Media sosial mengubah kehidupan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Media sosial mengubah kehidupan

AGAK menggelikan hati apabila seorang rakan memberitahu saya tentang kisah anak bongsunya di sekolah.

Anaknya menjawab kepada guru bahawa hobi ibunya “bermain telefon” apabila ditanyakan tentang hobi ibunya.

Memang kita berasakan bahawa jawaban itu tidak menggambarkan apa-apa yang aneh tetapi jika diteliti secara mendalam, tersirat suatu luahan perasaan secara spontan daripada seorang anak terhadap ibunya.

Kisah itu bukanlah berlaku kepada rakan saya seorang sahaja tetapi rasanya pernah berlaku kepada orang lain.

Perasaan itulah yang terbit di sanubari anak-anak jika banyak masa ibu bapa mereka diluangkan bersama-sama gajet-gajet moden bagi melayani media-media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, sembang siber dan pelbagai media sosial lain.

Tidak kiralah dengan sesiapa pun komunikasi itu dijalankan sama ada dengan kaum keluarga yang tinggal berjauhan ataupun dengan rakan-rakan lama, namun yang pasti media sosial mampu merapatkan silaturahim antara manusia tetapi dalam masa yang sama mampu mencipta jurang tanpa disedari.

Masyarakat Malaysia biasanya menggunakan meja makan sebagai tempat untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga.

Masa bekerja yang panjang ditambah dengan kesesakan lalu lintas menyebabkan masa ibu bapa berada di rumah agak kurang.

Anak-anak pun sama kerana mereka terlibat dengan banyak aktiviti kokurikulum di sekolah pada waktu petang  di samping kelas-kelas tuisyen di sekolah atau di luar sekolah. Situasi ini sepatutnya menyedarkan kita semua bahawa meja makan merupakan tempat untuk bermesra dengan anak-anak.

Ibu bapa seharusnya menetapkan peraturan agar anak-anak malah kepada dirinya sendiri agar tidak menggunakan gajet ketika berada di meja makan.

Kalau ditinjau di restoran-restoran di seluruh negara, aktiviti makan bersama dengan keluarga dilihat sesuatu yang cukup popular lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Amat menyedihkan jika  masing-masing berada dalam dunianya sendiri dengan melayani orang yang jauh untuk berkomunikasi.

Bapa dan ibu melayani rakan-rakan sekerja serta teman sekolah lamanya sama ada teman di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah teman-teman di universiti. Anak-anak pula asyik dengan rakan-rakan sekolahnya yang lebih memahami jiwanya.

Jika budaya dan cara hidup ini menjadi trend masyarakat di negara kita, apakah yang akan berlaku dengan corak hidup masyarakat di negara kita nanti?

Di manakah nilai kasih sayang, hormat-menghormati, tolong-menolong, kerjasama dan pelbagai nilai murni yang lain?

Separuh perjalanan Ramadan telah sama-sama kita tempuhi dan dua minggu lagi Aidilfitri akan menjelma.

Rahmatnya, dengan kewujudan media-media sosial terutamanya WhatsApp dan telegram, kaum keluarga dan teman-teman lama dapat dikumpulkan.

Rancangan untuk mengadakan perjumpaan ini sebenarnya telah lama dirancang malah ada yang telah merancangnya sejak Muharam lagi.

Penulis sendiri insya-Allah akan mengadakan majlis perjumpaan dengan sahabat-sahabat lama sekolah menengah pada 3 Syawal 1436H nanti.

Ada dalam kalangan kami yang tidak pernah berjumpa setelah berpisah sejak 1987 lagi, namun diharapkan agar sahabat-sahabat tidak terlalu asyik dengan gajet atau leka melayan media sosial ketika perjumpaan diadakan kerana kita telah menjauhkan jarak kita semula setelah usaha untuk mendekatkan kita dilakukan.

Setiap perkara yang diciptakan untuk manusia ada kemaslahatan dan keburukannya yang tersendiri bergantung pada cara penggunaan dan kawalan kita. Sejak manusia ghairah menubuhkan kumpulan media sosial telah mengubah kehidupan manusia.

Kumpulan media sosial berlandaskan tempat kerja telah menyebabkan manusia terpaksa bekerja tujuh hari seminggu.

Produktiviti kerja mungkin bertambah kerana persediaan kerja dapat dilakukan lebih awal termasuk pada hujung minggu namun dalam apa-apa jua keadaan, kos lepas pasti wujud. Kos lepas yang mungkin akan timbul daripada kesan ini ialah perhatian terhadap anak-anak mungkin terpaksa dikurangkan.

Kita menggunakan bahasa untuk berkomunikasi antara satu dengan yang lain. Proses komunikasi secara berdepan merupakan kaedah komunikasi yang terbaik kerana kita dapat melihat mimik wajah serta air muka orang yang kita lawan bercakap untuk mengelakkan salah faham berlaku.

Manusia menggunakan bahasa untuk berkomunikasi bagi meluahkan perasaan sayang, rindu, marah serta menyatakan keinginan dan maklumat. Jadi, hargailah mereka yang berada di depan mata kita kerana komunikasi yang berkesan mampu mendekatkan hati dan perasaan masing-masing.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur.

0 Komentar untuk " Media sosial mengubah kehidupan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ