PROJEK inovasi ini merupakan sebuah usaha perniagaan yang dikendalikan tiga siswa Universiti
Malaysia Terenggan (UMT), Noorhidayatullah Atang, 25; Rusydi Rashid, 20, dan Mohamad Fakhrullah Mohamed, 22. Mereka bertiga cukup berminat dalam bidang keusahawanan dan projek Golden Worm adalah paling bermakna buat diri masing-masing.
Menurut Noorhidayatullah, yang mengikuti pengkhususan Sarjana Muda Perakaunan di UMT, Golden Worm adalah projek kitar semula botol-botol terbuang untuk dijadikan Bekas Mudah Alih Cacing Tanah Mesra Alam. Projek ini mendapat sokongan ramai pihak kerana ia dapat membantu menyelesaikan masalah pembuangan sampah-sarap berupa botol minuman yang tidak pernah ada jalan selesai.
Katanya, timbunan botol terbuang akan meningkatkan kadar peratusan pencemaran alam sekitar. Jadi, idea menggunakan botol tersebut sebagai tempat pembiakan cacing tanah adalah jalan terbaik dalam menyelesaikan masalah tersebut.
"Untuk projek ini, kami menggunakan konsep 'WASTE + WASTE = VALUE’ dalam menjayakannya. Kami melihat setiap yang dicipta ada nilainya tersendiri iaitu kami menggunakan hampir 90 peratus barangan yang boleh dikitar semula. Misalnya, bahan atau sisa buangan untuk membina semula rumah cacing dan menggunakan kertas dan tinja-tinja haiwan yang terbuang sebagai makanan kepada cacing tanah.
"Melalui konsep ini, kami menukarkan sesuatu benda yang tidak bernilai menjadi berharga kepada manusia dan hidupan di bumi ini," kata Rusydi yang juga penuntut pengkhususan Sarjana Muda Perakaunan.
Projek ini telah memenangi Anugerah Pingat Emas Inovasi Sosial 2015 dan Terbaik Inovasi Sosial 2015 pada INOVASI@UMT 2015 pada Mei lalu.
Idea dari kampung
"Idea menghasilkan projek ini tercetus ketika saya pulang ke kampung di Bandung, Indonesia. Di sini, terdapat penternakan cacing tanah dan penghasilan baja kompos. Mereka menggunakan teknik rak bertingkat daripada sumber hutan iaitu pokok buluh. Terdapat juga pelbagai teknik biasa digunakan di negara-negara lain iaitu teknik batasan atas tanah, teknik rak bertingkat menggunakan kayu dan teknik bekas rak almari pakaian.
"Semua teknik yang digunakan melibatkan kos yang agak tinggi. Justeru, bila saya kembali ke UMT, bermulalah perkembangan idea untuk menghasilkan sesuatu sebagai tempat tinggal cacing tanah ini," katanya.
Berkenaan kos, projek Golden Warm ini tidak memerlukan kos yang tinggi. Ini kerana mereka mengutip botol-botol untuk jadikan inovasi dalam penyediaan tempat tinggal bagi cacing tanah, mengumpul surat khabar lama dan kertas-kertas sebagai Bed untuk diletakkan dalam bekas mudah alih itu dan makanan cacing tanah pula dikutip atas jalan raya dan padang hasil daripada lembu-lembu berkeliaran.
Bahan-bahan medium ataupun makanan cacing tanah yang lain adalah daun dan rumput kering; tinja kambing, kulit dan isi tembikai merah dan tembikai susu dan sisa buangan nasi yang sudah dibilas dengan air.
Peruntukan untuk menghasilkan projek ini, cuma kos cacing tanah itu sendiri. Harga pasaran cacing tanah bernilai RM250 hingga RM400 sekilo, bergantung kepada jenis cacing tanah. Manakala bahan-bahan lain boleh didapati percuma di alam sekitar. Pada permulaan, mereka bertiga cuma membeli cacing tanah bernilai RM100 untuk menjalankan projek ini dan kini mereka sedang menternak menggunakan bekas mudah alih tersebut.
Pembuatan
Proses pembuatannya sangat mudah. Untuk menghasilkan satu set bekas mudah alih memerlukan masa tujuh hingga 10 minit sahaja, bergantung kepada kemahiran individu masing-masing.
"Untuk medium atau makanan cacing tanah, kita akan masukkan ke dalam bekas tersebut. Bagi tinja lembu atau kambing, hendaklah di kering dan dijemur selama tujuh hari bagi menghilangkan bakteria dan penyakit.
"Untuk bahan medium yang lain, seperti daun dan rumput kering, kita masukkan sahaja. Tetapi sebelum memasukan ke dalam bekas mudah alih, ia hendaklah dihancurkan terlebih dahulu bagi memudahkan proses kompos itu berlaku. Bahan- bahan lain seperti surat khabar lama dan kertas-kertas akan dihancurkan juga untuk dijadikan Bed bagi cacing tanah," kata Fakhrullah dengan menambah projek di pantau Pengarah, Pusat Pembangunan Alumni dan Keusahawanan, UMT, Dr Mohd Shaari Abd Rahman dan Penasihat Kelab Enactus dan
Usahaniaga, Nor Ismadi Izhan Ismail.
Menurutnya, penjagaan cacing tanah sangat mudah. Satu hari memerlukan tujuh hingga 15 minit sahaja bergantung kepada saiz projek. Bekas mudah alih ini boleh diletakkan di mana-mana sahaja, seperti garaj kereta, bawah laci dapur, stor dan lain-lain. Yang penting, tidak terdedah kepada suhu panas dan cahaya matahari kerana cacing tanah amat sensitif dengan cahaya.
Dari segi pemantauan pula, hanya perlu membuat pemantauan dari segi suhu, pH dan ancaman dari pemangsa seperti burung, semut dan serangga lain.
0 Komentar untuk " Kitar semula barang terbuang "