Hak fitrah lawan hak asasi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hak fitrah lawan hak asasi

HAK Fitrah adalah hak yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada manusia dan hak ILAHI ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah sosial. Hak Asasi adalah hak yang berubah-ubah berdasarkan kontrak sosial satu masyarakat.

Amerika pernah mempunyai kontrak sosial mengharamkan homoseks. Tetapi beberapa hari yang lalu, Obama telah mengumumkan “kemenangan” yang besar kerana mahkamah tinggi telah mengubah kontrak sosial. Sekarang, perkahwinan homoseks dihalalkan pula di Amerika.

Fenomena ini berlaku kerana hak fitrah diketepikan. Apakah perbezaan antara hak fitrah dan hak asasi kemanusiaan?

Seorang homoseks yang memperjuangkan kebebasan bersuara mungkin mendakwa bahawa adalah menjadi hak asasinya untuk mengamalkan perbuatan homoseks. Dia sepatutnya jangan menyaman mereka yang mencerca perbuatan homoseksnya kerana cercaan adalah hak asasi manusia! Hak kebebasan bersuara!

Tetapi Islam mengharamkan cercaan terhadap individu homoseks walaupun Islam membenci perbuatan homoseks. Ini adalah keadilan berdasarkan perbezaan antara hak fitrah dan hak asasi.

Fitrah manusia adalah menjaga maruahnya. Manusia sanggup bunuh diri kalau maruahnya tercemar. Maka, syariah tegas meletakkan penjagaan maruah sebagai salah satu maqasid (objektif-objektif) syariah. Syariah menganggap penjagaan maruah sebagai satu “hak” iaitu hak fitrah manusia.

Bila kita guna perkataan hak fitrah, ini bermakna tiada kontrak sosial dibenarkan merampas hak ini kerana hak inilah yang menjadikan manusia itu manusia sejati,  bebas daripada cengkaman kontrak sosial yang tidak menentu.

Hak asasi bergantung kepada kontrak sosial satu masyarakat. Kalau satu masyarakat berijmak untuk halalkan cercaan, maka hak asasi anti-cercaan ini akan bertukar menjadi sekadar 'tabo' iaitu umpama mitos satu masyarakat.

Walaupun Islam membenci perbuatan homoseks, Islam menjaga hak fitrah membela maruah individu walaupun dia seorang homoseks. Islam tidak membenarkan umat mencercanya walaupun kontrak sosial menghalalkan cercaan terhadap individu homoseks.

Ini adalah kerana seorang Muslim melihat seorang individu homoseks sebagai hamba ALLAH SWT dan ALLAH SWT telah mengurniakannya hak-hak fitrah sebagai “rakyat” ALLAH SWT iaitu dia bukan sekadar mempunyai hak-hak asasi yang tertakluk kepada kuasa diktator kontrak sosial.

Demikian juga, Islam membenci perbuatan menyembah berhala tetapi Islam menjaga hak fitrah manusia untuk menyembah apa yang dia rasa benar. Maka, syariah tidak membenarkan kita mencerca individu-individu yang sembah berhala walaupun kontrak sosial satu masyarakat benarkan.

Bagi individu homoseks dan penyembah berhala, yang Islam benci bukan individu tetapi perbuatan.

Bila kita faham perbezaan antara hak fitrah dan hak asasi, maka kita akan faham mengapa zina, homoseks, sumbang mahram dan Bin Abdullah bagi mualaf diharamkan.
ALLAH SWT telah menjamin hak fitrah manusia untuk menjaga nasab sebagai salah satu maqasid syariah.

Maka, zina diharamkan kerana kecelaruan nasab. Begitu juga sumbang mahram. Kita tidak akan menganggap sumbang mahram itu tabo dan selama-lamanya tidak akan menjadi tabo kerana ia tidak tertakluk kepada kontrak sosial.

Demikian juga, larangan menasabkan individu kepada yang bukan ayahnya. Prof Tawfiq Yap, selaku Presiden Macma (Pertubuhan Cina Muslim Malaysia) lantang mengkritik penggunaan Bin Abdullah terhadap mualaf.

Mualaf mempunyai ibu bapa. Mengapa menafikan hak fitrahnya untuk membela nasabnya dengan membin atau membinti ayahnya? Menghalalkan perbuatan membin-Abdullahkan mualaf adalah seolah-olah menghalalkan zina, sumbang mahram dan homoseks yang tidak menghormati hak fitrah menjaga nasab.

Perbuatan homoseks melanggar hak fitrah menjaga nasab. Kalau satu keluarga mempunyai seorang anak sahaja, sudah tentu nasab keluarga akan terputus bila anak ini mengamalkan perbuatan homoseks.

Ini menafikan hak fitrah keluarga untuk mempunyai kesinambungan nasab. Bahkan ini menzalimi evolusi manusia melalui pembiakan. Aktivis-aktivis homoseks jangan marah kalau cercaan demi cercaan dalam bentuk tulisan, lisan atau kartun ditujukan kepada individu-individu homoseks dalam masyarakat yang taksub pada kontrak sosial yang anti-homoseks.

Mereka hanya mengikut logik kontrak sosial yang diguna pakai oleh aktivis-aktivis homoseks sendiri di mana hak fitrah dinafikan atas nama membela hak asasi manusia. Gua mau cerca lu, hak asasi gualah! Siapa suruh lu jadi gay!

* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Hak fitrah lawan hak asasi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ