SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma. Ia bukannya dari dana 1MDB. SPRM, menerusi kenyataan medianya berkata, laporan hasil siasatan itu telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.
Kenyataan itu telah menimbulkan polemik dan viral di internet. Ramai yang tidak berpuas hati kerana mempunyai tafsiran tersendiri. Ramai yang mentafsirkan ia sebagai suatu bentuk rasuah. Kita kenalah tunggu hasil siasatan dan laporan penuh SPRM. Setelah itu, kita boleh menerima hasil siasatan itu atau bebas untuk mencabar hasil siasatan itu melalui saluran yang sepatutnya. Kita kena ikut peraturan kerana kita ada undang-undang.
Walau apa pun, rasuah atau derma itu adalah suatu pemberian yang melibatkan si pemberi dan si penerima. Pemberian pula ada pelbagai istilah mengikut bentuk dan situasinya. Ia dikenali sebagai pembelian, upah, hadiah, anugerah, nafkah, pembiayaan, sedekah, derma dan rasuah.
Pembelian adalah pertukaran di antara pembeli dan penjual melalui matawang. Transaksi ini mudah apabila adanya persetujuan harga di antara penjual dan pembeli. Masalah akan berlaku seandainya terdapat penipuan. Penjual menipu dengan menjual barangan yang berkualiti rendah atau pembeli menggunakan wang palsu.
Upah pula adalah suatu bentuk pemberian mengikut kadar yang telah dipersetujui di antara dua pihak iaitu pihak yang memberi perkhidmatan dan pihak yang menerima perkhidmatan itu. Perkhidmatan itu biasanya adalah dalam bentuk tenaga seperti pembantu rumah, kedai atau pengawal. Perkhidmatan juga boleh dibuat dalam bentuk hasil kerja seperti perakaunan, pembinaan dan rekabentuk. Hasil kerja atau bantuan ini dibayar dalam bentuk upah, seperti gaji, elaun dan juga bonus. Masalah akan terjadi apabila upah tidak diberi seperti yang dijanjikan oleh pemberi atau hasil kerja yang tidak memuaskan oleh yang memberi khidmat.
Hadiah pula adalah suatu pemberian yang mempunyai pelbagai peringkat. Yang biasa dipanggil ole-ole atau buah tangan. Yang berharga sedikit dikenali sebagai cenderahati. Hadiah tidak semestinya diberi berdasarkan perjanjian sebelum ia dilakukan. Misalnya, seorang suami memberi kepada isterinya sebuah beg tangan tanpa memberitahu si isterinya terlebih dahulu. Nilai hadiah pula bergantung kepada kehendak si pemberi mengikut citarasanya. Jika pemberian itu diadakan kerana sesuatu sebab, misalnya si anak mendapat telefon bimbit daripada ayah kerana lulus peperiksaan, ia juga boleh ditafsirkan sebagai upah.
Anugerah pula adalah pemberian yang berbentuk status atau pangkat. Ia adalah pengiktirafan yang diberi menggunakan sesuatu yang simbolik seperti pingat, ijazah atau senjata. Masalah dalam pemberian anugerah ini terjadi apabila pengiktirafan itu dibeli dengan sebuah harga yang ditentukan. Anugerah yang dibeli adalah anugerah yang palsu.
Nafkah pula adalah pemberian menurut tuntutan agama. Oleh itu, adalah berdosa jika seseorang suami dan ayah yang diwajibkan memberi nafkah itu tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan tanggungannya.
Pembiayaan pula adalah pemberian yang mempunyai tempoh tertentu. Biasanya terdapat perjanjian yang dimaterai di antara pihak penaja dan pihak yang ditaja. Misalnya tajaan melanjutkan pelajaran diberikan kepada seseorang di sepanjang tempoh pengajiannya.
Penajaannya akan tamat sebaik sahaja si penerima tajaan itu memperoleh kelulusan. Masalah akan berlaku seandainya seseorang yang menerima tajaan itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Penajaannya boleh ditarik balik kerana melanggar perjanjian.
Sedekah itu adalah pemberian yang bebas. Tiada jumlah atau barang yang ditentukan melalui pemberian ini. Ia adalah ibadah yang mempunyai kesan yang berlipat ganda kepada si penerima malah juga si pemberi. Penerima yang biasanya serba kekurangan akan gembira dengan pemberian. Pemberi pula akan memperoleh pahala yang berlipat ganda.
Apakah itu derma? Ia adalah pemberian apabila diminta oleh si penerima. Derma itu berbeza daripada sedekah kerana terdapat jumlah yang ditentukan oleh si penerima. Pemberi lazimnya tidak dijanjikan apa-apa oleh si penerima. Tetapi si pemberi biasanya akan dapat melihat hasil dermanya. Misalnya, si penderma dapat melihat hasil dermanya dalam bentuk masjid, sekolah, taman atau pulihnya sakit seorang kanak-kanak yang dapat menjalani pembedahan hasil wang derma.
Rasuah? Rasuah adalah tindakan yang salah kerana ia berupa upah awal sebelum sesuatu perkhidmatan itu diperoleh oleh si pemberi meskipun dia tidak berhak mendapatkan sesuatu yang dihajatkan.
Kesemua bentuk pemberian yang diistilahkan di atas iaitu pembelian, upah, hadiah, anugerah, nafkah, pembiayaan, sedekah dan derma adalah tindakan-tindakan yang murni dan mempunyai natijah yang baik asalkan ia tidak disalahgunakan. Hanya rasuah satu-satunya bentuk pemberian dan penerimaan yang salah dan berdosa.
Rasulullah melaknat si pemberi dan si penerima rasuah. Dari Ai’syah r.a., katanya: “Rasulullah S.A.W. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” Riwayat HR al-Bazzar & Abu Ya’la. Apakah itu laknat? Mengikut Kamus Dewan, laknat itu adalah kejian, kutukan dan sumpahan yang mendatangkan kecelakaan kepada seseorang. Laknat itu juga adalah kemurkaan ALLAH SWT yang mengakibatkan yang dilaknat itu jauh daripada rahmat-NYA.
0 Komentar untuk " Istilah-istilah memberi & menerima "