaan dan peruntukan kerajaan. 1MDB menggunakan pinjaman bank. Ada perjanjian antara peminjam dan si pemberi pinjaman, jadi dalam perkara ini sudah tentu ada pembayaran semula dan jadual pembayaran yang harus dibuat.
S: Apakah isu ini akan berakhir?
J: Saya yakin jika forensik perakaunan dibuat, ia akan dapat mendedahkan kemampuan mereka membayar semula berdasarkan aset yang ada dalam 1MDB. Soalnya tidak semua orang faham mengenai isu ini. Kita harus menggunakan 'layman language', sebabnya kita terjebak dalam permainan politik pihak pembangkang. Sebenarnya kita juga berada dalam keadaan yang kita tidak faham dan ada orang yang memanipulasi perkara ini. Ada orang yang menjelaskan isu ini, sebenarnya dia juga tidak faham. Bagaimana dia mahu memberi kefahaman kepada orang lain, sedangkan dia tidak faham. Maka penjelasan harus dilakukan dengan bahasa yang mudah.
S: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa 'factsheet' dan maklumat yang diberikan kepada Kabinet berhubung 1MDB tidak komprehensif?
J: Interpretasi itu bergantung kepada bagaimana seseorang itu menganalisis data yang diberikan. Jika sesuatu analisis dilaksanakan tanpa sebarang prasangka, maka kita akan dapat jawapannya. Saya tidak menyentuh mana-mana peribadi atau orang tetapi pada hemat saya, semua masalah perlu diselesaikan dengan baik... cuma tempoh penyelesaiannya ada yang dapat diselesaikan dengan segera dan ada yang perlu mengambil masa lama menyelesaikannya. Kita harus memahami perkara pokok dan kita tidak boleh 'bias' dengan buat kesimpulan tentang satu-satu masalah tanpa mengambil kira aspek lain. Ikuti penjelasan Zahid mengenai masa depan UMNO dan hubungannya dengan dua lagi Naib Presiden dalam siri terakhir esok.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71567
0 Komentar untuk " Memperkukuh agenda perpaduan menerusi sistem pendidikan "