Makan boleh, tetapi hiburan jangan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Makan boleh, tetapi hiburan jangan

MUNGKIN sudah terbiasa, saya tidak kisah kedai makan beroperasi 24 jam. Sejak mula berkelana di KL sebagai orang surat khabar lebih tiga dekad lalu, ada sekian banyak gerai di kawasan Chow Kit melayan pelanggan hingga waktu Subuh.

Di Pulau Pinang pula sejak sekian lama gerai nasi kandar dibuka sepanjang masa. Kini – seperti yang dijelaskan Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Shahul Hameed Syed Mohamed – ada 120 restoran India Islam di negeri tersebut dibuka 24 jam. Tidak ada masalah.

Tetapi Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan waktu berniaga mana-mana tempat makan dihadkan hanya setakat jam 12 malam. Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu cadangan tersebut sebagai salah satu langkah membendung gejala sosial.

Beliau membuat cadangan berkenaan di Dewan Negara sebagai jawapan kepada soalan Senator Asyraf Wajdi Datuk Dusuki yang ingin tahu pelan tindakan kerajaan dalam menangani gejala sosial yang semakin merebak.

Sebelum tergesa-gesa mewajibkan kedai makan ditutup lebih awal, lebih baik diadakan kajian apakah benar tempat-tempat ini – gerai, restoran, bistro – menyumbang kepada masalah sosial.

Tidak elok membuat satu-satu tindakan hanya berdasarkan pandangan dan tinjauan rambang. Tambahan pula bisnes makan-makan tengah malam ini terbukti mendatangkan laba yang lumayan kepada pengusaha. Apa salahnya mereka berniaga?

Lagi pun dalam keadaan waktu bertugas di sesetengah sektor dan kerjaya kini tidak terhad kepada 9 pagi hingga 5 petang, tempat makan yang dibuka selepas tengah malam ini memberi manfaat kepada golongan pekerja seperti ini.

Di KL tempat makan 24 jam sudah menjadi perkara biasa, mungkin ada beratus-ratus yang sentiasa menyambut kedatangan pelanggan, terutama di sekitar Bangsar, Bukit Bintang, Damansara, Petaling Jaya, Kampung Baru, dan tentunya Chow Kit.

Yassen, salah satu restoran nasi kandar terkenal dan tertua di Jalan Tunku Abdul Rahman, juga sudah beroperasi 24 jam. Sesekali hendak bersahur kari kepala ikan bawal dan ayam masak kicap, boleh singgah di sini.

Di Kampung Baru ada tomyam, telur bungkus, sup ekor, nasi lemak, rojak, roti canai, pendek kata apa sahaja ditawarkan oleh gerai-gerai yang dibuka hingga ke subuh. Pukul 3 pagi pun boleh minta roti bom dan teh halia gelas besar.

Ada fakta – berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan beberapa tahun dulu – bahawa 48 peratus rakyat negara ini mengalami masalah obesiti, manakala 15.2 peratus orang dewasa dikenal pasti menghidap diabetes.

Angka-angka ini memang patut diambil perhatian. Tetapi itu bukan alasan logik untuk menutup perniagaan makanan di tengah malam, kecuali sekiranya ada kajian menunjukkan bahawa pohon-pohon rendang itu semua berpunca dari restoran nasi kandar dan seumpamanya.

Sebaliknya patut juga diambil perhatian ialah restoran nasi kandar itu menggaji 10 orang pekerja, termasuk tukang masak dan tukang buat minuman. Kalau ada 10 restoran seperti itu, ertinya 100 orang boleh mendapat pekerjaan.

Timbangkan juga berapa banyak beras yang digunakan untuk hidangan sepanjang malam. Berapa kilo daging, kambing, ayam. Berapa kilo teh, berapa dozen susu tin. Pendek kata bukan tauke restoran sahaja, pembekal beraneka bahan mentah juga mendapat manfaat.

Itu baru restoran nasi kandar. Betapa pula beratus-ratus, mungkin beribu gerai dan restoran yang juga beroperasi 24 jam. Pendek kata kegiatan makan-makan sebelah malam ini menjana RM juta-juta ringgit, memberi peluang kerja kepada beribu orang.

Pada hemat saya kalau hendak dihadkan waktu, kenakan kepada pusat-pusat hiburan. Ada pusat hiburan yang beroperasi hingga lewat malam, malah hingga ke Subuh. Itu yang patut dikenakan tindakan tegas.

Telah terbukti tempat-tempat hiburan ini menyumbang kepada pelbagai masalah sosial seperti mabuk arak hingga memandu dalam keadaan berbahaya, penagihan dan pengedaran dadah, seks bebas, peras ugut dan sebagainya.

Dulu kerajaan membenarkan tempat hiburan dibuka hingga larut malam, konon untuk menarik pelancong asing. Tetapi terbukti hanya sebilangan kecil pelancong tertarik dengan hiburan. Sikit sangat duit pelancong dibelanjakan di pusat hiburan.

Statistik terkini kementerian pelancongan & kebudayaan menunjukkan sebahagian besar – 30 peratus – perbelanjaan pelancongan ke negara ini ialah untuk membeli belah @ RM21.6 bilion.

Jangan pula mencadangkan supaya pusat membeli-belah dibuka 24 jam!

0 Komentar untuk " Makan boleh, tetapi hiburan jangan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ