Masuk kandang kambing mengembek - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Masuk kandang kambing mengembek



PROGRAM Kembara Budaya Masyarakat Asli Kenyah Sekolah-Sekolah PPD Song dan PPD Kapit di Sarawak pada pertengahan bulan Mei lalu banyak menggamit pengalaman.

Program ini bermatlamat serampang dua mata – melihat dan menghayati budaya masyarakat Kenyah serta menjejaki pengalaman baharu guru muda di pedalaman Sarawak.

Kami bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Kota Bharu pada pagi 11 Mei 2015. Setibanya kami di Lapangan Terbang Sibu, kami disambut oleh beberapa orang mantan pelajar yang baru ditempatkan di sini. Mereka ini lebih selesa dipanggil ‘anak murid’ walaupun sekarang sudah menjadi guru yang bertauliah.

Kami juga berasa begitu gembira dan terucap-ucap terima kasih kepada Pengarah IPG Rajang apabila melihat sebuah bas Institut Perguruan Rajang bersedia untuk membawa kami ke bandar Sibu.

Kami bermalam di Sibu supaya pada awal pagi esoknya kami akan menaiki bot ekspres ke Song dan Kapit. Di ‘Bandar Angsa’ (Sibu), kami sempat berjalan-jalan ke pasar dan juga ke pasar malam sambil mengintai-intai kedai makan untuk mengalas perut sebelum tidur.

Pada malamnya kami mengadakan mesyuarat mini untuk membahagi-bahagikan ahli kepada beberapa kumpulan supaya liputan ‘kedutaan’ kami mampu menjelajah beberapa buah sekolah di kawasan Pejabat Pendidikan Daerah Song dan Pejabat Pendidikan Daerah Kapit.

Awal pagi esoknya, kami menaiki bot ekspres ke Song dan ke Kapit.  Saya cuba mengamati bahasa komunikasi dalam bot ekspres sepanjang perjalanan itu.

Beberapa orang sahaja menggunakan bahasa Melayu berslangakan bahasa Melayu Indonesia manakala sebahagian besarnya menggunakan bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Iban.

Kumpulan pertama singgah di Jeti Song setelah tiga jam perjalanan. Apabila sahaja mendarat, kami disambut dengan penuh senyuman oleh bekas pelajar kami bersama-sama tiga kawannya.

Sambil berjalan menaiki tangga jeti, saya terpandang papan tanda ‘Selamat Datai’ di jeti itu.

“Encik, itulah bahasa di sini, ada sedikit berbeza dengan bahasa Melayu. Secara mudahnya encik, kalau perkataan itu berakhir dengan ‘ng’ akan diganti dengan ‘ai’ sahaja”, jelas anak murid saya.

Kawannya menyampuk, “Dia cepat. Sekarang dah banyak dia kuasai bahasa sini. Kita mesti pandai cepat berbahasa orang sini, baru kita senang untuk berkomunikasi dengan mereka,” jelasnya.

Penjelasan pendek daripada anak murid saya itu menggambarkan betapa tepatnya pengertian peribahasa ‘Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’.

Bukan itu sahaja yang terlintas dalam fikiran saya, bahkan peribahasa ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ juga dihayati dan diamalkan oleh anak murid saya ini.

Sambil kami merasai mi Sarawak sebagai sarapan pagi, kami mendengar celoteh anak murid saya ini.

“SK Nanga Selibut nama sekolah saya. Musim sekarang, nak sampai ke sekolah saya makan masa kurang lebih dua jam.”

 “Nanga atau nangga?”

“Nanga encik, yang bererti muara.”

“Jadi, Muara Selibutlah.”

“Ya. Di sepanjang perjalanan nanti encik boleh lihat penempatan masyarakat yang  semuanya berupa rumah panjang. Cikgu yang mengajar di sini sewajarnya mengenali ketua setiap rumah panjang. Untuk itu, kami digalakkan menemani guru-guru lama ke rumah panjang ketika mereka berurusan. Dengan cara begitu baru kita tahu peraturan atau undang-undang di situ.”
 “Cikgu kita ni, dah ramai orang sini kenal, encik,” sampuk salah seorang pemandu bot kecil.

“Perkara yang paling penting, kita tidak buat perkara yang terlarang oleh adat orang di sini. Itulah yang seharusnya guru baharu lakukan.”

Daripada perbualan sedikit itu amat jelaslah bahawa kedua-dua peribahasa tadi telah sebati dalam jiwa anak murid saya ini. Walaupun peribahasa ini tidak dinyatakan dalam percakapan, tetapi amalan seharian dapat membawa maknanya yang tersurat dan tersirat. Oleh itu, benarlah kewujudan peribahasa dalam budaya kita adalah berdasarkan pengalaman masyarakat sehingga apabila diungkapkan maknanya boleh dijadikan pedoman hidup.

* Penulis Pensyarah Kanan IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan

0 Komentar untuk " Masuk kandang kambing mengembek "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ