Alkisah tukang kipas sate - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Alkisah tukang kipas sate

SEKALI ini bersetuju betul saya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang beberapa hari lalu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai orang No. 2 sekarang apa sahaja cakapnya akan diberi perhatian, dan mendapat sokongan. Secara peribadi saya menyokong beliau dalam hal sate.

Sabtu lalu ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kepong, yang turut dihadiri Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, TPM baharu itu bercakap mengenai sate.

Bukan sebarang sate – dan tentu sekali bukan sate lembu! – Naib Presiden Umno itu bercakap mengenai ‘politik sate’. Beliau mengingatkan anggota parti supaya tidak mengamalkan budaya politik sate agar survival parti terus kukuh.

Tegas beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, seperti yang disiarkan media: “Jangan ada yang jadi tukang cucuk, tukang bakar, dan lebih teruk lagi bila ada tukang kipas.”

Semua orang tahu dan nampak jelas bahawa politik sate memang telah membudaya sejak sekian lama dalam semua parti, termasuk Umno sebagai parti terbesar Melayu dan tunggak BN.

Ada pun perihal cucuk-mencucuk atau tikam-menikam, baik dari depan mahu pun dari belakang, memang sudah menjadi permainan orang Melayu sejak turun-temurun. Bacalah naskhah Sejarah Melayu, kita akan tahu betapa tukang cucuk telah menjatuhkan bukan sahaja pemimpin, malah kerajaan.

Alkisah, Hang Tuah yang menjadi kesayangan sultan, dicemburui oleh banyak orang. Ada yang berani mencucuk pihak istana, sultan terpedaya dengan cucukan tersebut, maka akhirnya pahlawan Melayu itu dijatuhi hukuman bunuh.

Politik moden kita pun, sejak dahulu lebih-lebih lagi sekarang, penuh dengan drama cucuk-mencucuk, tikam-menikam, pijak-memijak. Semuanya gara-gara hendakkan kedudukan dan kuasa. Kuasa bererti duit.

Pemain-pemain politik, dari peringkat macai paling bawah hingga ke tahap pemimpin paling tinggi sanggup melakukan apa sahaja asalkan berjaya memperoleh kedudukan, atau pun dapat mengekalkan kedudukan.

Tidak kisahlah tikam depan atau tikam belakang, apa yang penting matlamat dan cita-cita politik tercapai. Malah, sesetengah orang telah siang-siang mengakui bahawa politik itu kotor; maka dosa dan pahala belakang kira.

Seperti yang dinyatakan Dr Ahmad Zahid mengenai politik sate, selain tukang cucuk dan tukang bakar, apa yang paling teruk ialah tukang kipas.

Pada hemat saya dalam hal politik sate, tukang cucuk dan tukang bakar tidak berapa kelihatan. Tetapi tukang kipas bukan sahaja jelas kelihatan, malah jelas kedengaran.

Sebenarnya sekiranya tidak ada politik sate pun, senario politik kita kini memang sentiasa dipenuhi dengan pengipas, atau disebut juga pengampu, pembodek dan penjilat. Orang biasa pun dapat cam tukang-tukang kipas yang sesetengahnya keterlaluan.

Bagi si tukang kipas – baik yang IQ paling rendah atau yang tahap CGPA melebihi 3.5 – mereka akan cakap apa sahaja untuk menyokong pemimpin. Pagi-petang, siang-malam, kerjanya memukul gendang dan bercakap berdegar-degar memuji pemimpin.

Lucu, ada ketikanya gendang yang dipukul itu iramanya lintang-pukang, tidak mengikut rentak tarian, sehingga menyakitkan telinga. Kerap pula cakapnya yang berdegar-degar itu entah apa-apa, tidak ada makna langsung.

Dia bercakap macam seorang pendeta, tetapi agaknya dia sendiri pun tidak tahu apa yang dicakapkan. Betul-betul macam burung kakak tua yang berkata “selamat pagi” tidak kira waktu pagi, tengah hari, senja, hatta tengah malam buta.

Banyak lagi tukang kipas yang nampak sangat hendak menjaga kedudukan, sehingga cakap mereka kedengaran tidak rasional. Benda yang tidak betul pun dikatakan betul. Umum tahu cakap-cakap itu semua kosong. Tetapi cakap merapu pun sebagai tukang kipas, mereka tidak akan diketepikan.

Sebagai orang No. 2, Zahid secara sedar telah mengingatkan supaya politik sate dihentikan.

Beliau patut mulai sekarang mengenal pasti siapa tukang cucuk, tukang bakar dan tukang kipas.

Mereka tidak boleh dibiarkan terus bersate-sate dalam parti. Lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang tukang kipas nampak sudah berlebih-lebih. Mereka bukan sahaja menggunakan kipas tangan atau kipas angin biasa, tetapi ada yang menggunakan kipas helikopter.

Sekiranya tidak dikawal, kipas helikopter inilah yang akhirnya akan menjunamkan parti ke dalam laut.

0 Komentar untuk " Alkisah tukang kipas sate "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ