Bulan penanda aras peningkatan kualiti diri - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bulan penanda aras peningkatan kualiti diri

Umat Islam melihat Ramadan sebagai bulan 'multibarakah' yang di dalamnya mencernakan pelbagai keistimewaan dan kerana itu Ramadan dikenali dengan pelbagai gelaran antaranya bulan petunjuk (syahrul huda) disebabkan al-Quran diturunkan pada bulan ini. Ia juga dikenali sebagai bulan ibadah (syahrul ibadah) kerana pahala amal kebajikan dilipatgandakan. Pengisian amal yang baik menuntut kita memperbanyakkan amalan pada bulan ini. Ramadan juga disebut bulan pengampunan (syahrul maghfirah) bagi siapa berpuasa kerana iman, dosanya diampunkan Allah SWT. Umat Islam capai kemenangan Ramadan juga bulan jihad kerana kita berlawan menahan nafsu dan segala perbuatan maksiat lain. Selain itu, pada Ramadan umat Islam mencapai kemenangan seperti kemenangan Perang Badar, pembukaan Kota Makkah, perang Tabuk serta perang Salib yang memberi kemenangan kepada umat Islam. Justeru, Ramadan ini sewajarnya dihidupkan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan dengan keikhlasan hati dan peluang menjalinkan ukhuwah. Silaturahim bukan sekadar hubungan dengan kerabat, tetapi menghubungi keluarga dan sanak-saudara sekalipun mereka menjauhi. Sabda Rasulullah SAW: "Bukanlah orang yang menghubungi keluarga itu ialah orang yang menjamin, tetapi dinamakan orang yang menyambung kekeluargaan ialah apabila keluarganya itu memutuskan dia, maka dia tetap menghubunginya." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Memutuskan hubungan persaudaraan akan menghalang pengampunan dosa dan rahmat Allah SWT seperti diterangkan Rasulullah SAW: "Pintu-pintu syurga akan dibuka pada hari Isnin dan Khamis, kemudian Allah akan memberi keampunan kepada setiap orang yang tidak menyekutukan Allah sedikitpun kecuali seorang lelaki yang ada berpisah antara dia dan saudaranya. Maka Allah berkata: Tangguhkanlah kedua-dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkan kedua-dua nya sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah kedua-duanya sehingga mereka berdamai." (Riwayat Muslim) Ukhuwah Islamiah ini sudah banyak diperkatakan, namun secara praktisnya sukar dilakukan kerana ketebalan sentimen yang dimiliki oleh seketul hati. Konsep ukhuwah Islamiah ini meliputi hubungan persaudaraan yang tidak dibatasi oleh ruang dan waktu. Antara tanda kecerdasan rohaniah adalah membina hubungan silaturahim, iaitu fitrah manusia tidak dapat hidup sendiri dan mereka memerlukan perhubungan serta kasih sayang dengan makhluk ciptaan-Nya yang lain. Proses bentuk ukhuwah Islamiah Proses membentuk ukhuwah Islamiah ialah saling mengenali (taaruf), memahami (tafahum), tolong menolong (ta'awun) dan saling menanggung (takaful). Jika hubungan ukhuwah sudah berada pada peringkat saling menanggung bermakna terbinanya kekuatan ummah. Masing-masing tidak mementingkan diri dan prihatin kepentingan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang sehingga ia menyintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10) Peranan pemimpin, ulama, tokoh masyarakat dan cendekiawan dalam menguatkan ukhuwah Islamiah penting. Mereka perlu ada kesatuan visi dan misi dalam tiga perkara iaitu wawasan keagamaan, kemasyarakatan dan kesejagatan. Kesatuan wawasan keagamaan adalah kesatuan terhadap pemahaman nilai agama sejagat yang mengajar mengenai perdamaian, persaudaraan dan keadilan dan lain sebagainya. Kesatuan wawasan kemasyarakatan lebih pada pengakuan Islam terhadap kelompok masyarakat bagi menjalin persaudaraan. Ummatan wahidah Kesatuan wawasan kesejagatan adalah kesedaran meskipun berbeza wilayah dan daerah, namun umat Islam tetap bersaudara menjadi umat yang satu iaitu ummatan wahidah. Sumbangan besar terhasil apabila tiga perkara dapat dilaksanakan yang menjadi tonggak kekuatan ukhuwah Islamiah. Ramadan bukan hanya diisi dengan puasa dan beribadah semata-mata. Bulan ini menjadi aras kepada peningkatan kualiti diri dan keupayaan pencapaian indeks memperbaiki hubungan kemasyarakatan ke arah yang lebih baik. Kemanisan semangat persaudaraan adalah dengan menghulurkan salam bukan menanti untuk menjawab salam. Ukhuwah adalah natijah daripada keimanan bagi yang beriman dan meyakini janji Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: "Perumpamaan orang Mukmin dalam cinta mencintai, kasih mengasihi dan sayang menyayangi adalah laksana satu tubuh. Jika salah satu anggotanya sakit, maka seluruh tubuhnya akan merasakan sakit dan berjaga malam." (Riwayat Bukhari)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/64788
0 Komentar untuk " Bulan penanda aras peningkatan kualiti diri "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ