Cream puff ada tarikan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Cream puff ada tarikan

CREAM PUFF bukan sesuatu yang baharu tetapi sentiasa menjadi perhatian terutama di majlis-majlis keraian kerana bentuk dan warna menggamit penggemarnya selain rasa enak.

Jika anda seorang yang gemarkan pencuci mulut, pasti cream puff menjadi salah satu pilihan. Mana tidaknya, sekali makan pasti inginkannya lagi.

Buka sahaja laman sosial Instagram peniaga yang menjual pencuci mulut atau mereka yang suka membakar kek, kuih dan pelbagai lagi pasti akan ada gambar cream puff dikongsi mereka.

Bagi Niq Nur Azarina Sahrin, 24, dia meminati cream puff sejak sekolah dan walaupun sudah berumur 24 tahun, ibunya masih membelikan makanan kegemarannya itu.

“Saya memang suka makan benda manis, jadi apabila rasa lembut puff yang diletakkan krim di tengahnya, membuatkan saya lebih sukakannya kerana kombinasi yang sempurna.

“Apa yang saya perasan sekarang ada dua jenis cream puff iaitu, satu menggunakan whipped cream, manakala satu lagi menggunakan kastard. Tetapi saya lebih gemarkan kastard,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut wartawan penyiaran salah sebuah televisyen tempatan ini, ibunya akan membeli cream puff seminggu sekali di pasar tani atau dia sendiri membelinya jika berkunjung ke One Utama atau Pavilion.

“Saya mula makan cream puff selepas melihatnya di pusat membeli-belah tertentu sahaja menjualnya dengan rasa sedap dan besar,” katanya.

Dari segi harga pula Nur Azarina berkata, harga cream puff yang dibelinya tidak menentu mengikut kedai, saiz dan intinya sama ada cream atau kastard.

Cream puff pencuci mulut yang sempurna

Meminati pemanis mulut sejak kecil lagi, Abdul Hafiz Abdul Kahar, 24, tidak ketinggalan menjadi peminat tegar cream puff yang dikatakan mempunyai puff lembut bersama inti cream putar.

“Gabungan kedua-duanya menjadikan cream puff sebagai desert yang sempurna bagi saya dan setiap kali menemukannya saya pasti akan membelinya untuk dibawa pulang dan dinikmati bila-bila masa
sahaja.

“Setiap kali saya pasti akan beli tiga hingga lima biji cream puff bersaiz besar dan kadang-kadang lebih dari itu untuk disimpan dalam peti sejuk sebagai stok,” katanya.

Ditanya mengenai harga, Abdul Hafiz berkata harga cream puff di pasaran berbaloi memandangkan bahan dan kaedah pembuatannya yang mudah dan tidak mengambil masa lama.

“Kebiasaannya setiap minggu saya akan membelanjakan sekitar RM10 untuk membeli cream puff dan kadang-kadang berkongsi dengan rakan sekelas untuk membeli sekotak yang biasa mengandungi 25 biji,” katanya.

Mengikut musim

Bagi Afiqah Aisyah Saiful Bahar, 23, cream puff merupakan kegemaran arwah ibunya dan sehingga kini ia menjadi kegemarannya juga.

“Setiap minggu kami membuat cream puff sendiri kerana rasanya yang sedap selain tekstur yang tidak berat dan tidak ringan serta sesuai untuk pelbagai lapisan orang.

“Apa yang saya tahu, cream puff ini merupakan kegemaran kaum wanita terutamanya ketika minum petang bersama keluarga,” katanya.

Menurutnya, dari segi populariti cream puff itu sendiri pula, ia mengikut musim kerana merupakan pencuci mulut tersendiri dan biasa disediakan ketika minum petang.

“Harga pula tiada masalah bagi saya. Di Kedah, sebiji cream puff berharga RM1.30 sahaja dan berbaloi,” katanya.

Mior Dessert hasilkan 2,000 cream puff sehari

Bermula sebagai pencuci mulut kegemaran isteri, Fadzillah Omar, pemilik Mior Dessert, Mior Ashraf Norul Bashah kini sudah lebih dua tahun menjalankan bisnes cream puff di Lembah Klang.

Menurut Mior Ashraf, isterinya menggemari cream puff sejak dari kecil dan ketika itu, pencuci mulut tersebut hanya dijual peniaga Cina dan sukar mencari peniaga Melayu.

“Jadi saya terfikir kenapa tidak saya menjual cream puff? Dan bermula dari situ, kami memulakan perniagaan tersebut dengan membawa kelainan dalam pasaran memandangkan inti krim kastard dibuat mengguna olahan resipi saya sendiri.

“Alhamdulillah lebih dua tahun saya menjual cream puff dengan pelbagai perisa dan memberi tumpuan lebih kepada membekalkan cream puff ke kedai kek, pasar tani serta secara atas talian (online) di laman sosial Facebook dan Instagram,” katanya.

Katanya, dalam sehari dia dan isterinya mampu menghasilkan maksimum, 2,000 biji cream puff terutamanya ketika musim perayaan memadankan permintaan yang tinggi.

“Kalau kita lihat orang Melayu memang suka cream puff tetapi tidak semua tahu apa itu cream puff, apabila ia popular dan menjadi trend mereka membelinya dan bagi saya trend ini konsisten.

“Untuk pengetahuan, cream puff Mior Dessert ini terdapat dalam beberapa perisa iaitu cream kastard, vanilla fresh, bolognese cheese dan tuna mayo,” katanya.

Menurut pemilik laman Instagram @miordessert ini, dia dan isterinya dalam proses membina dapur sendiri padaSeptember depan untuk menambah kapasiti pengeluaran kepada 4,000 biji sehari.

Mior Ashraf berkata, harga cream puff dijualnya adalah RM25 sekotak di mana satu kotak mengandungi 25 biji.

0 Komentar untuk " Cream puff ada tarikan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ